Ketulan ‘emas’ Pendang bila dilebur jadi arang
Ini pastinya bukan berita menggembirakan kepada pencari emas di Kampung Jelutong, Pendang tetapi hakikatnya, galian yang didakwa bernilai itu apabila dileburkan boleh menjadi abu arang.
Itulah penemuan tukang emas, Yazid Ishak, 35, yang membuat siasatan sendiri menggunakan batu ‘emas’ yang ditemui di kampung berkenaan semalam.
“Kalau emas, ia tetap ada kilauan warna keemasan tetapi ketulan yang dijumpai di kampung itu bertukar menjadi hitam selepas dileburkan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Bagi membuktikan ketulan itu bukan emas, wartawan Kosmo! turut melihat Yazid mencalitkan asid sulfurik dan hidroklorik ke atas emas campur jenis 750 dan kemudian kepada satu ketulan batu itu.
“Asid tersebut tidak memberi kesan ke atas jaluran emas tulen tetapi warna emas pada ketulan batu yang ditemui itu hilang apabila diletakkan asid tersebut,” katanya.
- KOSMO!