Teknologi tidak ubah manusia jadi lebih baik

Oleh NORIZAN SHARIF
http://nobisha.blogspot.com

Adakah anda pernah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dan memanjangkannya kepada ramai orang lain? Adakah anda pernah menerima e-mel dan memanjangkan kepada mereka yang berada dalam senarai kontak anda? Adakah anda membuat link video YouTube di Facebook anda?

Sekiranya anda pernah melakukan salah satu perkara di atas, ertinya anda telah dijangkiti virus media baru. Kesan jangkitan ini sama dengan virus H1N1. Ia merebak dengan mudah dan cepat. Dalam istilah media, ia dikenali sebagai kesan viral atau ‘viral effect’. Inilah yang menjadikan media baru sebagai sesuatu yang menarik dan sebab itu jugalah mengapa akhir-akhir ini masyarakat berbicara mengenai media ini dan peranannya dalam mencorakkan pendapat awam.

Fenomena ini adalah sesuatu yang dijangkakan berikutan ledakan pengguna Internet di negara kita. Dari hanya 3.5 juta orang pada tahun 2000, kini terdapat sekitar 16.5 juta pengguna Internet di Malaysia. Jumlah ini bertambah dari hari ke hari.

Sifat interaktif, personal dan multimedia, menjadikan Internet sebagai satu tarikan. Rangkaian sosial (social network) pula menjadikan media baru ini bertambah dan berpengaruh. Dilaporkan terdapat lebih 3.5 juta pemilik Friendster, satu juta pengguna Facebook dan 800,000 pemegang akaun MySpace di Malaysia. Bagaimanapun, perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi tidak semestinya menjadikan manusia lebih baik. Malah, dalam banyak kes, media baru semakin mengukuhkan kelakuan buruk manusia.

Sekiranya sebelum ini, seseorang hanya menceritakan keburukan orang lain kepada seorang rakan sepejabat, kini dia melakukan hal yang sama kepada beratus-ratus orang lain yang menjadi sahabat Facebook beliau. Kalau dulu, dia menabur fitnah kepada lima orang sahabat di kedai kopi, kini dia menggandakan dosanya kepada ratusan atau ribuan pembaca blognya.

Bukanlah sesuatu yang menghairankan, seseorang yang biadab melakukan kebiadaban yang sama kepada khalayak yang lebih ramai lagi melalui rangkaian sosial yang disebutkan tadi. Ada juga orang yang kelihatan lemah-lembut bertukar menjadi ganas dalam media baru. Dia membina tabiat baru mencarut, menggunakan kata-kata lucah, mencerca dan memaki-hamun orang yang tidak pernah ditemui atau dikenali.

Ini bermaksud, media baru mengukuhkan dan bukannya mengurangkan perbuatan negatif seseorang. Malah, media baru juga menukar akhlak seseorang dari kelakuan positif kepada tingkahlaku negatif dan dia boleh berasa ‘selamat’ untuk berbuat demikian kerana identiti dirinya tidak dikenali di alam maya.

Dalam bukunya, ‘From Gutenberg to the Global Information Infrastructure: Access to Information in the Networked World’, Christine L. Borgman menyebut “History shows that, time and time again, new technologies have supplemented, rather than supplanted, old ways of doing things.”

Kalau begitu, sahlah bahawa teknologi tidak mengubah manusia menjadi lebih baik. Adakah ini bermaksud media baru tidak baik? Tentunya saya tidak bermaksud untuk berkata begitu. Untuk menjadikan media baru bermanfaat, maka manusia itu sendirilah yang harus berubah, jauh lebih pantas dari perkembangan teknologi!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url