Komentar - Masa paling sesuai untuk berubah, bersatu

Oleh MOHAMMAD ISMAIL
Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Perniagaan,
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis

Ibarat pertunangan yang tak jadi, hantaran telah ditempah, rombongan telah siap sedia, pihak lelaki sudah menyatakan hasrat yang terpendam manakala pihak perempuan pula sudah menyatakan kesudian untuk menerima. Tetapi disebabkan tentangan 'bakal bapa mertua' dan sanak saudara maka pertunangan dibatalkan. Begitulah dibaratkan apa yang berlaku tentang kerajaan perpaduan baru-baru ini.

Walaupun ada yang mengatakan isu ini sudah berkubur tapi ia pastinya akan tercatat dalam lipatan sejarah politik Malaysia sebagai satu catatan yang paling manis kerana boleh dikatakan sebagai 'rujuk semula'.

Mungkin ada yang tidak bersetuju tetapi rasanya elok kalau tinggalkan buat sementara isu kerajaan perpaduan dan kita fokuskan kepada isu yang lebih penting iaitu penyatuan bangsa Melayu/Islam.

Apa yang berlalu biarlah berlalu dan inilah masa yang amat sesuai untuk semua pihak tanpa mengira ideologi untuk kembali berubah dan bersatu demi kebaikan rakyat atas dasar perpaduan sesama Islam.

Kita perlu ingat tok guru pun manusia biasa, yang bukan tok guru pun manusia biasa. Sebagai manusia biasa pastinya kita tidak sunyi daripada melakukan kesilapan. Apalah kiranya pada ketika dan saat ini kita lupakan sengketa lama dan rapatkan ukhwah dengan duduk semeja untuk berbincang.

Baik di pihak pembangkang mahupun di pihak kerajaan, pastinya ada 'kudis' lama yang belum sembuh. Hanya mereka yang lebih mengetahui. Demi penyatuan bangsa, kenapa kita perlu mengungkit luka lama yang parutnya sudah tidak kelihatan lagi?

Kenapa perlu kita membuat kesimpulan sebelum kita mencubanya terlebih dahulu? Adalah tidak adil kita menghukum sebelum memberi peluang untuk membuktikannya. Pelbagai program dan rancangan termasuk 1Malaysia telah direncanakan.

Mana mungkin kita membuat kesimpulan sebelum melihat hasilnya. Bagaimana kita boleh mengakui nasi ayam itu tidak sedap sebelum kita mencubanya? Tepuk dada tanyalah selera.

Satu perkara yang perlu kita ingat, di saat kita bertelagah kata, pastinya rakan kita yang lain bersorak riang. Apabila perkara yang paling besar gagal direncanakan bimbang jika ada yang berkenduri besar.

Ini bukanlah masa untuk kita kata mengata, usik mengusik, tuduh menuduh, cuit mencuit, kutuk mengutuk antara satu sama lain. Ini adalah peluang keemasan untuk semua pihak berdepan mata dan berlapang dada dalam suasana yang berhemah untuk sama-sama berbincang, lupakan sejenak soal remeh temeh tetapi yang lebih mustahak adalah duduk semeja berbincang tentang penyatuan bangsa.

Ini bukanlah masa tambahan perlawanan akhir bola sepak di mana pasukan yang menjaringkan gol akan menjadi pemenang. Tetapi ini adalah perlawanan persahabatan, menang atau kalah tidak menjadi persoalan pokok, yang penting bertemu untuk mengeratkan silaturrahim.

Mengalah bukannya bererti kita kalah. Apalah kiranya sekali sekala yang tua menghormati yang muda, juga yang muda akan lebih dihormati sekiranya mengalah pada yang tua. Lupakan soal siapa menang, lupakanlah soal siapa yang mulakan dulu tetapi yang lebih penting adalah bertemu mata dan berbincang dari hati ke hati.

Buat masa ini debat tidak perlu diadakan. Tetapi jika kedua-dua pihak khususnya Perdana Menteri dan Mursyidul Am Pas dapat bertemu empat mata pastinya ia akan dikenang seluruh rakyat sampai bila-bila. Yakin dan percayalah jika ini menjadi kenyataan sama ada kerajaan mahupun pembangkang, masih-masing akan akan mendapat top up kredit yang lebih.

Kerajaan pastinya akan mendapat bonus tambahan. Kedua-dua pihak tidak perlu merasa curiga dan takut kepada kekalahan tetapi keikhlasan itu amat penting direalisasikan melalui musyawarah. Bukankah muafakat itu membawa berkat?

Ramai yang beranggapan bahawa kita sudah berpecah dan ada juga yang beranggapan sebaliknya. Berpecah atau tidak itu tidak menjadi isu tetapi yang merisaukan kita adalah bunga-bunga keretakan itu telah lama berkembang di taman rakyat.

Demi penyatuan bangsa Melayu/Islam, semua pihak perlu tunduk seketika, pejamkan mata renunglah sedalam-dalamnya apa yang sedang berlaku dan kita lakukan.

Sudah sampai masanya kita buang 'ego' masing-masing dan merendahkan diri untuk memastikan satu pertemuan menjadi realiti. Pastinya seluruh rakyat akan memanjatkan kesyukuran kepada illahi jika ini menjadi kenyataan.

Kita perlu menghentikan kata mengata dan cuit mencuit antara satu sama lain apatah lagi yang bersifat serangan peribadi.

Demi sebuah penyatuan, kita perlu melupakan seketika soal prinsip dan iedologi sebaliknya ringankan kaki dan tangan, lembutkan hati, bulatkan tekad dan rapatkan barisan untuk duduk semeja bertemu secara empat mata dari hati ke hati.

Pastinya apa yang berlaku hasil dari pertemuan itu akan disambut baik oleh rakyat dengan hati terbuka. Penyatuan amatlah penting kerana perpecahan akan membawa kehancuran ummah. Jika kita benar-benar ikhlas untuk melihat kesejahteraan rakyat maka bersatulah kerana muafakat akan membawa berkat, perpecahan akan membawa mudarat.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url