Panggilan palsu berjaya dikurangkan kepada 64 peratus

Jumlah panggilan palsu yang menjangkau satu juta awal tahun ini berjaya dikurangkan kepada 64 peratus.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kejayaan itu berikutan promosi berterusan kerajaan dan pelaksanaan Sistem Respons Kecemasan Malaysia 999 (MERS 999).

Beliau berkata, berbanding pada 2007, sebanyak 97 peratus daripada 1 juta panggilan yang dibuat setiap bulan adalah palsu.

"Penurunan ini berikutan pelbagai promosi dan penerangan menerusi media selain penyelarasan panggilan kecemasan melalui MERS 999.

"Pada tahun 2007, ada pelbagai nombor seperti 991, 994 bagi panggilan kecemasan, tetapi kini ia diselaras menjadi 999 sahaja bagi memudahkan orang ramai membuat panggilan juga selaras dengan konsep 1Malaysia, satu nombor," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Rais yang meluangkan masa sejam sempena lawatan sulung ke Menara TM diberi taklimat mengenai operasi sistem MERS 999.

Turut hadir dua timbalannya, Datuk Joseph Salang Gandum dan Senator Heng Seai Kie serta Pengerusi Kumpulan TM, Tan Sri Ir. Radzi Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan TM, Datuk Zamzamzairani Mohd. Isa.

Tambahnya, walaupun jumlah panggilan palsu berjaya dikurangkan, tetapi secara puratanya hanya 1,200 panggilan daripada 40,000 panggilan sehari merupakan benar-benar panggilan kecemasan.

Selebihnya jelas Rais, 29 peratus merupakan panggilan terputus dan empat peratus bukan panggilan kecemasan.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat panggilan palsu atau berdepan dengan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Menurut Rais, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengulas lanjut, Rais memberitahu, seramai 25 individu yang dikesan membuat panggilan palsu akan dirujuk kepada Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan susulan.

"Kami akan merujuk kes ini untuk tindakan dan terpulanglah kepada Peguam Negara untuk mengambil langkah pendakwaan yang sewajarnya.

"Tindakan ini adalah sebagai peringatan kepada orang lain supaya jangan mempermainkan panggilan kecemasan," tegasnya.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan kecekapan empat agensi keselamatan iaitu polis, bomba, hospital dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk bertindak balas dalam setiap kes kecemasan, Rais menjelaskan, satu kajian mengenai tahap kecekapan semua agensi tersebut perlu dibuat.

Katanya, kajian itu penting kerana kecanggihan sistem MERS 999 tidak akan dapat dioptimumkan sepenuhnya jika tindak balas agensi kecemasan terbabit kurang memberangsangkan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url