Remaja putus cinta maut teguk pencuci jubin
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner T Narenasagaran, berkata sebelum kejadian, mangsa yang baru empat hari bekerja sebagai pembantu kedai di Sentul, Kuala Lumpur pulang ke Bera untuk bertemu dengan teman wanitanya sebaya dengannya bagi membincangkan hal pertunangan mereka.
Beliau berkata, sebaik tiba di rumah teman wanitanya yang tidak jauh dari rumahnya, ibu kepada gadis terbabit memberitahu anaknya tiada kerana sedang mengikuti kursus belia di Maran serta memaklumkan pinangan mangsa ditolak dengan alasan anaknya mahu melanjutkan pelajaran di Seremban.
Katanya, berikutan kecewa serta tidak dapat menerima hakikat dengan jawapan diberikan ibu gadis berkenaan, mangsa kemudian pergi ke rumah ibu saudaranya bersebelahan dengan rumah teman wanitanya.
"Tiba di rumah ibu saudaranya, mangsa tiba-tiba bertindak memecahkan cermin tingkap dan mengambil serpihan cermin sebelum menikam dan mencederakan perutnya sendiri sebelum perbuatan terbabit sempat dihalang ibu saudaranya.
"Mangsa kemudian ditenangkan ibu saudaranya sebelum beredar pulang ke rumah kira-kira jam 12.45 pagi, di mana dia mengambil pencuci jubin lantai di dapur dan meneguknya sehingga habis," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.
Narenasagaran berkata, tindakan mangsa itu disedari abangnya berusia 19 tahun yang cuba menghalangnya dan menghantar adiknya ke Klinik Kesihatan Kemayan sebaik melihat mangsa mula lemah dan tidak sedarkan diri.
"Doktor memberikan rawatan segera dalam usaha menyelamatkan mangsa yang kritikal, namun akhirnya gagal apabila mangsa meninggal dunia dengan bedah siasat mengesahkan mangsa maut akibat keracunan," katanya.
Beliau berkata, polis hanya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 2 pagi kelmarin dan siasatan mendapati tiada unsur jenayah membabitkan kes berkenaan.
"Kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan jenazah mendiang sudah dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan," katanya.
- BERITA HARIAN