Blog untuk orang utan
BOH Plantations Sdn Bhd, WWF-Malaysia (Tabung Hidupan Liar) dan TV9 yang berusaha melibatkan anak-anak remaja dalam menyebarkan mesej pemuliharaan orang utan, telah menggalakkan pengwujudan blog untuk mendokumenkan kempen ini.
Mereka bekerjasama dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai pahit getir yang dihadapi penghuni hutan ini melalui peraduan New Hope For Orang-utan School Programme (harapan baru bagi orang utan), kerana percaya golongan remaja ini memainkan peranan besar dalam usaha pemuliharaannya pada masa depan.
"Kami mahu memperkasa mereka untuk memainkan peranan dalam menyebarkan mesej pemuliharaan primat ini," kata Caroline Russell, Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations pada perasmian program berkenaan baru-baru ini.
Beliau berkata, BOH Plantations telah lama menjadi penyokong usaha pemuliharaan hidupan liar dan alam sekitar, dengan tumpuan khusus sejak kebelakangan ini terhadap pemuliharaan orang utan.
Bagi BOH, primat ini merupakan pilihan semula jadi kerana mereka merupakan sebahagian penting warisan semula jadi Malaysia.
Spesies ini, menurut Russell, ialah ikon Malaysia dan benar-benar memerlukan usaha bagi memastikan bukan hanya kewujudan mereka tetapi juga ekosistem hutan di mana mereka tinggal, turut dipulihara.
"Kami amat percaya bahawa anak remaja Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam mencetuskan perubahan dan memberikan dorongan ke arah masa depan yang lebih lestari.
"Kami berharap program sekolah ini akan memperkasa anak remaja kita dengan pengetahuan mengenai isu-isu yang mengancam kewujudan orang utan dan menggalakkan mereka membawa perubahan dengan menjadi suara bagi usaha pemuliharaan orang utan kini dan pada masa depan," kata Russell.
Program sekolah "Harapan Baru bagi Orang Utan" ini menggunakan blog sebagai medium urusan dan membolehkan peserta untuk mengutarakan kreativiti mereka secara online.
BOH, WWF-Malaysia dan TV9 percaya medium ini akan menarik penyertaan dari kalangan remaja memandangkan generasi muda lebih mahir dalam IT dan begitu berkeyakinan dengan pendapat mereka, dan kerana itu akan memilih menggunakan media dan rangkaian sosial seperti blog, untuk menyuarakan pendapat mereka.
Program ini pada asasnya merupakan tempat bagi mereka menyuarakan perasaan mereka untuk membawa perubahan bagi orang utan dalam cara mereka tersendiri dan untuk menggalakkan orang ramai mengambil perhatian terhadap usaha mereka, kata Russell.
Beliau berkata program sekolah New Hope for Orang-utan dinamakan sedemikian kerana ia merupakan sambungan kepada program utama tanggungjawab korporat BOH - "Harapan Baru bagi Orang Utan" yang dimulakan pada 2002 untuk menonjolkan isu-isu ancaman terhadap primat ini dan kepupusan habitat mereka.
Sempena sambutan ulang tahun ke-80 BOH Plantations tahun ini, mereka mahu memastikan yang mereka melibatkan sama golongan muda negara dan usaha utama tanggungjawab korporat mereka, dalam sambutan perayaan ini.
Russell berkata dengan menggabungkan kedua-dua mereka ke dalam program ini merupakan usaha penyelesaian yang sangat baik.
Bersama-sama dengan WWF-Malaysia dan TV9, BOH merancang untuk membangkitkan kesedaran dalam kalangan remaja dan masyarakat dengan melibatkan mereka dalam pelbagai platform untuk memberikan harapan kepada masa depan orang utan Malaysia.
Noor Amy Ismail, Ketua Pengurusan Jenama, Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Korporat Kumpulan, TV9, berkata golongan remaja hari ini akan dirangsang untuk menambah pengetahuan mereka mengenai spesies ini, apabila menyedari maklumat mengenainya sudah tersedia di hujung jari mereka, iaitu melalui platform online.
Ini juga merupakan landasan baik bagi pelaksanaan tanggungjawab korporat TV9 dalam memulihara alam sekitar dan spesies terancam.
Sementara itu Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia Datuk Dr Dionysius S.K. Sharma berkata, program ini memberi kuasa kepada golongan remaja untuk menggunakan kemahiran dan minat mereka dalam teknologi terkini untuk membantu melindungi bahan penting sejarah tanah air mereka ini dan warisan semula jadi negara.
Sebelum ini, orang utan boleh ditemui jauh dari selatan China ke kaki gunung Himalaya dan ke selatan pulau Jawa, Indonesia, katanya.
Dan kini, hanya Borneo dan Sumatera merupakan dua tempat di muka bumi ini yang masih boleh ditemui orang utan tinggal.
"Kita tidak dapat mengelak daripada merasakan ada pertalian yang harus dilindungi terhadap beruk besar ini yang dari segi genetiknya, 96 peratus serupa dengan manusia.
"Tidak boleh dibayangkan betapa ruginya jika ikon kita ini, penghuni hutan di sini, hilang begitu saja daripada pokok-pokok dan akan hanya hidup dalam legenda kita," katanya.
Program ini terbuka kepada semua pelajar daripada usia 14 hingga 17 tahun.
Untuk menyertai pertandingan ini, pelajar perlu menyiapkan tiga tugasan utama bertujuan mewujudkan kempen kesedaran dengan menonjolkan isu berkaitan survival atau kewujudan orang utan, mengadakan aktiviti menggalakkan kesedaran pemuliharaan orang utan dan mendapatkan sokongan di peringkat bawahan serta mewujudkan blog untuk mendokumenkan kempen ini.
Pasukan Kawan 9 dari TV9 akan memulakan kempen jelajah sekolah dengan mengunjungi 30 sekolah di Lembah Klang untuk mewujudkan kesedaran terhadap orang utan dan program sekolah ini.
Liputan program jelajah ini akan disiarkan menerusi TV9. Peraduan ini bermula pada 13 Julai hingga 31 Ogos.
Pelajar yang berminat boleh melayari www.orangutan.com.my /www.tv9.com.my atau e-mel adikdi9@tv9.com.my untuk maklumat lanjut
- BERNAMA