Jacko tidak akan mati (Belasungkawa Michael Jackson 1958-2009)


Legenda yang pernah menemani hidup sebahagian besar demografik dunia menerusi lagu-lagunya itu tidak mungkin bangun semula mempertahankan dirinya terhadap pelbagai isu serta persoalan yang diperdebatkan sejak kematiannya pada 25 Jun lalu.

Jasadnya akan terus bersemadi, membawa bersama segala catatan kenangan - suka duka dan pahit manis sepanjang 50 tahun hayatnya.

Michael Jackson - ketika hayatnya dia disanjung dan dipuja, diasak dan ditohmah, malah maruahnya pernah diperkotak-katikkan, namun tidak sesekali dia mengalah kepada tekanan.

Menjelang sisa hayatnya dia masih membawa semangat untuk terus berdiri, membersihkan namanya menerusi siri konsert yang dijangka akan menggilap semula kegemilangan popularitinya.

Malang, segala yang dicita-citakan tidak menjadi kenyataan dan 25 Jun lalu dia menghembuskan nafas terakhir membawa bersama pelbagai misteri yang terus meninggalkan tanda tanya.

Tirai hidup insan yang dilahirkan di Gary, Indiana pada 29 Ogos 1958 itu kini terkunci kemas. Yang tinggal menemani hanya kenangan kepada mereka yang pernah terhibur dengan pesona lagu nyanyiannya, seterusnya meletakkan penyanyi kulit hitam paling berjaya ini sebagai Raja Pop Dunia.

Jasad yang terkujur kaku itu tidak mungkin bernafas kembali, namun di hati pengagumnya, Michael tidak akan pernah mati.

Dia akan terus hidup dan dekat di hati serta jiwa mereka menerusi lagu nyanyiannya yang bisa membuat penggemarnya tersenyum, ketawa, malah menitiskan air mata kerananya.

Betapa kehidupan misteri lelaki yang pernah dilabel sebagai Wacko Jacko itu akan terus melekat kukuh di hati sanubari pencinta seni.

Lantas pemergian mengejutnya pada tarikh keramat itu akan terus diratapi dan ditangisi masyarakat seluruh dunia biarpun tidak pernah bertentang mata dengannya.

Selasa lalu, Staples Centre diresapi serta diselubungi sebuah lagi episod pilu. Antara drama, tangisan, jeritan dan kekalutan semuanya bersatu apabila peminat memberi penghormatan terakhir kepada penghibur berbakat besar itu sebelum jasadnya disemadikan.

Lebih 1.6 juta peminat mendaftar untuk menghadiri upacara memperingati penghibur misteri itu, namun hanya 8,750 yang terpilih untuk menerima penghormatan itu.

Nama terkenal seperti Stevie Wonder, Mariah Carey, Usher, Lionel Richie, Kobe Bryant, Jennifer Hudson, John Mayer dan Martin Luther King III dilaporkan turut hadir untuk memberi penghormatan terakhir.

Kematian mengejut Michael terus diratapi dan Walk Of Fame, Hollywood menjadi tumpuan peminat untuk menyatakan kesedihan mereka atas pemergian yang tidak diduga itu.


Peminat juga berkumpul di UCLA Medical Centre, selain kediamannya di Holmby Hills; Apollo Theatre, New York dan Hitsville, Detroit yang menempatkan ibu pejabat Motown tempat Michael memulakan karier nyanyiannya.

Laluan di sekitar hospital juga ditutup, selain seluruh Amerika meninggalkan tempat kerja mereka untuk mendapatkan perkembangan terbaru mengenai kematiannya menerusi kaca televisyen.

Kumpulan kecil termasuk datuk bandar turut berkumpul di luar kediamannya ketika kecil di Gary, selain bendera dikibarkan separuh tiang sebagai memberi penghormatan atas pemergiannya.

Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama dilaporkan menghantar ucapan takziah kepada keluarga Michael, manakala Datuk Bandar Rio de Janeiro mengumumkan untuk membangunkan patung penyanyi itu di Dona Marta.

Mengulas kematian Michael, bekas isteri yang dinikahinya pada 26 Mei 1994, Lisa Marie Presley dilaporkan berkata, bekas suaminya itu pernah menyalurkan kebimbangan jika hidupnya berakhir seperti mendiang bapanya, Elvis Presley.

Kesedihan atas kematian Michael turut menular di seluruh dunia apabila peminat menyalakan lilin penghormatan di Yoyogi Park, Tokyo pada 27 Jun lalu.

Di Romania, MTV menganjurkan persembahan penghargaan di depan Stadium Lia Manoliu yang mana Michael pernah mengadakan konsert yang tidak akan dilupakan di Bucharest pada 1992.

Black Entertainment Television (BET) menganjurkan semula Anugerah BET dengan artis yang mengambil bahagian membawakan rangkaian lagu popularnya daripada permulaan karier bersama The Jackson 5 sebelum muncul solo.

Penyanyi rap, The Game ialah antara artis pertama yang menerbitkan lagu penghargaan, Better on the Other Side menampilkan Diddy dan Chris Brown dibantu Polow da Don, Mario Winans, Usher dan Boyz II Men.

Penyanyi 50 Cent pula tampil dengan Where You Are, dipetik daripada single I Wanna Be Where You Are yang dirakamkan pada 1972.

Muzik video, Do The Bartman yang ditulis bersama Michael kembali dimainkan dalam satu episod siaran semula The Simpsons pada 28 Jun lalu.

Satu lagi episod siri popular itu, Stark Raving Dad yang menampilkan penyanyi itu sebagai bintang undangan disiarkan kembali stesen televisyen Fox pada 5 Julai lalu.

Anugerah Muzik Dunia 2006 yang menyaksikan Michael menerima Anugerah Berlian dimainkan semula myNetwork TV pada 1 Julai lalu, manakala Madonna pada pembukaan konsert Sticky & Sweet Tour di O2 Arena, London turut memberi penghargaan kepada penyanyi itu.

Pengaruh besar Raja Pop Dunia

PEMERGIAN Michael secara tidak langsung melonjakkan penjualan albumnya. Timbalan Presiden Amazon, Bill Carr memberitahu, semua album penyanyi itu termasuk ketika bersama The Jackson 5 habis dijual beberapa minit selepas berita kematiannya tersebar.

Permintaan untuk album penyanyi itu terus meningkat, malah dilaporkan mengatasi permintaan terhadap album Elvis Presley dan John Lennon ketika mereka diberitakan meninggal dunia.

Permintaan luar biasa itu menguasai carta penjualan muzik di laman sesawang, iTunes dan Amazon. Album Thriller mendaki tangga pertama di carta American iTunes, diikuti The Essential Michael Jackson yang bakal mengambil alih posisi itu.

Sementara itu, 19 album lain milik penyanyi itu berjaya membolosi Top 40.

Di Jepun, enam daripada albumnya membolosi Carta Album Top 200 dan di Poland, album Thriller juga meraih kedudukan selesa.

Australia juga mencatat penjualan luar biasa untuk album penyanyi itu di mana 15 daripada judul yang dirakamkan Michael membolosi Top 100 dengan empat daripadanya berada dalam senarai Top 10 dan tiga daripadanya menduduki tangga tiga teratas.

Dia mempunyai 34 single dalam carta Top 100, empat daripadanya berada dalam Top 10. Penjualan albumnya sepanjang minggu lalu mencecah 62,015, manakala single pula melebihi 107,821 unit.

Lakaran sejarah juga tercatat di United Kingdom dengan enam lagu nyanyiannya menduduki Top 40 iaitu Man in the Mirror ( kedudukan ke-11), Thriller (23), Billie Jean (25), Smooth Criminal (28), Beat It (30) dan Earth Song (38).

Minggu berikutnya, 13 lagu nyanyiannya menguasai carta termasuk Man In the Mirror menewaskan rekod yang dipegang Ruth Murray pada 1955 apabila lima lagu dendangannya membolosi Top 30.

Situasi yang sama juga dirasai di Amerika Syarikat apabila dia meruntuhkan tiga rekod, di mana sembilan daripada keseluruhan posisi dalam carta Billboard, Top Pop Catalog Albums dikuasai album yang mempunyai judul berkaitan dengan penyanyi itu.

Number Ones mencipta sebagai album paling laris dengan jualan melebihi 108,000 salinan, meningkat 2,340 peratus.

The Essential Michael Jackson pula berada pada kedudukan kedua katalog diikuti and Thriller yang turut terjual melebihi 100,000 salinan.

Judul lain yang turut mendapat sambutan adalah Off the Wall (tempat ke-4), Jackson Five's Ultimate Collection (5), Bad (6), Dangerous (7), HIStory: Past, Present and Future - Volume 1 (8) dan Jackson's Ultimate Collection (9).

Keseluruhannya, album solonya mencecah jualan 422,000 salinan pada minggu pertama kematiannya.

Dia juga mencipta rekod baru carta Top Digital Albums apabila menguasai enam daripada 10 slot teratas dengan mendominasi empat carta teratas.

Michael juga menjadi artis pertama yang menjual lebih satu juta muat turun dalam seminggu dengan catatan 2.6 juta.

INFO: Catatan hayat Michael Jackson

29 Ogos 1958: Dilahirkan di Gary, Indiana

1964: Mula mengadakan persembahan bersama The Jackson 5

Awal 1980-an: Perubahan pada penampilannya mula dikesan

30 November 1982: Album Thriller dipasarkan

25 Mac 1983: Persembahan pertama memperkenalkan teknik moonwalk

14 Mei 1984: Menerima pujian daripada Presiden Reagan atas kerja amal yang dilakukannya

1988: Berpindah ke Neverland

April 1988: Autobiografi Moonwalk diterbitkan

5 April 1990: Menerima penghargaan daripada Presiden Bush atas kerja amalnya

30 September 1992: Melancarkan Yayasan Heal The World

Mei 1992; Berkenalan dengan Jordan Chandler yang berusia 13 tahun

10 Februari 1993: Temu bual bersama Oprah Winfrey mengenai penderaan yang dialaminya ketika kanak-kanak

18 Ogos 1993: Polis Los Angeles memulakan penyiasatan apabila Chandler membuat laporan dia dicabul

13 November 1993: Membatalkan konsert jelajah, Dangerous dan menerima rawatan di pusat pemulihan di London

1993: La Toya secara terbuka menuduh Michael seorang pedofilia, bagaimanapun menarik kembali kenyataannya itu

1 Januari 1994: Menyelesaikan kes dengan Chandler dengan bayaran antara AS$10 - 22 juta.

26 Mei 1994: Mengahwini Lisa Marie Presley

Januari 1996: Lisa memfailkan perceraian

7 September 1996: Konsert jelajah HIStory bermula

14 November 1996: Mengahwini Debbie Rowe

13 Februari 1997: Michael Joseph Jackson, Jr dilahirkan

3 April 1998: Paris-Michael Katherine dilahirkan

8 Oktober 1999: Bercerai dengan Debbie

Februari 2002: Prince Michael Jackson II dilahirkan

3 Februari 2003: Siaran Living with Michael Jackson disiarkan yang mana dia berpegangan tangan dengan Gavin Arvizo, 13.

18 November 2003: 70 pegawai polis menyerbu Neverland

18 Disember 2003: Michael didakwa melakukan pencabulan terhadap Arvizo.

13 Jun 2005: Didapati tidak bersalah atas dakwaan yang dihadapinya

10 Mac 2009: Mengumumkan This Is It Tour yang akan bermula Julai

25 Jun 2009: Meninggal dunia kerana sakit jantung.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url