Sistem meritokrasi tiada unsur politik

Sistem meritokrasi yang digunakan sebagai panduan bagi menentukan kelayakan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dilaksanakan secara jujur oleh kerajaan, dan bukan bertujuan untuk menarik sokongan bukan Bumiputera.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sistem yang dilaksanakan sejak 2002 itu tidak harus dipertikaikan dan bagi pengambilan tahun ini, peratus yang ditawarkan tempat berdasarkan permohonan mengikut kaum, Cina adalah paling tinggi iaitu 80.4 peratus.

Beliau berkata, seramai 44,090 pelajar Bumiputera memohon ke IPTA bagi sesi pengajian 2009/2010 dan daripada jumlah itu seramai 27,829 orang atau 63 peratus ditawarkan tempat.

“Bagi kaum Cina pula seramai 12,645 orang memohon dan daripada jumlah itu, seramai 10,166 orang atau 80.4 peratus ditawarkan tempat, manakala India dan lain-lain 4,292 orang memohon dengan 2,421 orang atau 56.4 peratus ditawarkan tempat.

"Bilangan pelajar Bumiputera yang lebih ramai ditawarkan mengikuti program ijazah pertama di IPTA bagi sesi pengajian 2009/2010 kerana jumlah yang mengemukakan permohonan adalah besar," katanya pada sidang media selepas merasmikan Minggu Haluan Siswa Sesi 2009/2010 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, semalam.

Justeru, katanya, sistem meritokrasi yang digunakan tidak harus dipertikaikan, dan angka itu juga pernah dinyatakan sebelum ini tetapi tidak diberi penonjolan dalam liputan media.

Beliau berkata, ia juga selari dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Sabtu lalu bahawa mulai tahun depan pemberian biasiswa kerajaan yang akan dikenali sebagai biasiswa nasional ditawarkan berdasarkan merit tanpa mengira kaum.

Khaled berkata, setiap pelajar yang melanjutkan pelajaran ke IPTA sebenarnya hanya membayar antara 5 hingga 10 peratus saja kos pengajian setiap tahun manakala selebihnya ditanggung oleh kerajaan.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url