Bina kekuatan hadapi cabaran baru di IPTA

Oleh ZAINOR SAID

Sekarang ini bermula satu lagi lembaran baru bagi kira-kira 60,000 pelajar yang mendaftar di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi pengajian 2009/2010 di seluruh negara. Kita ucapkan selamat melayari kehidupan baru sebagai mahasiswa di menara gading.

Mereka adalah sebahagian daripada lebih 40,000 pelajar baru yang mengikuti program pengajian lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi, asasi, diploma dan setaraf dengannya. Selebihnya pula mengikuti program pengajian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf dengannya bagi mengikuti program persediaan.

Bagi pelajar yang kali pertama menjejakkan kaki ke kampus universiti, pasti akan mengalami kejutan budaya, walaupun mereka adalah pelajar tempatan, tetapi mereka datang dari berlainan latar belakang keluarga dan taraf hidup.

Sebab itulah sewaktu berada di alam persekolahan, adalah penting pihak sekolah menganjurkan lawatan ke institusi pengajian tinggi supaya sedikit sebanyak pelajar mendapat gambaran bagaimana suasana kehidupan di kampus dan penghuninya.

Tidak semua pelajar yang melanjutkan pengajian di universiti mendapat maklumat mencukupi mengenai kehidupan sebenar di alam kampus, terutama mereka yang datang dari pedalaman. Mereka juga mungkin adalah anak pertama dalam keluarga yang berjaya memasuki universiti. Keadaan itu akan menyebabkan mereka mengambil masa untuk menyesuaikan diri.

Sebagai pelajar baru, mereka harus bijak menyesuaikan diri dan memanfaat peluang mengikuti pengajian di universiti. Alam kampus cukup berbeza dengan alam persekolahan yang mereka lalui selama 11 tahun sejak di tahun satu hingga ke tingkatan lima. Di sekolah, pelajar dibimbing dan mendapat panduan sepenuhnya daripada guru dan apabila berada di rumah pula mereka mendapat jagaan rapi daripada ibu bapa.

Bagaimanapun apabila mengharungi kehidupan kampus, semua itu sudah tidak wujud lagi. Segala-galanya harus dilakukan sendiri, sama ada dalam soal kehidupan harian, apatah lagi dalam soal pelajaran. Kehidupan kampus mengajar mahasiswa hidup berdikari.

Bagi yang bijak memanfaatkan setiap detik yang dilalui sebagai mahasiswa, sudah tentu mereka akan mendapat banyak faedah daripadanya dan bagi yang tidak tahu merebut peluang yang ada, pasti akan ketinggalan.

Walaupun kemasukan pelajar berdasarkan kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum, tetapi sebaik saja mereka menjejakkan kaki di universiti, segala-galanya boleh berubah. Mereka mempunyai peluang yang sama rata, bak kata pepatah duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi.

Dengan kata lain, mereka semua kini berada pada garisan permulaan untuk membuat pecutan. Bagi yang berusaha keras dan tahu memanfaatkan peluang pengajian pasti akan mampu mendahului pelajar lain, walaupun sebelum ini mereka cemerlang di peringkat sekolah.

Sebagai mahasiswa, cabaran utama yang bakal dihadapi sudah tentu datangnya dari kursus pengajian yang mereka ikuti. Bagaimanapun cabaran itu akan menjadi lebih membebankan jika mereka tidak tabah dan mempunyai kekuatan dalam menghadapi ujian lain yang tidak kurang hebatnya, antaranya dalam soal keselamatan diri.

Berita mengenai seorang pelajar perempuan ditemui mati kerana dipercayai terjatuh dari tingkat empat di sebuah kolej kediaman di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), seperti yang dilaporkan akhbar baru-baru ini tentunya menimbulkan rasa bimbang bukan saja di kalangan pelajar baru, malah ibu bapa yang menghantar anak mereka melanjutkan pengajian di universiti itu, baru-baru ini.

Kebetulan pula kejadian itu berlaku beberapa hari sebelum kemasukan pelajar baru. Ramai lagi ibu bapa lain yang turut bimbang akan keselamatan anak mereka, takut sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atas anak mereka.

Sebagai ibu bapa perasaan bimbang tentang keselamatan anak apabila berjauhan tidak dapat dielakkan. Bagaimanapun perasaan itu haruslah dikawal sebaik-baiknya dan biarlah ada batasannya. Kejadian seumpama itu sebenarnya amat jarang berlaku di kampus universiti. Universiti bukanlah tempat atau kawasan yang berbahaya kepada penghuninya, sebaliknya gedung ilmu itu aman dan tenang, sesuai dengan peranannya melahirkan ribuan cerdik pandai saban tahun.

Bagaimanapun kemalangan boleh berlaku di mana-mana dan siapa juga boleh terbabit dalam kemalangan. Apatah lagi jika mereka cuai dan kurang berhati-hati. Mungkin kejadian itu mempunyai hikmah di sebaliknya. Ia harus menjadi pengajaran kepada pelajar agar sentiasa berhati-hati, walaupun mereka berada di tempat yang dikatakan selamat dan jarang berlaku kemalangan.

Keselamatan adalah antara aspek yang harus diberi keutamaan oleh semua pelajar, tidak kira di mana mereka berada sama ada di kolej kediaman mahupun di atas jalan raya di sekitar kampus. Yang paling membimbangkan ialah apabila mereka berada di luar kampus.

Kita sering terbaca laporan media memaparkan mengenai pelajar terkorban kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya di luar kampus, terutama membabitkan penunggang motosikal. Kemalangan membabitkan pelajar dalam usia muda ketika dalam pengajian di universiti adalah sesuatu yang amat malang dan menyedihkan. Ia bukan saja menghampakan keluarga dan ibu bapa mereka yang mengharapkan sebuah kejayaan, malah ia juga satu kehilangan kepada negara.

Selain kemalangan, pelajar juga harus berhati-hati berikutan wabak selesema babi atau H1N1 yang semakin merebak di seluruh negara kerana wabak itu boleh membawa maut, jika pesakit berada di tahap kritikal.

Usaha menghindari wabak itu tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada pengawasan pihak berkuasa atau universiti, sebaliknya pelajar harus mempunyai kesedaran dan bertanggungjawab melakukan tindakan tertentu untuk memastikan tidak dijangkiti.

Pelajar juga harus memiliki kekuatan semangat dan belajar bagaimana harus menguruskan tekanan jiwa secara bijak bagi mengelak kejadian histeria yang sering menyerang pelajar, terutama apabila tiba musim peperiksaan.

Kampus tidak pernah sunyi dengan kejadian histeria atau gangguan makhluk halus. Yang anehnya histeria jarang mengena pelajar bukan Melayu dan biasanya yang menjadi mangsa ialah pelajar perempuan Melayu. Kejadian terbaru histeria berlaku di UiTM Jengka baru-baru ini, apabila seramai 46 pelajar baru perempuan yang sedang mengikuti minggu induksi di dewan utama universiti itu tiba-tiba menjerit dan meracau di serang histeria.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url