Top Ad 728x90

Contohi ilmuwan silam bina tamadun cemerlang

Dunia Islam berdepan krisis identiti kerana melihat pencapaian ketamadunan yang dibina umat Islam dulu hanya sebagai nostalgia tanpa mahu memahami usaha dilakukan untuk mencapai kecemerlangan itu.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas, berkata ilmuwan Islam dulu melakukan pelbagai usaha mendalami ilmu untuk membina tamadun serta mencipta kecemerlangan termasuk menterjemah ilmu Barat supaya dapat difahami seterusnya dimanfaatkan demi kepentingan ummah.

Justeru, katanya, ulama hari ini lebih cenderung melihat kepada isu hukum hakam (fardu ain) tetapi tidak memikirkan perkara (fardu kifayah) yang memberi manfaat kepada pembangunan umat Islam.

Beliau berkata, tidak mengendahkan keperluan fardu kifayah menyebabkan umat Islam menjadi mundur dan dunia Barat pula terus berkembang maju dengan mendalami ilmu Islam malah ada yang bergantung dengan pencapaian umat Islam.

"Itu yang saya maksudkan dengan identiti krisis kerana kita sudah ada panduan iaitu kecemerlangan tamadun Islam dulu tetapi tidak dimanfaatkan. Sebaliknya, hari ini kita sibuk pasal perkara remeh temeh yang hanya menjurus kepada kepentingan individu atau fardu ain.

"Memang tidak wajib untuk setiap orang memikirkan tugas fardu kifayah tetapi pihak tertentu seperti ulama perlu memikirkannya untuk diterjemahkan dalam masyarakat," katanya pada sidang media sempena Persidangan Antarabangsa Muslim dan Sempadan Ilmu pada Abad 21: Isu, Prospek dan Cabaran anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia, di Kuala Lumpur semalam.

Persidangan dua hari itu bertujuan mengenal pasti bidang baru yang boleh dipelajari, perkembangan penting dalam cabang ilmu, cabaran serta peluang kepada umat Islam pada abad ke-21 dan masa depan.

Turut dibincangkan serta diketengahkan ialah cara terbaik dan tindakan perlu diambil oleh umat Islam bagi menghadapi cabaran atau peluang yang ada dalam perkembangan ilmu pengetahuan abad ini.

Sebanyak 24 kertas kerja dibentangkan pakar akademik tempatan dan luar negara membabitkan sejarah ketamadunan, kelangsungan hidup manusia dan alam sekitar, perkembangan terbaru bidang sains, hubungan harmoni masyarakat serta kedudukan manusia dalam kemajuan ilmu, hikmah dan tradisi.

Syed Ali berkata, sesetengah ulama hari ini mengikut kehendak kepentingan tertentu seperti bercakap mengenai hukum hakam atau isu berkaitan halal haram yang menyekat kebebasan untuk memikirkan perkara memberi faedah kepada masyarakat.

Contohnya, pertikaian kod pakaian mengikut Islam yang tiada kena mengena dengan kepentingan masyarakat sebaliknya hanya isu membabitkan individu dan Islam sendiri tidak menetapkan syarat tertentu, mencukupi pakaian itu menampakkan kesopanan.

"Tumpuan kepada perkara remeh temeh ini menjadikan kita terus mundur. Barat tidak mengetepikan keperluan individu tetapi mereka ada teori dan praktikal. Jika perlu belajar dari Islam, mereka akan belajar dan kita sebaliknya dilekakan dengan simbol dicipta Barat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Ikim, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dalam ucaptamanya berkata, kebijaksanaan manusia tidak semestinya bertambah baik tetapi ilmu pengetahuan secara keseluruhan dijangka terus berkembang pada abad 21 ini.

Justeru katanya, untuk umat Islam menilai kesan sebenar atau kemungkinan daripada pengembangan maklumat serta ilmu pengetahuan dalam pelbagai dimensi ialah dengan mengambil pendekatan pelbagai disiplin dan antara disiplin.

"Pendekatan pelbagai disiplin dan antara disiplin itu pula, asasnya perlu dikembangkan dalam kerangka daya fikir yang berpegang kepada pandangan Islam sejagat kerana perkembangan awal abad ke-21 ini sebahagiannya kesinambungan daripada abad sebelumnya," katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90