Konvokesyen UMT 2009

Bijak mengurus masa dan sentiasa menjalin hubungan baik dengan pensyarah adalah resipi utama kejayaan seorang pelajar yang dinobatkan sebagai paling cemerlang dan dipilih memenangi Anugerah Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sesi 2006/200 serta Anugerah Graduan Terbaik Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin.

Mohammad Anas Mohamad Annuar, 23, graduan Sarjana Muda Sains Samudera yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.73 adalah antara 10 pelajar yang dikalungkan anugerah berprestij itu selepas berjaya menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan kegiatan kokirukulum.

Beliau yang berasal dari Shah Alam berpendapat untuk menjadi pelajar cemerlang, seseorang itu tidak seharusnya tertumpu kepada pembelajaran dalam kuliah atau tutorial semata-mata, sebaliknya perlu membabitkan diri dalam bidang kokurikulum secara aktif bagi membina keyakinan diri dan persediaan menghadapi dunia luar selepas menamatkan pengajian.

Justeru, tidak hairanlah jika beliau mampu merangkul dua anugerah berkenaan, malah setiap kali peperiksaan semester, anak kepada jurutera kimia dan pensyarah ini sentiasa mendapat keputusan cemerlang yang melayakkannya menerima anugerah dekan.

"Saya percaya setiap orang ada cara terbaik untuk mengulang kaji pelajaran. Bagi saya memberi tumpuan sepenuhnya dalam kuliah dan perbincangan secara berkumpulan terutama bersama rakan cemerlang banyak membantu menaikkan prestasi pembelajaran.

"Bagaimanapun, selain itu terdapat faktor penting lain yang perlu kita jaga iaitu membina hubungan baik dengan pensyarah dan doa tulus daripada ibu bapa kerana keberkatan daripada Allah datang daripada keredaan ibu bapa," katanya selepas Majlis Anugerah Graduan Cemerlang UMT 2009, di sini, kelmarin.

Seramai 34 pelajar menerima anugerah yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Tan Sri Dr Ahmad Zaharudin Idrus. Hadir sama, Naib Canselor UMT, Prof Dr Aziz Deraman.

Daripada jumlah itu, 10 pelajar menerima Anugerah Naib Canselor, Anugerah Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (6), Anugerah Fakulti Sains Teknologi (9), Anugerah Fakulti Maritim dan Sains Marin (4) dan Anugerah Agroteknologi dan Sains Makanan (6).

Mohammad Anas yang bercita-cita untuk mengikut jejak langkah bapanya bekerja dalam bidang petroleum dan gas, sebelum ini pernah dilantik sebagai Yang dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2007/2008 dan mengetuai delegasi pelajar UMT ketika lawatan akademik ke United Kingdom dan Shanghai, China.

Selain itu, beliau juga aktif dalam sukan dan mewakili UMT ke Sukan Universiti Malaysia (Masum) dalam acara bola sepak dan futsal.

"Selepas ini saya bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang sama seterusnya membina kerjaya," katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url