Temubual - Cara lain untuk meminjam
Tindakan di luar perikemanusiaan oleh ah long ini seharusnya mampu menyedarkan masyarakat bahawa jika tidak di kawal, kegiatan mereka ini mampu menggugat keamanan serta memporakperandakan institusi kekeluargaan.
Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, Hafizahril Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ahmad bin Haji Kabit meluahkan perasaan kesalnya tentang kegagalan masyarakat menolak gejala ah long.
“Orang ramai tidak sepatutnya memilih meminjam wang dari ah long ini walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
“Pihak kami tidak pernah mengiktiraf kewujudan mereka dengan mengeluarkan permit dan orang ramai perlu menggunakan medium yang dibenarkan seperti bank, koperasi dan juga Pemberi Pinjaman Wang Berlesen (PPWB) yang berada di bawah kelolaan Kementerian ini bagi mengelakkan sebarang musibah yang tidak diingini dari ah long,” katanya
MINGGUAN: Apa pandangan Datuk mengenai kegiatan ah long yang semakin berleluasa sekarang?
AHMAD: Masyarakat kini dikejutkan dengan isu ah long yang kian menjadi duri dalam daging dalam kehidupan. Oleh itu orang ramai disaran menjauhkan diri dari terjebak dengan ah long bagi memastikan mereka tidak dizalimi dengan perlakuan kejam hingga menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa. Menyedari hakikat ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyaran orang ramai supaya tidak mendekati ah long untuk mendapatkan pinjaman segera. Sebaliknya menggunakan bank, koperasi dan juga Pemberi Pinjaman Wang Berlesen (PPWB) yang berada di bawah kelolaan kementerian ini. Untuk pengetahuan umum, kementerian mengeluarkan lesen dan permit kepada pengusaha PPWB dan bukannya kepada ah long. Ah long yang beroperasi sekarang bukanlah satu entiti yang sah dari segi perniagaan dan perundangan. Mereka ini tidak pernah diberikan lesen oleh pihak kementerian dan pihak kami tidak pernah mengiktiraf kewujudan mereka dengan mengeluarkan permit kepada mereka.
Apakah perbezaan antara PPWB dan ah long?
AHMAD: Memang terdapat perbezaan yang nyata di antara PPWB dan ah long. Untuk makluman, PPWB berlesen adalah sebuah entiti yang menjalankan pinjaman wang secara sah dan berdaftar di bawah KPKT. Kadar faedah maksimum yang boleh dikenakan adalah tidak melebihi 12 peratus setahun untuk pinjaman bercagar dan 18 peratus setahun bagi pinjaman tidak bercagar sedangkan ah long biasanya akan mengenakan kadar faedah yang melebihi daripada itu. PPW juga adalah tertakluk di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400).
Adakah terdapat aduan PPWB yang kemudian menyalahguna lesen mereka dengan bertindak seperti ah long?
AHMAD: Sebenarnya, tiada ah long yang diberikan lesen dan aktiviti mereka adalah menyalahi undang-undang .
PPWB yang berdaftar di bawah KPKT adalah yang berlesen dan dikawal di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) dan peraturan-peraturan yang berkaitan.
Pihak KPKT menggunakan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan peraturan-peraturan berkaitan untuk mengambil tindakan terhadap PPWB yang bertindak menyalahi undang-undang.
Sebanyak 27 surat tunjuk sebab telah dikeluarkan dalam tahun semasa untuk pelbagai kesalahan yang membolehkan lesen PPWB ditarik balik dan sebanyak 5 kompaun kesalahan telah dikeluarkan.
Manakala sehingga kini, sebanyak 4 kes PPWB telah dijatuhkan hukuman oleh pihak mahkamah di mana dua kes melibatkan kadar faedah yang tinggi dan dua kes lagi melibatkan PPWB yang menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.
Adakah ia berada di tahap yang membimbangkan?
AHMAD: Mengikut trend, adalah didapati bahawa kes aduan yang diterima meningkat di mana untuk lima bulan pertama tahun 2009 sahaja terdapat sebanyak 48 kes. Keadaan ini jelas menunjukkan peningkatan dalam kes yang diterima jika dibandingkan dengan tahun 2008 di mana jumlah kesnya adalah sebanyak 72 di sepanjang tahun tersebut. Sehubungan dengan itu, pada pandangan saya, situasi sebegini bukanlah sesuatu yang sihat dan ia perlu diberi perhatian yang sewajarnya di mana KPKT mengambil berat dan sentiasa mencari jalan untuk membantu pihak peminjam mengikut peruntukan undang-undang
Apakah bentuk hukuman yang boleh dikenakan kementerian untuk mengawal kegiatan PPWB berlesen?
AHMAD: Hukuman yang boleh dikenakan kementerian terhadap PPWB yang didapati bersalah ialah denda, ditarik balik lesen dan hukuman lanjut yang akan ditentukan oleh mahkamah.
Apakah terdapat masalah dan kekangan oleh KPKT dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan?
AHMAD: Masalah yang kami hadapi ialah kekurangan pegawai dan anggota polis yang berkhidmat di ibu pejabat KPKT yang perlu mengawasi dan mengambil tindakan terhadap PPWB yang melanggar undang-undang di seluruh Malaysia. Keadaan ini menyebabkan wujudnya persefahaman di antara pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KPKT di mana dalam Mesyuarat Pasukan Khas Mencegah Ceti Haram yang diadakan pada 28 Disember 2006, kedua pihak telah bersetuju supaya KPKT memberi tumpuan ke atas penguatkuasaan PPWB berlesen sahaja manakala pihak PDRM menjalankan penguatkuasaan ke atas ah long di mana kegiatannya yang lebih berbentuk jenayah.
Walau bagaimanapun, perjawatan yang sedia ada tidak cukup untuk Cawangan Penguatkuasaan Pemberi Pinjam Wang untuk berfungsi dengan lebih efisien dan berkesan. Justeru itu, pihak kementerian sedang mengambil langkah untuk menambah bilangan perjawatan yang sedia wujud supaya aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan premis PPWB secara berkala dapat dilaksanakan dengan lebih cemerlang.
Apakah garis panduan yang ditetapkan kerajaan bagi mengawal operasi pinjaman berlesen ini?
AHMAD: Apabila kita berbincang mengenai garis panduan, perlu kita mengetahui bahawa KPKT mengambil berat dalam mengawal operasi pinjaman berlesen ini. Sejak tahun 2008, dasar dan kriteria pengeluaran lesen baru telah diperketatkan. Di antara syarat dan kriteria yang ditetapkan adalah:-
1. Mempunyai modal berbayar / modal kerja tunai RM satu juta
2. Mana-mana syarikat / pertubuhan / firma dalam apa jua bidang perniagaan yang berjaya membuat keuntungan melebihi RM 1 juta setahun bagi tempoh tiga tahun berturut-turut dengan rekod perniagaan yang bersih atau; mana-mana syarikat / pertubuhan / firma yang mempunyai seorang atau lebih pemilik saham yang mempunyai sekurang-
kurangnya lima (5) tahun pengalaman profesional dalam pengurusan kewangan dan perbankan atau; pemegang lesen PPW sedia ada yang telah berjaya membuat keuntungan melebihi RM500,000 setahun bagi tempoh tiga tahun berturut-turut dengan rekod perniagaan yang bersih dan bertujuan untuk penubuhan cawangan baru;
3. Terdapat kekosongan kuota dalam kawasan PBT yang dipohon;
4. Perniagaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pendaftar Pertubuhan, yang mana berkenaan;
5. Semua pemilik saham / ahli lembaga pengarah perlu lulus tapisan polis dan mempunyai rekod bersih daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bank Negara Malaysia dan Jabatan Insolvensi dan;
6. Pemohon bukan pemilik tunggal.
Bagaimanakah kaedah pemantauan ini dijalankan?
AHMAD: Kaedah pemantauan secara rambang digunakan untuk mengawal dan mengawasi operasi PPWB berlesen di mana bagi tempoh 1 Januari 2008 hingga 31 Disember 2008 sebanyak 296 premis perniagaan PPWB telah dibuat pemantauan oleh pihak KPKT. Manakala, bagi tahun 2009, sebanyak 301 premis PPWB telah dipantau sehingga 31 Mei 2009 dan pemantauan ini melibatkan keseluruhan Semenanjung Malaysia.
Apakah perancangan pihak kementerian dalam mengatasi dan mengawal kegiatan ini?
AHMAD: Isu ini merupakan isu nasional dan menarik perhatian masyarakat ramai. Kementerian sedang meneliti undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan kegiatan ini, khususnya tentang Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 untuk lebih diperkemaskan bersesuaian dengan perkembangan semasa.
Adalah diharapkan agar peruntukan undang-undang dan hukuman yang lebih ketat dikenakan kepada mereka yang menjalankan aktiviti haram sebegini.
Apa yang sepatutnya dilakukan orang awam sekiranya mereka sangsi atau terjebak dalam kegiatan sebegini?
AHMAD: Seperti mana yang diterangkan tadi, pengagihan dan kerjasama di antara PDRM dan KPKT telah wujud sejak Mesyuarat Pasukan Khas Mencegah Ceti Haram yang diadakan pada 28 Disember 2006. Sehubungan itu, orang ramai boleh membuat aduan rasmi di Cawangan Penguatkuasaan KPKT sekiranya mereka mempunyai maklumat atau terjebak dalam pinjaman PPWB yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta PPW 1951 dan peraturan-peraturan berkaitan. Untuk makluman, pengadu perlu memberikan maklumat yang diperlukan seperti nama, alamat operasi dan nombor telefon PPWB terlibat, salinan perjanjian pinjaman, kadar faedah yang dikenakan melalui bukti seperti resit atau penyata bank dan juga unsur-unsur ancaman yang dihadapi
Sekiranya ia membabitkan ah long, pihak yang berkenaan adalah dinasihatkan untuk membuat laporan polis di mana-mana balai polis yang berdekatan dan pihak KPKT juga akan merujuk kes-kes yang melibatkan ini ke PDRM. Untuk sebarang pertanyaan, pihak pengadu juga boleh mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat Cawangan Penguatkuasaan Pemberi Pinjaman Wang dan Pajak Gadai melalui talian telefon 03-20993223/03-20992410. Selain daripada itu juga Kementerian telah memperkemaskan portal Pemberi Pinjaman Wang di laman web KPKT (www.kpkt.gov.my). Semua data dan maklumat Pemberi Pinjam Wang boleh didapati di dalam portal ini.
- UTUSAN