SMART - Bukan setakat kawal trafik


Deringan telefon tidak putus-putus berbunyi. Suasana di Bilik Kawalan Trafik Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn. Bhd., (SMART) riuh dengan suara-suara yang datang dari hujung telefon.

Siapa dan dari mana panggilan itu dibuat menjadi persoalan harian petugas di bilik tersebut. Dalam kesibukan itu, sepasang tangan pantas merekodkan masalah yang dihadapi dan segera mengarahkan peronda memberi bantuan.

Berada di dalam bilik yang beroperasi selama 24 jam sehari bersama 72 paparan skrin (barco wall) yang terletak berhadapan dengan tempat duduk petugas, situasi ini cukup menjelaskan fungsi kerjaya yang dilakukan mereka.

Nyata, tugas mereka bukan setakat menjawab panggilan telefon, tetapi memantau seluruh laluan terowong dari bilik tersebut melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Contoh lain tugas mereka adalah memeriksa fungsi CCTV, membantu pengguna apabila kereta rosak, kemalangan, menghalau binatang terbiar seperti kucing termasuk memantau objek yang boleh menghalang laluan seperti cebisan tayar.

"Tugasan kami adalah menerima maklumat daripada pengguna terowong atau isyarat banjir daripada pihak berwajib serta mengawal kelancaran trafik menerusi sistem CCTV di bilik ini.

"Kemudian, kami akan mengeluarkan arahan yang diterima kepada Pasukan Ronda SMART dan mereka akan bertindak memeriksa serta memberi bantuan kepada pengguna terowong SMART dalam masa lima minit," kata Penyelia Trafik SMART, Mohd. Hilemi Masban, 27.

Menurutnya, tugas paling mencabar adalah sewaktu penutupan pintu jalan dan pintu air sekiranya berlaku banjir di sekitar Kuala Lumpur.

Bagaimana isyarat banjir itu disampaikan? Menurutnya, sekiranya hujan lebat di seluruh kawasan Kuala Lumpur, perkara pertama yang harus dilakukan oleh setiap petugas di bilik ini adalah persediaan untuk berjaga-jaga sebelum air naik secara mendadak.

"Urusan melibatkan penutupan pintu kedap air dan pintu jalan dilakukan oleh kakitangan di bilik ini atas arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Sekiranya, paras air menunjukkan kurang daripada 70 padu sesaat, ia bermakna paras itu berada pada mode dua. Tetapi jika melebihi 150 meter padu sesaat, paras air berada di mode tiga dan pihak JPS akan mengeluarkan isyarat bersedia atau penutupan di kedua-dua pintu tersebut.

"Sebelum penutupan dilakukan, kami perlu memastikan tiada kenderaan ataupun kakitangan berada di dalam terowong menerusi 220 CCTV di setiap 50 kilometer (km)," katanya sambil memberitahu terdapat 24 pintu kedap air iaitu 12 di dek atas dan 12 di dek bawah yang terletak di laluan trafik atau pintu kecemasan.

Bagi memastikan kesemua pintu ditutup dengan baik dan tiada sesiapa berada di dalam terowong, petugas di bilik tersebut akan menghubungi Pasukan Ronda SMART untuk bertindak memeriksa kesemua pintu itu seberapa segera. Masa penutupan seharusnya dilakukan kurang daripada satu jam.

Bagaimana pula sekiranya proses penutupan sedang dijalankan, masih ada pengguna melalui terowong tersebut?

"Kami akan mengumumkan kepada mereka menerusi sistem Isyarat Pesanan Boleh Ubah (Variable Message Sign - VMS). Fungsinya adalah untuk memberikan maklumat penutupan ketika operasi sistem banjir akan dilaksanakan dan menyiarkan maklumat trafik sekitar laluan berkaitan dengan lebuh raya SMART.

"Bantuan penyiaran maklumat dilakukan melalui stesen radio FM (Frequency Modulation). Siaran radio FM boleh diterima sekiranya pengguna terowong sedang mendengar mana-mana radio FM.

"Melalui siaran FM ini juga, Pusat Kawalan SMART boleh membuat pengumuman untuk memberi arahan melalui sistem penyiaran semula," jelasnya sambil memberitahu pintu kecemasan terletak di setiap 250 meter di sepanjang terowong manakala telefon kecemasan pula terdapat di setiap pintu kecemasan yang menghubung terus ke bilik kawalan trafik.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url