Personaliti - Doktor insurans


Profil

Nama: Datuk Dr Nirmala Menon

Jawatan: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ING Insurance Berhad

Tarikh lahir: 24 November di Kuala Lumpur

Latar belakang Akademik: Universiti Mysore, India (MBBS)

Suami: Suresh Menon (Pengarah Eksekutif Rating Agency Malaysia)

Anak-anak: Natasha, 24, Suneil, 21 dan Nikesh, 17



JIKA dulu, sebaik memulakan tugas pada jam 8 pagi, beliau lazimnya hanya berpeluang menjenguk suami dan anak-anak selepas 36 jam berikutnya.

Bertugas dalam tempoh yang panjang di hospital kerajaan ketika itu nyata menuntut banyak pengorbanan.

Apatah lagi ketika ditempatkan di Unit Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang ketika itu baru memiliki unit pemindahan buah pinggang pertama di Malaysia.

Keletihan bertugas sudah menjadi kebiasaan namun pada masa sama, Datuk Dr Nirmala Menon akui kepuasan menangani pesakit memang sukar digambarkan terutama apabila mereka kembali sembuh.

"Adakalanya anak-anak pun terpaksa saya bawa ke tempat kerja jika dipanggil bertugas, malah mereka pun sudah biasa makan dengan saya di hospital.

"Cuma waktu kerja yang panjang itu ada ketikanya membuatkan saya terasa seolah-olah ketinggalan kerana tidak mampu bersama anak sepenuhnya ketika mereka membesar.

"Apabila saya mula berkhidmat di Aetna Insurance sebagai pengarah perubatan, saya fikir akan hanya melaksanakan tugas berkenaan untuk seketika, sekurang-kurangnya hingga anak sudah besar sebelum saya kembali bertugas sebagai doktor semula," katanya.

Tetapi lain pula kisahnya kerana sejak itu, kerjaya Dr Nirmala terus beralih arah bersama syarikat berkenaan yang kemudian diambil alih oleh ING Group pada 2000, sekali gus menyaksikan peningkatan kerjaya wanita berkenaan yang bergelar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ING Insurance Berhad sejak Oktober 2007.

Meskipun dunia perubatan yang diterokai selama sembilan tahun itu sudah lama menjadi sebahagian daripada lipatan kenangannya, beliau akui tetap merinduinya apatah lagi kini berada dalam dunia kerjaya yang cukup berbeza.

"Apa kerjaya sekalipun, saya percaya ia harus dilakukan sebaik mungkin. Jika seseorang itu komited pada tugasnya yang turut disertai perancangan dan pelaksanaannya yang baik, ia pasti akan menghasilkan kepuasan dalam kerjaya pilihan mereka," kata wanita yang meraih pengalaman dalam industri insurans sejak lebih 16 tahun lalu.

Antara falsafahnya, setiap insan mampu membawa perubahan lantas beliau turut memperkenalkan budaya kerja agak unik di syarikat berkenaan.

Dimulakan sejak tahun lalu, ia membabitkan seorang 'ketua' yang mempunyai pengaruh positif untuk membawa perubahan dalam bahagian yang dipimpin ketua berkenaan.

"Di tempat kerja, ada pelbagai kelompok pekerja yang sering kita temui. Ada yang tidak kisah hal ehwal di tempat kerja, tetapi ada yang memang bersemangat terhadap kerja masing-masing.

"Golongan yang positif inilah yang bertindak untuk mempengaruhi rakan sekerja lain supaya mereka sama-sama mampu untuk memberi sumbangan sekali gus memajukan diri dan kerjaya mereka," katanya yang mengukir sejarah sebagai CEO wanita pertama syarikat berkenaan.

Pengurusan masa yang baik, katanya, antara kunci kejayaan baik dalam kerjaya mahupun kehidupan berkeluarga.

"Di Malaysia atau negara di Asia, pulang lewat dari kerja sudah jadi kebiasaan sedangkan di negara Barat, lazimnya mereka tamat kerja pada jam 5.30 petang.

"Sewaktu masa bekerja, seseorang itu seharusnya beri tumpuan dan laksanakan segala tugas di tempat kerja sebelum pulang ke rumah. Memang ada ketikanya kakitangan itu terpaksa pulang lewat bergantung kepada keperluan tugas, tetapi bukanlah setiap hari," katanya.

Mengimbangi kerjaya dan keluarga baginya, bukanlah sesuatu yang mustahil dilaksanakan namun dalam apa jua aspek, keluarga harus menjadi keutamaan.

Lantaran itu, katanya, kesibukan ibu bapa berkerjaya juga bukan bermakna tugasan di rumah harus diserah bulat-bulat pada pembantu rumah sebaliknya, pengurusan masa yang baik membolehkan segala urusan seharian berjalan dengan lancar, baik di rumah mahupun di tempat kerja.

"Saya memang bertuah kerana ibu bapa tinggal bersama lantas mereka banyak membantu membesarkan anak-anak biarpun ibu bapa saya juga bekerja.

"Tetapi apabila berada di rumah, urusan anak-anak menjadi tanggungjawab saya dan suami.

"Mengambil pembantu rumah sudah menjadi budaya masyarakat kita, berbeza dengan budaya masyarakat Eropah yang lazimnya hanya menghantar anak ke pusat jagaan harian. Pulang dari kerja pula, suami isteri berkongsi tanggungjawab untuk menjaga anak.

"Tetapi di negara kita, ada yang terlalu bergantung kepada pembantu rumah sedangkan banyak kerja yang sepatutnya dilakukan sendiri terutama apabila ia membabitkan anak-anak. Adakalanya saya fikir ibu bapa kini harus kembali kepada perkara asas - menyelami maksud sebenar keibubapaan," katanya.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url