65% penduduk Putrajaya guna Primax 95


Sebanyak 65 peratus penduduk sekitar Putrajaya kini telah beralih kepada minyak petrol tanpa plumbum, Primax 95 yang mula dijual bulan lalu selepas kerajaan mengambil keputusan untuk menggantikan petrol RON 92 yang digunakan sekarang.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Peruncitan Petronas Dagangan Bhd., Mohd. Fadzlan Abdul Samad berkata, perkiraan itu dibuat berdasarkan kepada maklum balas jualan yang dikendalikan oleh dua stesen minyak Petronas di Putrajaya sejak dilancarkan bulan lalu.

Namun katanya, pengguna masih boleh membeli minyak petrol Primax 97 yang dijual di semua stesen minyak Petronas di seluruh negara sehingga penghujung Ogos ini.

"Seperti yang dirancangkan oleh kerajaan Primax 95 akan mula dijual di stesen minyak di seluruh negara bermula 1 September ini bagi menggantikan RON 92 manakala Primax 97 akan dijadikan minyak petrol premium," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran jualan Primax 95 di stesen Petronas Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Kepong di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan, Normah Sheikh Abdullah.

Primax 95 dijual pada harga RM1.75 menggantikan Primax 97 yang dijual pada harga RM1.80 ketika ini dan bermula 1 September Primax 97 diklasifikasikan sebagai minyak petrol premium.

Pelancaran itu merupakan yang pertama di stesen Petronas di Kuala Lumpur dan selepas ini akan diikuti pelancaran di Selangor tidak lama lagi.

Menurut Mohd. Fadzlan, pihaknya mendapati Primax 97 masih lagi mendapat sambutan dan ia tidak menjejaskan perancangan kerajaan untuk memperkenalkan Primax 95 tidak lama lagi.

Malah katanya, stok RON 92 juga dijangka habis menjelang 1 September nanti dan tidak akan berlaku sebarang pembaziran kepada Petronas.

"Jika masih ada stok kita akan menggunakan kaedah saintifik bagi membancuh lebihan RON 92 dan dijadikan Primax 95," katanya.

Beliau memberitahu, Primax 97 akan dijual pada harga lebih RM2 seperti minyak petrol premium lain namun kualiti Primax 95 tetap sama sebagaimana yang diguna pengguna kenderaan sebelum ini.

Primax 95 merupakan minyak petrol berkualiti dan mesra alam sebagaimana diformulasi untuk mengurangkan kandungan sulfur di dalam kandungan minyak tersebut.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url