Jangan cabar polis
Menurutnya, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba menghidupkan kembali kumpulan itu kerana ia sebuah pertubuhan yang diharamkan setelah menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.
Sambil memberi amaran keras, Ismail berkata, pihak yang bertanggungjawab dalam usaha tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.
"Polis memberi amaran, jangan cuba hendak kucar-kacirkan perpaduan negara melalui unsur-unsur yang boleh memecah keharmonian pelbagai kaum di sini," tegasnya.
Baru-baru ini, beberapa klip video yang dimuatkan dalam laman web YouTube oleh pihak-pihak yang tertentu mendapati kandungannya mengagung-agungkan bekas pemimpin ajaran sesat itu, Ashaari Muhammad secara melampau.
Malah ada antara klip video itu mengandungi nyanyian memuji Ashaari yang menimbulkan polemik antara pengunjung laman web berkenaan dan beberapa individu dipercayai pengikut Ashaari.
Ditanya sama ada mereka yang memberi komen dalam ruangan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang, Ismail berkata: "Kita akan melihat perkara itu."
Pada masa yang sama, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan taktik-taktik kotor yang sengaja dimainkan oleh golongan-golongan tertentu.
Tiada kompromi!
Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang cuba menggugat keselamatan negara menerusi penyelewangan agama termasuk menggerakkan semula ajaran Al-Arqam.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, ini kerana aspek keselamatan merupakan agenda utama kerajaan dalam memastikan kehidupan rakyat tidak tergugat.
Katanya, KDN konsisten terhadap dasar keselamatan dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa sahaja yang cuba menggugatnya.
''Dalam isu keselamatan termasuk konteks ajaran agama yang memesongkan sama ada ia Islam, Kristian atau agama lain kita tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia semalam mengenai wujud pihak tertentu yang dipercayai cuba mengembalikan gerakan Al-Arqam menerusi klip video yang dimuat naik ke laman web YouTube oleh pihak tertentu.
Klip video yang turut mengagungkan bekas pemimpin ajaran sesat itu, Ashaari Muhammad dikesan dimuat naik tiga tahun lalu dan terbaru pada 4 Februari lalu.
Terdahulu, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong merasmikan Bengkel Ilmu Keluarga dan Bahtera Kasih anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Kampung Melayu Batu 4, Paloh di sini hari ini.
Mengenai klip video itu, beliau berkata, pihaknya tidak dapat bertindak semata-mata berlandaskan kepada paparan Internet.
"Apa yang diluahkan dalam Internet bukan menjadi sandaran kita tetapi ia memberikan notis untuk kita membuat siasatan," katanya.
Menurutnya, KDN mempunyai banyak sumber dan pelbagai cara untuk mendapatkan maklumat yang tepat untuk bertindak terhadap kegiatan tersebut mengikut undang-undang negara.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, pihaknya akan memperluaskan fungsi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dengan terlibat dalam pelbagai aktiviti dan program masyarakat.
Menurutnya, menerusi langkah ini JPAM bukan sahaja akan bergerak semasa kecemasan tetapi aktif dalam kegiatan lain yang boleh mengkukuhkan lagi perpaduan rakyat.
''Ini sejajar dengan konsep 1Malaysia yang dapat dikaitkan dengan perpaduan dan kesatuan rakyat pelbagai kaum," katanya.
- UTUSAN