Ibu bapa galak anak lebih aktif
Masyarakat Malaysia kini semakin dihimpit masalah kegemukan atau obesiti. Lebih membimbangkan gejala yang sebahagian besarnya berpunca daripada gaya hidup tidak sihat, turut membabitkan golongan kanak-kanak.
Berdasarkan statistik, kira-kira 15 peratus kanak-kanak di seluruh negara mengalami masalah obesiti dan lebih menakutkan mereka ini akan membesar sebagai orang dewasa yang obes.
Malah, angka itu juga dilihat meningkat mencecah antara 30 hingga 40 peratus di kawasan bandar seperti di Lembah Klang.
Menurut Timbalan Pengarah (Akademi) dan Pensyarah Kanan Fisiologi Senaman, Universiti Malaya, Dr. Ahmad Munir Che Muhamed, keadaan itu berlaku disebabkan sikap ibu bapa zaman ini yang terlalu mementingkan akademik sehingga tidak menggalakkan anak-anak terlibat dalam aktiviti fizikal termasuk bersukan.
Katanya, berbeza dahulu apabila kebanyakan kanak-kanak lazimnya tidak betah duduk di rumah apatah lagi pada waktu petang.
Mereka bebas berbasikal, bermain bola ataupun melakukan aktiviti luaran lain tanpa ibu bapa perlu berasa bimbang atau marah.
Malangnya kata Dr. Ahmad Munir, senario sekarang jauh berbeza sehinggakan 'kebebasan' bermain menjadi sesuatu yang asing pada diri anak-anak.
''Kebanyakan ibu bapa hari ini beranggapan jika anak-anak mereka aktif dalam kokurikulum atau sebarang aktiviti sukan di sekolah, pelajaran mereka akan tercicir dan merosot. Sebab itu, anak-anak lebih digalakkan menumpukan perhatian pada akademik.
''Amalan boleh dianggap tidak sihat, kerana sepatutnya sebagai ibu bapa mereka yang perlu menunjukkan teladan dan memainkan peranan penting dalam menggalakkan gaya hidup sihat dalam keluarga.
''Sebab itu bagi saya, kita kena berbalik kepada perkara asas iaitu peranan ibu bapa," katanya ketika ditemui di Pusat Sukan Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dr. Ahmad Munir, berpendapat tidak ramai ibu bapa yang mengajak anaknya bersukan, tidak kira pergi berjogging, berenang mahupun melakukan senaman ringkas.
Sebaliknya, mereka lebih menggalakkan anak-anak menghadiri kelas tuisyen bukan sahaja selepas tamat waktu persekolahan, malah pada setiap hujung minggu.
Paling tidak pun katanya, ibu bapa hari ini lebih gemar menghabiskan masa hujung minggu dengan berjalan-jalan di pusat membeli-belah berbanding membawa anak mereka ke taman permainan.
"Biarpun ada yang menyatakan berjalan itu juga merupakan salah satu senaman ringkas, tetapi ia sebenarnya tidak mencukupi apatah lagi dalam usaha untuk menyemai budaya hidup sihat dan cergas di kalangan anak-anak," katanya.
Secara amnya jelas beliau, seorang individu termasuk kanak-kanak perlu melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.
Aktiviti fizikal yang dilakukan tersebut hendaklah membabitkan pergerakan otot dan sistem saraf.
"Perlu diketahui bahawa antara punca berlakunya obesiti bukan hanya disebabkan oleh faktor pemakanan yang tidak terkawal tetapi juga kurangnya aktiviti fizikal.
''Memang tidak dinafikan di sekolah wujudnya kokurikulum termasuk aktiviti sukan untuk disertai oleh para pelajar. Cuma, apakah faedah yang diperoleh kanak-kanak itu jika mereka hanya melakukan aktiviti fizikal tersebut selama satu atau dua jam dalam seminggu?
''Mungkin ibu bapa kurang menyedari bahawa aktiviti fizikal dapat membantu tumbesaran dan merangsang pergerakan otak kanak-kanak. Malah, anak-anak yang aktif bersukan selalunya menonjolkan kemahiran insaniah tidak kira berkaitan keyakinan diri atau komunikasi.
''Bersukan sebenarnya boleh menyelesaikan masalah kanak-kanak yang kurang bercakap dan tidak ada keyakinan diri. Kanak-kanak mempunyai sikap yang pasif dan lemah ekoran daripada persekitaran di rumah yang tidak aktif.
"Mereka akhirnya akan berasa janggal untuk bergaul apabila kehidupan hanya tertumpu kepada akademik semata-mata tanpa langsung memberi ruang untuk bersosial termasuk bersukan," ujar Dr. Ahmad Munir.
Beliau menambah, faktor keselamatan mungkin antara punca ibu bapa bertindak melarang atau kurang memberi kebebasan kepada anak-anak mereka untuk terlibat dalam aktiviti fizikal di luar rumah biarpun untuk bermain di taman permainan.
Sebab itu, aktiviti sukan yang diadakan dalam dewan seperti futsal semakin mendapat perhatian golongan kanak-kanak dan remaja kerana dilihat ia lebih selamat dan selesa.
''Mengadakan aktiviti sukan di tempat tertutup sebenarnya satu idea yang baik. Selain dapat mengurangkan bahang panas cuaca di luar, ia juga memberi lebih keyakinan kepada ibu bapa untuk melepaskan anak-anaknya bergiat aktif dalam kegiatan sukan," katanya.
Namun katanya, bergiat aktif dalam aktiviti sukan tidak bermakna anak-anak itu akan bergelar atlet negara.
Apa yang penting, jika mereka telah digalakkan melakukan aktiviti fizikal sejak kecil, ia secara tidak langsung telah membuka laluan untuk membentuk sebuah generasi sihat di masa hadapan.
Jelas beliau, sebaiknya kanak-kanak didedahkan dengan aktiviti fizikal seawal usia satu setengah tahun atau dua setengah tahun.
Tetapi sebelum itu, iaitu pada peringkat awal, ibu bapa seharusnya mengambil langkah membawa anak mereka keluar melihat kehijauan alam. Cara itu boleh membantu menggalakkan mereka menggerakkan fizikalnya.
Sekiranya kanak-kanak tersebut sudah mampu berdikari, tidak kira seawal usia enam atau tujuh tahun, mereka sebenarnya sudah boleh digalakkan untuk membabitkan diri dalam kegiatan sukan.