Ucapan oleh PM di Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Komanwel Ke-17 (CCEM)

Terlebih dulu izinkan saya mengucapkan Selamat Datang ke Malaysia kepada semua delegasi dan peserta Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Komanwel Ke-17 (CCEM).

Hari ini, saya berasa amat bertuah kerana berdiri di hadapan perhimpunan 'jurutera' modal insan dari rantau Komanwel dan menyentuh perkara yang amat dekat di hati semua iaitu pendidikan. Peranan pendidikan sebagai alat transformasi dalam membentuk dan menentukan hala tuju sesebuah negara sebenarnya sudah wujud sejak sejarah tamadun manusia.

Tidak boleh disangkal lagi, nasib dan masa depan negara kita semua bergantung kepada betapa cemerlangnya kita menangani tanggungjawab paling penting ini. Perjuangan untuk mencipta masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang secara mutlaknya memang terletak di dalam kelas pendidikan kita hari ini.

Kami di Malaysia, melihat pendidikan sebagai satu agenda paling penting dan menjadi pentas utama untuk mengoptimumkan potensi setiap warga kami dan meletakkannya dalam jangkauan untuk mencapai impian Malaysia. Bagi pihak pentadbiran, lebih satu perlima daripada belanjawan tahunan diperuntukkan ke arah pendidikan dan pembangunan bagi industri ini. Sejumlah besar daripada peruntukan RM31 bilion, diperuntukkan untuk Kementerian Pelajaran, manakala RM14.1 bilion lagi diberi kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Ini adalah komitmen tidak berbelah bahagi Kerajaan Malaysia untuk menyediakan akses pendidikan berkualiti secara sama rata kepada seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira di mana dan pendapatan mereka. Ketika ini, Malaysia sedang dalam proses membentuk satu model ekonomi baru yang akan meningkatkan taraf Malaysia kepada negara berpendapatan tinggi dalam tempoh sedekad ini � melonjakkan kami daripada situasi hari ini sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi.

Model ekonomi baru ini akan mengubah kedudukan kami daripada asas perindustrian yang bergantung kepada buruh separuh mahir dan murah, kepada industri perkhidmatan moden yang memerlukan pekerja mahir dan berpendapatan tinggi. Model ekonomi baru akan memerlukan input seperti kreativiti, inovasi, nilai tambah tinggi dan semangat keusahawanan. Sebuah Majlis Penasihat Ekonomi sudah ditubuh dan ditugaskan untuk menjadikan impian ini suatu realiti.

Saya menjadikan kejayaan pembentukan dan pelaksanaan model ekonomi baru ini sebagai tema utama pentadbiran saya. Saya sedar ia memerlukan satu perubahan dasar yang besar dan komprehensif dalam semua bidang, tetapi perubahan ini akan menjadi paksi utama kepada masa depan Malaysia.

Kejayaan model ekonomi baru ini amat bergantung kepada strategi pembangunan modal insan yang berkesan. Impian besar ini tidak akan berjaya sekiranya sistem pendidikan kami gagal untuk menghasilkan modal insan yang mampu menghadapi cabaran inovasi ekonomi alaf ke-21 ini. Saya ingin meyakinkan semua pihak bahawa ia akan menjadi dasar utama kerajaan ini untuk membentuk dan melaksana segala strategi serta dasar yang ada, bagi memastikan kejayaan model ekonomi baru ini.

Kami juga sudah memulakan satu kajian semula yang komprehensif ke atas kurikulum kebangsaan kami bagi memastikan elemen kreativiti, inovasi, nilai tambah tinggi dan semangat keusahawanan yang saya sebutkan di atas tadi, boleh digabungkan pada semua peringkat sistem persekolahan kami. Satu lagi aspek penting yang kami sedang kaji ialah keperluan untuk menghasilkan modal insan yang boleh menguasai lebih daripada satu bahasa atau dalam perkataan lain, pelbagai bahasa.

Kemajuan yang berlaku dalam teknologi maklumat, komunikasi dan pengangkutan menjadikan aspek ini begitu penting, berikutan dunia hari ini sudah menjadi satu pasaran yang begitu besar untuk barangan serta perkhidmatan � kita mesti mengambil peluang daripada situasi ini. Dalam hal ini, kami bersedia berkongsi dan belajar daripada pengalaman semua rakan Komanwel yang lain.

Adalah tepat tema 17CCEM Ke-17 ini - 'Pendidikan dalam Komanwel; Ke Arah dan Melangkau Matlamat serta Sasaran Global'. Tema ini memang tepat kerana ia mengingatkan kita terhadap komitmen mengikut Matlamat Pembangunan Alaf Baru (MDG) yang menggariskan matlamat untuk mengurangkan separuh daripada kemiskinan yang berlaku hari ini, memperbaiki pendidikan dan menangani kematian bayi menjelang 2015, serta mencapai matlamat pendidikan untuk semua yang diharap dapat dicapai pada tahun yang sama.

Dengan lebih separuh daripada 115 juta kanak-kanak dunia tanpa pelajaran berada di dalam negara Komanwel, kita wajar menggalas tugas ini dengan lebih gigih bagi memastikan semua matlamat ini dapat direalisasikan. Kita perlu pastikan, setiap janji dibuat dapat dikecapi semua rakyat dan tidak ada seorang pun kanak-kanak ditinggalkan.

Ketika ini, semua cabaran ini sedang diancam oleh krisis ekonomi global. Dalam dunia tanpa sempadan dan saling bergantung, tidak ada negara yang bebas daripada kesan kemelesetan ini. Justeru, tidak ada mesyuarat antarabangsa hari ini yang tidak menyentuh krisis ekonomi global ini. Saya yakin sidang ini juga tidak terkecuali.

Kesan krisis ini ke atas pendidikan memang serius. Krisis ekonomi ini meningkatkan persaingan ke atas dana awam yang ada hari ini. Rancangan untuk inisiatif pendidikan yang dicipta ketika zaman ekonomi baik, kini terpaksa ditunda buat sementara waktu.

Sebarang pengurangan belanjawan besar dalam pendudukan akan mengakibatkan kekurangan peluang pendidikan dan kualitinya. Pengalaman daripada krisis ekonomi lalu membuktikan kesan kemelesetan ekonomi akan dialami hampir semua kanak-kanak dan generasi muda.

Semua faktor ini jika dibiarkan tanpa kawalan akan mengakibatkan peningkatan dalam kadar kemiskinan pada masa depan, ketidaksamaan pendapatan yang semakin pantas dan kapasiti pembangunan mapan yang rendah, sekali gus mencetus kembali pusingan suasana tidak mampu dan keyakinan yang rendah.

Bagi kebanyakan negara baru membangun, wujud bahaya bahawa krisis ekonomi ini akan mengubah pencapaian mereka di bawah MDG setakat ini. Petanda bahaya ini sudah mula kelihatan. Bagaimanapun, hasrat untuk mencapai MDG dan Pendidikan Untuk Semua tidak patut berhenti setakat statistik dan logistik.

Hari ini, lebih daripada sebelum ini, usaha untuk mencapai pendudukan rendah universal tidak sepatutnya hanya membabitkan tindakan menghantar anak kita ke sekolah atau memastikan mereka mempunyai sekolah untuk dituju. Hasrat untuk melangkaui matlamat dan sasaran global sepatutnya tidak sekadar jumlah yang ditambah, tetapi aspek kualitatif juga perlu dicapai.

Oleh itu, pendidikan mesti menjadi satu hubungan dan pembukaan hati serta minda. Dalam hal ini, pendidikan adalah satu transformasi dan mesti memiliki nilai tambah, bukan hanya pada peringkat tinggi tetapi bermula pada peringkat awal persekolahan.

Sekiranya pendidikan tidak mempunyai kesan langsung, maka tidak ada guna untuk bercakap mengenai kualiti pendidikan pada peringkat tinggi sekiranya kita tidak memastikan kualiti pada peringkat paling asas, iaitu dari prasekolah. Seperti kata pepatah Cina, untuk membina sebuah rumah kita mesti mula daripada asasnya. Di sini saya berbangga kerana isteri saya memulakan sistem pendidikan awal dan membantu memulakan program kanak-kanak prasekolah di seluruh negara yang dikenali sebagai Permata.

Malah, ketika saya menjadi Menteri Pelajaran, saya sudah memasukkan prapersekolahan sebahagian daripada kurikulum dan memandatkan semua tadika supaya mengikuti garis panduan kurikulum disediakan Kementerian Pelajaran. Adalah malang di banyak negara, program penjagaan dan pendidikan kanak-kanak peringkat awal tidak begitu diberi perhatian, walaupun fakta membuktikan kanak-kanak berusia antara satu hingga lima tahun memang memiliki kedudukan terbaik dalam aspek kesihatan, pemakanan dan pembangunan kognitif.

Pendidikan dilihat sebagai kemajuan enjin ekonomi dan pergerakan sosial. Usaha yang tidak kunjung padam untuk mendapat persaingan sihat ini membuatkan banyak negara memberi perhatian kepada pendidikan sebagai tonggak untuk mengukuhkan persaingan, bidang pekerjaan dan kekuatan sosial.

Ternyata, ini adalah kesan yang tidak boleh dielakkan hasil daripada ekonomi global yang semakin kompleks dan kemajuan teknologi yang terlalu pantas. Untuk terus bertahan dan bersaing dalam masa yang sukar ini, kita mesti meningkatkan daya kreativiti dan inovatif untuk membolehkan kita menghasilkan perbezaan kritikal.

Hari ini, kita tidak lagi mampu hanya untuk menjadi manusia biasa dalam inovasi ekonomi yang sungguh kompetitif ini, sebaliknya kita mesti bergerak melangkaui perkara biasa dan bekerja keras untuk mencapai kecemerlangan. Dalam senario seperti ini, kerjaya sebagai tenaga pengajar semakin mencabar. Membuka pintu kepada kreativiti dan inovasi, memerlukan guru menggalas peranan baru dan penuh inovasi.

Kebijaksanaan di atas pentas mesti memberi laluan kepada fasilitator yang duduk di tepi. Instruktor mesti menjadi jurulatih. Daripada sekadar menjadi penyampai ilmu pengetahuan, guru mesti menjadi pencipta yang membentuk individu menjadi manusia sejati yang memiliki nilai positif, sebagai tambahan kepada pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dalam dunia baru ini.

Untuk memastikan ini semua terjadi, sekolah dan guru mesti menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa untuk membangunkan sahsiah anak kita.

Pasca 9/11 menjadikan dunia tidak lagi selamat, manakala keamanan dunia kekal sebagai matlamat universal yang memang diingini semua manusia. Kebimbangan yang dicetuskan hari ini kelihatan seperti tidak kena pada sejarah. Kedudukan berterusan dalam suasana konflik dan huru hara, hanya menguntungkan segelintir yang songsang daripada visi dunia dan yang sanggup memaksa versi mereka ke atas seluruh umat manusia.

Kerana itu, saya gembira untuk memetik ucapan Presiden Barack Obama di Kaherah dan beliau berjaya menyentuh tonggak isu ini:

"Adalah mudah untuk memulakan perang daripada menamatkannya. Adalah mudah untuk menyalahkan orang lain daripada melihat ke dalam diri sendiri. Adalah mudah untuk melihat perbezaan yang berlaku pada diri seseorang daripada mencari persamaan yang ada antara kita. Tetapi kita patut memilih jalan yang betul, bukan sekadar jalan yang mudah..."

Justeru, di Komanwel kita mempunyai peluang untuk menjadi bukan sekadar pemerhati, tetapi peserta aktif dalam membina dunia yang lebih baik. Kita boleh dan wajar menunjukkan jalan untuk mara ke hadapan, kerana Komanwel adalah contoh kejayaan negara-negara aman dan ia boleh dicapai, sekiranya kita sanggup bekerjasama berasaskan saling menghormati dan memberi kebaikan bersama.

Oleh itu, persidangan ini memang tepat masanya kerana kita juga meraikan ulang tahun ke-60 pertubuhan ini, pada Ogos depan. Masa mungkin berlalu dan suasana mungkin berubah dari semasa ke semasa bagi semua 53 negara anggota, sejak kita mula menyertai keluarga kumpulan negara ini.

Dalam tempoh 60 tahun ini, jika tidak semua tetapi kebanyakan negara Komanwel berjaya menghadapi pelbagai ujian masa, disebabkan ia membawa kepelbagaian nilai, kebebasan, harapan, keadilan sosial dan nilai kesaksamaan, yang sememangnya universal dan mewakili keinginan manusia sejagat. Masa tidak ternilai ini juga mengikat dua bilion penduduk yang mewakili 30 peratus kemanusiaan dalam lingkungan harapan dan peluang.

Memang tidak dinafikan lagi, Malaysia turut menerima keuntungan daripada keahlian ini. Bahasa Inggeris, tradisi perundangan awam, sistem Westminster, sistem demokrasi berparlimen, birokrasi yang berkesan dan semangat menimba ilmu, adalah faedah bersama yang kami warisi.

Di samping itu, sebagai sebuah negara pelbagai kaum dan etnik, kami amat sensitif terhadap keperluan untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian. Kami percaya keamanan dan perpaduan boleh dikekalkan melalui penerimaan nilai bersama dan keadilan sosial.

Semua nilai ini sudah lama disemai dalam falsafah yang menjadi panduan sejak 50 tahun menjadi sebuah negara. Disebabkan alasan ini, sebaik saja saya memasuki pejabat sebagai Perdana Menteri, saya memperkenalkan konsep 1Malaysia bagi meneruskan usaha pemimpin sebelum saya untuk mengukuhkan perpaduan nasional.

Perkara paling penting konsep ini memerlukan perubahan paradigma yang besar kepada penerimaan tanpa sebarang syarat berasaskan sikap saling menghormati. Kami perlu menerima dan meraikan perbezaan yang wujud kerana ia menambahkan Malaysia dengan warna kehidupan, kepelbagaian dan kesegaran.

Kita mesti memahami bahawa kepelbagaian adalah kekuatan utama kami dan kami mesti menggunakan kekuatan itu bagi membuahkan keuntungan kepada negara ini.

Sekarang saya ingin menyentuh isu globalisasi, satu subjek yang tidak boleh dielakkan dalam mana-mana perbincangan hari ini. Hakikat mengenai globalisasi mampu untuk mencetus maklum balas yang lantang. Ada antara kita menolak dan enggan menerima fenomena ini. Yang lain cuba memahami dan menerimanya, manakala ada yang lain benar-benar menerima idea globalisasi ini dan mengaitkannya dengan semua kebaikan dan kemajuan dalam sosiobudaya dan ruang pendidikan pada alaf baru ini.

Walau apapun reaksi, kita tidak boleh menafikan kesan globalisasi dalam pembangunan kita, dalam gerak hati dan dalam konteks persidangan ini, kesannya ke atas sistem pendidikan kita. Globalisasi menawarkan kedua-dua � ancaman dan peluang. Kita perlu mengenal pasti dan mengeksploitasi peluang yang ada, tetapi pada masa sama mengawasi ancaman yang wujud, kerana mereka yang tersingkir disebabkan globalisasi adalah golongan yang suara mereka tidak didengar.

Pelbagai elemen dikenal pasti sebagai mercu tanda globalisasi. Saya ingin memberi tumpuan hanya pada satu � ledakan pengetahuan yang luar biasa. Dunia globalisasi adalah kesan daripada ledakan dan penyebaran maklumat dan pengetahuan, kebanyakannya dalam bentuk digital. Penyelidikan dan pembangunan sekarang telah melampaui pelaburan modal dalam pertanian dan perindustrian.

Kerjasama keusahawanan sekarang sudah berubah daripada sebuah tempat untuk pengeluaran barangan kepada tempat mencipta pengetahuan. Peranan pengetahuan dalam semua aktiviti manusia hari ini sungguh kritikal, sehingga konsep pembangunan dan kemajuan didefinisikan semula dalam bentuk kemampuan untuk merangsang, mendapat, mengedar dan menggunakan pengetahuan.

Kehadiran atau ketiadaan kemampuan bagi ciptaan pengetahuan ini, adalah satu-satunya faktor yang membezakan antara negara kaya dan miskin, antara negara dunia yang memiliki individu yang berpotensi untuk menentu atau bertindak secara autonomi, dan mereka yang belum lagi mengetahui kemampuan sebenar mereka.

Paradigma baru ini berpusat kepada penciptaan pengetahuan dan penggunaan dalam mencipta cabaran baru kepada usaha negara-negara membangun untuk menggerakkan sains dan teknologi, bagi memperbaiki kehidupan warga mereka. Kini semakin terbukti, tanpa memiliki sekurang-kurangnya kemampuan sains dan teknologi yang minimum, serta akses pengetahuan dan maklumat, negara sedang membangun tidak boleh diharap untuk memperbaiki taraf hidup mereka.

Kunci utama untuk meleraikan potensi kepada paradigma baru pengetahuan ini ialah pendidikan. Kejayaan sistem pendudukan akan diukur dengan sejauh mana golongan profesional industri ini mampu untuk menstruktur dan memprogram semula sistem kepada pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan.

Modal intelektual yang dirangsang sistem pendidikan akan menentukan kejayaan ekonomi sesebuah negara atau rantau. Jarak perubahan teknologi memerlukan tenaga pelatih yang mantap daripada peringkat awal dan mereka perlu berterusan menerima latihan. Pada masa depan, pekerjaan akan memerlukan kemampanan intelektual yang canggih - kemampuan untuk berfikir secara abstrak dan analisis serta membuat pilihan berasaskan kemahiran ini.

Justeru, adalah jelas bahawa kita perlu meningkatkan kualiti sistem pendidikan. Kita perlu menimbangkan betapa cara dan teknologi pembelajaran boleh dikembang untuk melahir modal insan yang mempunyai kemampuan dalam bidang linguistik, saintifik dan teknikal, bagi merangsang dan menggunakan pengetahuan secara berkesan dalam usaha untuk bersaing bagi menghasilkan barangan dan perkhidmatan yang lebih canggih.

Ini adalah keperluan utama untuk ekonomi inovasi. Kerana itu, kualiti pendidikan berkait rapat dengan kekuatan ekonomi. Cabaran bagi sidang ini ialah untuk menawarkan cadangan konkrit dan boleh dilaksana serta program bagi meningkat kualiti tenaga kerja kita.

Saya ingin mencadangkan supaya sidang ini menimbang kemungkinan membentuk satu pasukan kerja pakar yang boleh membantu negara anggota yang mungkin menghadapi cabaran untuk mencapai matlamat MDG dan Pendidikan Untuk Semua.

Saya percaya, adalah penting untuk persidangan ini supaya bukan saja mencari penyelesaian lebih baik dan memberi kesan nyata kepada krisis ekonomi hari ini, seperti pengurangan dana untuk pendudukan, malah juga menimbang cara dan usaha bagi menangani kesan kurang nyata yang saya gariskan tadi.

Kita mesti mengutamakan usaha untuk mengurangkan impak krisis dengan peluang yang ada untuk mencipta pendudukan berkualiti di kalangan wanita, kanak-kanak dan orang muda. Kita perlu strategi dan penyelesaian yang membolehkan kita mendapat semula apa yang hilang dengan menggunakan sumber ekonomi yang berkurangan dengan mantap, berkesan dan cermat.

Dalam analisis akhir, pendidikan mesti terus menjadi tanda aras, ejen dan penjaga kepada perubahan dan transformasi. Semua mesti akui, bahawa itu adalah arahan yang tidak boleh dielakkan.

Sebagai pembuat dasar dan pendidik, kita tidak boleh lari daripada tanggungjawab ini, kita tidak mampu untuk mengambil laluan yang kurang sukar atau jalan pintas, kerana apa yang betul walaupun sukar, adalah untuk masa depan negara kita yang amat bergantung kepada keputusan, komitmen dan keazaman kita.

Kesimpulannya, mengatasi segala-galanya dalam perjalanan kita dalam pendidikan - perkara paling utama ialah usaha yang mengatasi jangkauan dan mengoptimumkan potensi.

Dengan ini, saya berbesar hati merasmikan persidangan ini secara rasmi.

16 Jun 2009
KUALA LUMPUR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url