Isnin, Julai 27, 2009

Kenaikan pangkat Pegawai Kumpulan Sokongan

Perlaksanaan urusan kenaikan pangkat Pegawai Kumpulan Sokongan yang telah berkhidmat 15 tahun ke atas dalam skim perkhidmatan dan perkhidmatan semasa tentunya menjadi hadiah paling berharga kepada lebih 200,000 kakitangan awam yang berpeluang menikmati faedah itu.

Keputusan itu sekurang-kurangnya dapat meredakan keresahan penjawat awam terutamanya gred N17 yang selalunya kurang berpeluang untuk naik pangkat.

Dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia Jumaat lalu, Pengarah Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Dr. Azhar Yahya menjelaskan, faktor utama mendorong kerajaan memberikan kemudahan itu adalah kerana mahu meningkatkan motivasi para penjawat awam.

Ungkapan penghargaan para penjawat awam selepas pengumuman mengenainya dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Mei lalu banyak diluahkan melalui kesatuan-kesatuan pekerja, kad ucapan dan yang paling popular menerusi e-mel.

Jika sebelum ini kakitangan kumpulan sokongan termasuk kerani terpaksa menunggu lama dan adakalanya sehingga pencen untuk naik pangkat tetapi kini dengan menunjukkan prestasi cemerlang, peluang tersebut pastinya dalam genggaman. Cuma, hendak seribu daya, tak nak seribu dalih.

''Tanpa dasar ini macam mana mereka hendak naik pangkat, mereka terpaksa menunggu kekosongan jawatan, justeru dalam keadaan tertentu kita ada kenaikan pangkat khas untuk penyandang tetapi itu berdasarkan kepada kepakaran, kemudahan, kemahiran, pengalaman dan keperluan mengisi kekosongan jawatan itu.

''Asas pertimbangan untuk JPA menilai kenaikan pangkat masih macam biasa. Kita mengambil kira prestasi, kompetensi, sikap, integriti dan disiplin. Semua aspek ini dinilai melalui penilaian prestasi tahun setiap tiga tahun.

''Dalam tempoh tiga tahun itu mereka perlu mengekalkan kompetensi dengan lulus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), bertanggungjawab dan bebas daripada sebarang tindakan rasuah atau pinjaman. Inilah kriteria yang kita guna pakai dan ia perlu diperakukan oleh ketua jabatan," kata beliau dalam pertemuan lebih sejam di JPA, Putrajaya.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr. Azhar berkata, penjawat awam perlu faham bahawa kenaikan pangkat tersebut bukan bersifat automatik sebaliknya mereka perlu melipatgandakan usaha agar diberikan pengiktirafan hasil kerja keras itu.

Kerajaan percaya apabila dinaikkan pangkat mereka akan berasa puas berkhidmat dengan kerajaan. Kesan daripadanya akan wujud tingkah laku positif untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

''Ini bukan 'gula-gula' daripada kerajaan sebaliknya mekanisme untuk memotivasikan diri untuk menjadi yang terbaik kerana elemen penilaian tetap dilaksanakan dalam proses kenaikan pangkat ini," katanya.

Tidak dinafikan faedah tersebut menjadi faktor utama yang bakal menyemarakkan lagi minat orang ramai termasuk bukan Melayu menyertai perkhidmatan awam kerana mereka akan terus berasa selesa selepas pencen walaupun berjawatan kerani.

Menyentuh aspek gaji pula, kata Dr. Azhar, berbanding awal tahun 1980-an, gaji kakitangan sokongan puratanya hanya sekitar RM395. Namun sekarang, dalam tempoh tiga bulan atau sekurang-kurangnya setahun bekerja mereka sudah mampu memandu kereta baru.

JPA menaungi jawatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), pegawai sistem maklumat, pegawai latihan vokasional, pegawai psikologi, kerani pegawai tadbir dan khidmat pelanggan.

Bagi menilai keberkesanan faedah tersebut, JPA kini akan membuat kajian hasil daripada dasar tersebut misalnya dari segi kepuasan bekerja, komitmen dan disiplin untuk memastikan terdapat peningkatan atau sebaliknya, yang mampu meningkatkan produktiviti.

''Kita mahu lebih baik daripada sektor swasta sekali gus menjadikan perkhidmatan awam Malaysia terbaik di dunia. Ini sejajar dengan konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," kata beliau.

Dr. Azhar menambah, harapan kerajaan kepada kakitangannya ialah supaya mereka dapat menunjukkan kesungguhan sebagai tanda terima kasih dan menghargai usaha kerajaan.

Justeru, kakitangan awam perlu mempamerkan mutu kerja yang cemerlang, kreatif dan lebih berinovasi untuk meningkatkan sistem penyampaian tanpa mengira jawatan yang disandang.

Serentak itu, berkuat kuasa 2 Julai lalu, Bahagian Pembangunan Operasi (BPO) JPA turut berusaha menambah baik kerjaya semua pegawai kumpulan sokongan agar hala tuju mereka lebih terarah.

Pengarah BPO, Datuk Farida Mohd. Ali yang turut serta dalam pertemuan dengan akhbar ini menjelaskan, jika dulu ada kerani yang tidak menikmati kenaikan gaji sehingga pencen, tetapi kini mereka bakal menikmati sekurang-kurangnya sekali peluang kenaikan pangkat.

''Semakin ramai berminat bekerja dengan kerajaan tetapi peluang terhad kerana kita perlu mengawal saiz anggota. Kita bukan boleh ambil begitu sahaja, kena lihat juga kemampuan kewangan kerajaan sebelum mengisi satu-satu jawatan.

''Tetapi dalam bidang tugas yang kritikal seperti keselamatan, kesihatan dan pendidikan, kita memang ambil ramai," katanya.

Menurut beliau, daripada 1.27 juta kakitangan awam, 80 peratus daripadanya terdiri daripada anggota tentera, polis, petugas kesihatan dan guru kerana ia merupakan keperluan yang perlu diisi dari semasa ke semasa.

Sebagai contoh, katanya, jika sekolah baru dibina, sudah tentu JPA perlu menyediakan guru dan kerani untuk memenuhi keperluannya. Begitu juga dengan klinik kesihatan, hospital dan balai polis baru.

Farida memberitahu, sektor perkhidmatan awam di Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan negara lain termasuk Thailand kerana mereka menggunakan kaedah yang berbeza dengan Malaysia yang meletakkan semua kumpulan di bawah satu bumbung.

''Skop kita luas, bukan hanya kerani, guru, polis, tentera sahaja yang terletak di bawah tanggungan kita tetapi juga tok-tok penghulu di kampung kerana mereka juga memainkan peranan penting untuk negara," katanya.

Agak sensitif dengan pandangan umum terhadap anggota polis, beliau memohon pengertian daripada orang ramai agar tidak memandang kesalahan rasuah yang dilakukan oleh segelintir anggota polis untuk menghukum jabatan itu secara total. Sebaliknya rakyat diminta menilai pengorbanan ribuan lagi anggota keselamatan itu yang bertarung nyawa tanpa mengira masa dan tenaga.

Bagi Farida, mereka sudah bertungkus lumus bekerja sehingga ada yang terkorban ketika bertugas memandangkan bidang tugas polis amat kompleks.

Sebab itu jika ada pihak tertentu mempersoalkan jumlah kakitangan awam yang dianggap terlalu besar di Parlimen, beliau menganggap perkara itu sangat subjektif untuk dibahaskan.

Ini kerana perkhidmatan awam Malaysia berbeza dengan negara lain yang mengasingkan sistem pentadbiran antara satu negeri dengan negeri yang lain seperti di United Kingdom (UK).

''Di UK, perkhidmatan awamnya bukan macam kita yang semua negeri disatukan. UK berasingan di bawah satu pihak berkuasa tempatan dan perangkaannya juga tidak termasuk tentera. Jadi, jangan ingat kakitangan kerajaan kita di bahagian perkhidmatan awam sahaja sebaliknya ia meliputi polis, tentera dan guru yang ramai," jelasnya.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts