Terengganu buat persiapan awal hadapi Sukma 2010


Bagi memantapkan persiapan Terengganu menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2010 di Melaka, 383 atlet, jurulatih dan pegawai negeri akan menyertai kem Sukma fasa pertama di Tati University College (Tatiuc), Kemaman bermula hari ini.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Rosdi Awang berkata, peserta yang mengikuti kem selama tiga hari itu terdiri daripada kalangan mereka yang terbabit dalam 21 jenis sukan yang akan dipertandingkan kelak.

Menurut Rosdi, mereka terdiri daripada atlet serta pegawai dari acara sukan angkat berat, badminton, lumba basikal, bola jaring, ekuestrian, gimnastik, hoki, karate-do, boling padang, memanah, menembak, olahraga, pencak silat, perayu layar, petanque, ping pong, sepak takraw, skuasy, tinju dan wusyu.

"Empat lagi sukan yang tidak terlibat dengan kem itu ialah bola sepak, tenpin boling, silamban dan bola keranjang kerana mereka belum menamakan atlet masing-masing," katanya.

Rosdi berkata, antara modul program pada kem itu ialah "ice breaking", "team building", "misi kita world class athletes", pemantapan rohani, atlet masuk kampung dan pengurusan kecederaan sukan.

Katanya, bagi program atlet masuk kampung, para peserta akan menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan ia sekali gus dapat mendedahkan mereka dengan masyarakat setempat.

Lima buah kampung dalam kawasan DUN Kemaman iaitu Kampung Ibok, Kampung Yak Yah, Kampung Padang Kemunting, Kampung Batu Enam dan Kampung Pondok Pasir dipilih sebagai kampung angkat untuk program ini.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url