Tindakan tegas jika guna perisian palsu
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Mohd Roslan Mahayudin, berkata pihaknya bekerjasama dengan Perikatan Perniagaan Perisian (BSA) bagi menyenaraikan pihak yang dikenal pasti menggunakan perisian cetak rompak atau tidak berlesen dalam urusan perniagaan.
Setakat ini tiga syarikat diserbu sejak Mei lalu iaitu firma hiasan dalaman di Kota Kemuning, Selangor, syarikat pembungkusan di Shah Alam dan syarikat pengiklanan di ibu negara.
“Dalam serbuan itu, 14 komputer dan 42 salinan perisian dipercayai tidak berlesen dan cetak rompak bernilai RM237,800 dirampas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Kebanyakan perisian cetak rompak berkaitan suntingan foto, animasi, perlindungan antivirus, sistem operasi yang sepatutnya dimiliki ahli BSA seperti Adobe, Autodesk, Microsoft dan Symantec.
Roslan berkata, walaupun denda dan penalti berat dikenakan, ia masih menjadi pilihan sesetengah syarikat korporat.
“Kementerian akan melaksanakan penguatkuasaan lebih tegas setiap minggu.
“Jika ada kes yang menunjukkan pihak melanggar Undang-undang Hak Cipta, kami akan mendapatkan waran tangkap terhadap pengarah atau pengurus kanan syarikat terbabit,” katanya.
- BERITA HARIAN