Syor pelatih KPLI ajar di sekolah enam bulan

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bersetuju dengan cadangan Kementerian Pelajaran untuk memanjangkan tempoh pengajian Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) daripada setahun kepada 18 bulan, tetapi bersyarat.

Setiausaha Agung NUTP, Loke Yim Pheng, berkata syarat yang ditetapkan itu ialah pelatih dikehendaki menjalani pengajian selama setahun di maktab perguruan, manakala bakinya di sekolah.

Beliau berkata, tempoh pengajian yang diguna pakai sekarang, iaitu lapan bulan di maktab dan empat bulan di sekolah tidak memadai bagi melatih pelajar terbabit menjadi guru berkebolehan dalam mendidik anak murid.

"Pemimpin NUTP termasuk presiden (Hashim Adnan) sudah berbincang semalam (kelmarin) dan bersetuju dengan cadangan kementerian, tetapi dengan syarat 18 bulan yang dicadangkan itu ialah setahun belajar di maktab dan enam bulan di sekolah.

"Kenyataan presiden sebelum ini yang menyatakan NUTP membantah atau tidak setuju, adalah salah faham kerana tidak mendapat penjelasan yang sebenarnya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Hashim kelmarin, yang membantah cadangan Kementerian Pelajaran memanjangkan tempoh pengajian KPLI daripada setahun kepada 18 bulan.

Hashim dilaporkan berkata, tempoh setahun memadai kerana pelatih terbabit sebelum ini sudah menghabiskan masa empat tahun di universiti.

Sebelum ini, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Datuk Misrah Ibrahim, berkata pihaknya kini pada peringkat akhir memuktamadkan kertas kerja mengenai cadangan itu dan paling awal ia akan dilaksanakan pada pengambilan Januari depan.

Mengulas lanjut, Loke berkata, persetujuan NUTP untuk memanjangkan tempoh pengajian KPLI itu kerana menyedari graduan yang keluar dari universiti belum betul-betul terlatih dalam bidang perguruan.

"Jangan anggap pelajar yang keluar universiti selepas empat tahun sudah boleh menjadi guru. Bidang guru amat berbeza dengan bidang lain.

"Kita perlu guru yang betul-betul dilatih untuk menghadapi dan berurusan dengan pelajar, mempunyai jiwa guru sebelum turun padang dan mendidik anak murid.

"Sebab itu, tempoh 18 bulan itu memadai, dan perkara ini kami sudah bincang dengan presiden dan pemimpin NUTP. Kami bersetuju dengan pendirian Kementerian Pelajaran itu, tetapi dengan syarat," katanya.

Loke berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan kementerian dalam masa terdekat ini untuk berbincang lebih lanjut syarat berkenaan.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Sabahan
    Sabahan Khamis, 18 Jun 2009 pada 12:31:00 PTG SGT

    Saya mencadangkan KPM menawarkan terus kepada pemohon yang telah layak menghadiri temuduga dan memenuhi kriteria menjadi seorang guru tetapi tidak diberi tawaran KPLI Jun 2009 kerana jumlah pengambilan telah penuh (2000 sahaja)untuk ambilan KPLI Jan 2010. Langkah ini boleh mengurangkan kos seperti menduduki semula Mtest (kerana tidak banyak perbezaan bentuk soalan-soalannya) dan menghadiri semula temuduga. Saya pasti ada calon yang benar-benar layak tetapi tidak dipilih akan memohon semula dan mengulangi proses yang hampir sama.Kemungkinan pilihan subjek tidak sesuai yang boleh diubah sebagai tawaran kepada calon.Ini adalah cadangan untuk memantapkan lagi sistem pendidikan negara."Pilihlah yang terbaik antara yang terbaik*, tetapi jika masih ada tempat ambillah semula yang terbaik* itu kerana ia tetap berharga".

Add Comment
comment url