Sultan Perak ikut perlembagaan

Sultan Azlan Shah bertindak mengikut perlembagaan ketika menolak permohonan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kerana ia baru bersidang tidak sampai dua tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac tahun lalu.

Berdasarkan Perkara 36(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKNP) 1957, pembubaran Dewan hanya boleh dilakukan dalam tempoh lima tahun bersidang selepas ia ditubuhkan.

Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan berpendapat, bekas Menteri Besar tersebut menggunakan pendekatan undang-undang yang salah mengikut Perkara 36(2) UTKNP ketika memohon kepada Sultan Perak agar sidang Dewan dibubarkan.

Ini kerana pembubaran sidang Dewan hanya boleh dilakukan mengikut Perkara 16(6) UTKNP dalam keadaan Menteri Besar tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan.

Demikian penghakiman bertulis Hakim Datuk Md. Raus Sharif ketika mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pada 22 Mei lalu, Hakim Md. Raus yang mengetuai panel tiga hakim sebulat suara membenarkan rayuan Zambry terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang mengesahkan sebaliknya terhadap Mohammad Nizar.

Hakim Md. Raus bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop.

Zambry merayu terhadap perintah Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) yang mengesahkan Mohammad Nizar, 52, sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pada 11 Mei lalu, Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim membenarkan permohonan semakan kehakiman Mohammad Nizar agar beliau diisytiharkan masih Menteri Besar yang sah berdasarkan perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati Sultan untuk membubarkan sidang Dewan.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan Mohammad Nizar untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tersebut pada 9 Julai ini.

Dalam penghakiman setebal 49 muka surat bertarikh 2 Jun yang dikeluarkan hari ini, Hakim Md. Raus menjelaskan, Sultan Perak betul ketika melantik Zambry menggantikan Mohammad Nizar pada 6 Februari lalu.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url