Top Ad 728x90

,

Platform web dagangan komoditi syariah dilancar

Bursa Malaysia Bhd akan melancarkan platform dagangan komoditi berlandaskan syariah berasaskan web pertama di dunia bulan depan.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Yusli Mohamed Yusoff, berkata platform diperkenalkan menerusi Rumah Komoditi Murabahah (CMH) adalah bagi memenuhi keperluan aktiviti pengurusan dan pembiayaan instrumen pelaburan dan kewangan Islam.

Beliau menjelaskan, buat permulaan, komoditi yang akan didagangkan di CMH ialah minyak sawit mentah dan akan dikembangkan kepada komoditi lain yang mematuhi prinsip syariah jika ada permintaan.

"Pada peringkat awal ini juga, kami akan memulakan dengan peserta kewangan Islam dalam negara, sebelum dikembangkan untuk penyertaan syarikat kewangan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) awal tahun depan," katanya pada taklimat media mengenai pelancaran platform itu di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Ketua Pasaran Islam Global Bursa Malaysia, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz; dan Ketua Pembangunan Produk Pasaran Islamnya, Norfadelizan Abdul Rahman.

Sejajar pengenalan platform dagangan itu, Bursa Malaysia semalam memeterai perjanjian dengan 26 syarikat yang bakal menjadi kumpulan pertama menyertai dagangan di CMH.

Syarikat itu terdiri daripada institusi perbankan dan kewangan yang menawarkan produk kewangan Islam, pembekal minyak sawit tempatan serta syarikat niaga hadapan tempatan.

Sementara itu, Raja Teh Maimunah berkata, pihaknya menjangka urus niaga harian CMH mampu mencecah RM1 bilion berdasarkan transaksi murabahah syarikat kewangan.

"Infrastruktur dagangan yang akan dilancarkan berupaya memenuhi keperluan produk kewangan berlandaskan syariah ditawarkan menerusi pasaran modal dan wang tempatan," katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90