Jualan McDonald's merosot lebih buruk daripada jangkaan

 


McDonald's mencatatkan penurunan jualan setanding global suku tahunan yang lebih besar daripada jangkaan, terkesan oleh trafik yang lebih lemah merentas pasaran utamanya walaupun ia meningkatkan promosi untuk menarik kembali pelanggan selepas kenaikan harga selama beberapa tahun.

Pendapatan bersih jatuh kepada AS$2.26 bilion, turun tiga peratus daripada tempoh sama tahun lalu.

Syarikat yang berpangkalan di Chicago itu memperoleh AS$3.23 sesaham yang diselaraskan pada suku dikaji, berbanding AS$3.19 tahun lalu.

Jualan global jatuh 1.5 peratus pada suku ketiga, penurunan terbesar dalam empat tahun, berbanding anggaran purata penganalisis kejatuhan sebanyak 0.72 peratus, menurut data yang disusun oleh LSEG.

Saham syarikat itu turun lebih daripada satu peratus sebelum loceng dagangan dimulakan.

Ketua Pegawai Eksekutif McDonald's, Chris Kempczinski, berkata syarikat itu memberi tumpuan kepada kemampuan kerana pelanggan terus mengambil berat tentang perbelanjaan.

Minggu lalu, McDonald's menghentikan sementara jualan Quarter Pounder di satu perlima daripada 14,000 restoran AS, berikutan wabak E. coli yang telah menjangkiti 75 orang dan membunuh sekurang-kurangnya seorang pelanggan.

Hirisan bawang yang digunakan dalam hamburger itu berkemungkinan menjadi punca jangkitan, dengan Jabatan Pertanian Colorado pada hujung minggu menolak anggapan bahawa roti daging lembu sebagai punca.

Kunjungan pelanggan di AS masing-masing turun 6.4 peratus, 9.1 peratus dan 9.5 peratus tahun ke tahun pada 23, 24 dan 25 Oktober, menurut nota Gordon Haskett.

Jualan di pasaran antarabangsa jatuh 2.1 peratus, didorong oleh kelemahan di Perancis dan Britain, berbanding dengan anggaran penurunan 1.21 peratus.

Perbelanjaan pengguna yang lebih lemah di China dan kesan konflik Asia Barat telah menjejaskan segmen perniagaan McDonald's, di mana restoran dikendalikan oleh rakan kongsi tempatan, dengan jualan merosot 3.5 peratus berbanding dengan kenaikan 10.5 peratus setahun sebelumnya.

Rangkaian makanan segera telah terjejas oleh kunjungan pelanggan yang perlahan di seluruh Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China kerana pembeli yang mementingkan harga mencari makanan lebih murah dan lebih banyak memasak di rumah.

Permintaan yang lembap telah mendorong rangkaian makanan segera termasuk Wendy's, Burger King dan Taco Bell untuk mengharapkan kepada pakej makanan dan tawaran masa terhad dalam usaha untuk memulihkan trafik, terutamanya dalam kalangan pelanggan berpendapatan rendah.

Rangkaian makanan segera Barat seperti McDonald's dan Starbucks telah menyaksikan kempen boikot atas pendirian mereka yang pro-Israel dan dakwaan hubungan kewangan dengan Israel.

Pada April, McDonald's membeli francais Israel berusia 30 tahun daripada Alonya, mengambil semula pemilikan 225 restoran di negara itu yang menggaji lebih 5,000 orang.

Sumber : Reuters

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url