Juara Bintang Asli - Berjaya kerana dorongan ayah
Dalam dunia yang serba moden hari ini, kebanyakan remaja lebih dipengaruhi dan meminati muzik lagu-lagu popular yang dibawakan dari Barat.
Bagaimanapun, tidak semua remaja yang terdorong ke arah itu, sebaliknya ada juga yang sejak dari kecil lagi telah diasuh meminati lagu-lagu tradisional.
Juara Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2009 Kategori Lelaki, Zaharmirzuan Azlan misalnya, amat meminati lagu-lagu Melayu asli sejak dari kecil hasil dorongan bapanya, Azlan Goli.
"Sejak dari kecil saya lebih banyak terdedah dengan lagu-lagu Melayu asli. Apatah lagi, ayah saya juga merupakan penyanyi lagu-lagu Melayu asli.
"Sampai sekarang ayah saya masih menyanyi. Mungkin daripada situlah saya mula meminati lagu-lagu asli," katanya ketika ditemui selepas berakhirnya pertandingan itu di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Menurut remaja berusia 19 tahun ini, selain meminati lagu-lagu tradisional Melayu, beliau juga akan menggunakan kemenangannya itu bagi mengembangkan konsep lagu-lagu tersebut.
Malah, beliau turut menggunakan pertandingan itu bagi mempertingkatkan lagi mutu nyanyiannya selain menimba ilmu serta pengalaman menyanyikan lagu-lagu Melayu asli.
"Saya masuk pertandingan ini pun kerana mahu mencari lebih banyak pengalaman menyanyi. Ini merupakan kali pertama saya ke final pertandingan nyanyian.
"Saya bukan sahaja tidak menduga menjadi juara tetapi turut kagum dengan bakat para peserta yang lain. Ini kerana semua finalis adalah yang terbaik dalam pertandingan ini. Saya pula terbaik sedikit sahaja daripada mereka.
"Kalau boleh, pada masa depan saya mahu mengangkat martabat lagu-lagu tradisional Melayu ke tahap yang lebih tinggi lagi," ujarnya yang bekerja sebagai pembantu pejabat di Kuching, Sarawak.
Dengan kemenangan Zaharmirzuan itu, beliau merangkul hadiah wang tunai berjumlah RM10,000, trofi dan sijil yang disampaikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Ketika ditanya tentang kelebihan yang ada pada dirinya sehingga menambat hati para juri profesional, beliau yang menyanyikan lagu Wak Daeng dan Gambus Ibu itu berkata, mungkin terdapat 'faktor x' pada dirinya.
"Saya rasa, saya ada faktor x pada diri saya. Mungkin gaya nyanyian saya yang high pitch merupakan faktor itu," katanya yang berasal dari Kampung Pinang Jawa, Kuching.
Pada pertandingan anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara itu, panel juri diketuai oleh Datuk Johari Salleh bersama empat lagi juri iaitu Aspalela Abdullah, S. Atan, Andre Goh dan Nassier Wahab.
Naib johan Kategori Lelaki dimenangi oleh Muhammad Hilmi Idris, 21, dari Tanah Merah, Kelantan yang menyanyikan lagu Seri Medan dan Gambus Palembang dengan merangkul wang tunai RM8,000, trofi serta sijil penyertaan.
Tempat ketiga Kategori Lelaki diraih oleh Muhammad Hanizam Azman yang mendendangkan lagu Laila Majnun dan Pantun Dahulu membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000, trofi dan sijil.
Sementara itu, juara Kategori Wanita pertandingan itu, Noor Azmira Mohd. Rahim, turut membuktikan bahawa usia muda tidak menghalangnya meminati lagu-lagu Melayu asli.
Pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berusia 20 tahun ini berkata, kerana minatnya itulah dia kini menyambung pengajian dalam jurusan muzik tradisional di akademi tersebut.
"Saya belajar jurusan vokal muzik tradisional di Fakulti Muzik, Aswara peringkat diploma. Saya akan menggunakan wang kemenangan saya ini untuk menyiapkan projek akhir pengajian saya itu. Kalau ada peluang saya mahu menyambung pengajian di peringkat ijazah di Aswara.
"Dengan cara ini, saya bukan sahaja dapat belajar teknik menyanyikan lagu-lagu tradisional tetapi juga mempraktikkan apa yang saya pelajari di Aswara," jelas anak ketujuh daripada sembilan beradik berasal dari Kuala Lumpur ini.
Dengan kemenangan itu, Noor Azmira yang menyanyikan lagu Seri Mahligai dan Air Mata Hati menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000, trofi dan sijil.
Pemenang tempat kedua Kategori Wanita diungguli oleh Zarith Syuhada Mohd. Yasin yang mengalunkan lagu Hati Sedih dan Johor Sport Club dengan merangkul hadiah wang tunai RM8,000, trofi dan sijil.
Zarith Syuhada, 18 , dan berasal dari Taman Cheng Jaya, Melaka memperolehi kemenangan berganda apabila diumumkan memenangi kategori Persembahan Terbaik dan meraih hadiah wang tunai RM2,000.
Tempat ketiga Kategori Wanita pula disandang oleh Mardiana Alwi, 21, yang berasal dari Senai, Johor dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000, trofi dan sijil.
Mardiana yang juga bekas graduan Aswara dalam jurusan teater membawakan lagu Tudung Saji dan Zapin Pusaka turut meminati lagu-lagu Melayu asli sejak kecil atas dorongan keluarganya.
"Saya mula menyanyikan lagu-lagu Melayu asli ketika berusia sembilan tahun. Sewaktu sekolah, saya pernah mewakili sekolah saya dalam pertandingan nyanyian lagu-lagu asli peringkat Negeri Johor.
"Sampai sekarang saya masih meminati lagu-lagu asli dan akan mengambil tanggungjawab ini bagi mempopularkannya di kalangan remaja. Saya dapati remaja hari ini kurang minat dengan lagu-lagu asli.
"Walau bagaimanapun, saya yakin lagu-lagu Melayu asli akan terus kekal. Contohnya, dalam majlis-majlis makan malam, lagu-lagu Melayu asli masih terus dimainkan untuk para tamu," katanya.
Beliau yang merupakan salah seorang pelakon teater Intan Yang Tercanai arahan A. Wahab Hamzah yang dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini berkata, dia akan terus menyanyikan lagu-lagu Melayu asli selain berlakon teater.
"Saya akan terus menyanyikan lagu-lagu tradisional walaupun saya merupakan pelajar bidang lakonan teater di Aswara. Ini kerana, bidang lakonan dan nyanyian bagaikan irama dan lagu dalam diri saya," ujarnya lagi.
Selain enam pemenang itu, enam lagi finalis Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2009 ialah Mohd. Imran Kamarudin, Muhd. Fadlullah Abd. Majid, Mohd. Idham Razli, Ermi Sanisha Suran, Hazlifha diahana Rosli dan Norashikin Che Hashim.
Mereka masing-masing menerima hadiah saguhati berupa wang tunai RM1,000, trofi dan sijil. Turut serta pada majlis penyampaian hadiah itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf.
- UTUSAN