Warisan kolonial Kuala Lipis
Sebagai bekas ibu negeri Pahang dari 1890-an hingga 1955, Kuala Lipis sudah menikmati pembangunan hasil perlombongan khazanah buminya.
Warisan penjajahan ini dapat dilihat menerusi bangunan lama dengan seni bina kolonial yang masih kukuh hingga kini.
Rumah Rehat Residen yang dibina pada 1867, Sekolah Menengah Clifford yang didirikan pada 1913 selain kompleks pejabat kerajaan dan Pahang Club menjadi tarikan pelancongan di bandar kecil ini.
Kampung halaman penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza ini turut memegang satu lagi rekod dengan Batu Tanda Kosong atau Zero Miles Stone.
Terletak berdekatan pejabat pos di tengah bandar, ia menjadi ukuran jarak tempat standard di negara ini.
Batu ini menandakan permulaan sukatan jarak bagi Pahang dan kiraan kosong bermula dari Kuala Lipis.
Kata-kata seperti 'ada kilometer kosong rupanya kat Lipis'' daripada mulut warga luar sering terdengar apabila batu yang mempunyai kedudukan istimewa ini.
Lipis dengan keluasan 527,861 hektar adalah daerah ketiga terbesar Pahang selepas Jerantut dan Rompin.
Sebahagian kawasannya dilitupi alam semula jadi seperti hutan simpan, hidupan liar, air terjun, jeram, tasik, gua dan gunung.
Bagi peminat aktiviti lasak, anda boleh meneroka Gua Bama di mukim Telang dan Taman Rimba Kenong di Hutan Simpan Yong. Ia kaya dengan pelbagai spesies flora dan fauna serta landskap semula jadi yang belum diterokai sepenuhnya.
Ia turut menyimpan keindahan gua batu kapur di Gua Batu Tinggi, Gua Batu Tangga, Gua Batu Tangkup, Gua Batu Telahup, Gua Kesong, Gua Buta, Gua Harimau dan Gua Hijau. Ia menjadi tumpuan aktiviti jelajah gua, perkelahan, fotografi dan kayak.
Aktiviti sama boleh dilakukan di Tasik Empang Jaleh berkeluasan 73.74 hektar di Lebuhraya Timur Barat dan Taman Rekreasi Sungai Yu di mukim Batu Yon kerana aliran air sungainya yang bersih dan jernih.
Selain itu, Hutan Lipur Ulu Jerangsang (Lata Serondong) di Hutan Simpan Bukit Taching dan Pusat Rekreasi Air Jeram Besu turut menawarkan percutian rekreasi cukup menarik jika anda gemarkan aktiviti lasak.
Hutan Simpan Bukit Taching yang dibangunkan sebagai produk pelancongan pada awal 90-an kini popular dengan penemuan bunga terbesar dunia, bunga pakma atau Rafflesia.
Anda boleh meneroka keindahan Taman Negara menerusi pintu masuk Merapoh. Dan, jangan lupa melawat santuari kelah bagi merasai pengalaman berenang bersama ratusan ikan air tawar.
Jika bermalam di Taman Negara, pastikan anda menyertai acara merentas denai untuk melihat aktiviti hidupan liar. Kawasan Gua Gajah dan Gua Peningat menjadi tumpuan pelbagai spesies burung.
Kini, Lipis kian mendapat tumpuan peminat sukan motor lasak di litar Taman Tasik Burung Mandi. Dengan cerun curam dan litar berselut, ia memberikan halangan semula jadi kepada pelumba.
Jika mahu merasai percutian dalam suasana desa, Homestay Kuala Medang di mukim Ulu Jelai memang popular di kalangan pelancong asing.
Kuala Medang adalah kampung tradisional di pedalaman, jauh dari kesibukan kehidupan kota. Inilah peluang melihat pemandangan indah, jeram dan pokok bakau.
Mereka yang datang bersama ahli keluarga boleh membawa anak kecil ke Zoo Lipis di Bukit Bius, Kuala Lipis. Ia memiliki tarikan musang jebat dan beruk Jepun.
Banyak lagi yang menarik mengenai Lipis jika berpeluang merasai sendiri. Jadi, hantar borang cuti, sediakan bajet mencukupi untuk berseronok sepuas hati.
>>CARA KE SANA
ANDA boleh memandu sendiri atau menaiki pengangkutan awam, bas atau teksi. Bandar Lipis terletak 180 km dari Kuala Lumpur, 258 km dari Kuantan dan 300 km dari Kota Bharu.
Jika anda dari Singapura, boleh menaiki kereta api yang bertolak jam 8 jam setiap hari.
RUJUKAN PERCUTIAN
Tourism Malaysia
Lot G01, Mahkota Square,
Jalan Mahkota
25000 Kuantan, Pahang
Tel: 09-517 7111
Faks: 09-517 7114
http://www.pahangtourism.com.my