Taiwan destinasi menawan


Oleh Lailetaty A Rahman

Bagi umat Islam, Taiwan mungkin bukan destinasi pelancongan utama kerana beranggapan sukar mencari makanan halal di negara berkenaan yang pernah dikenali sebagai Ilha Formosa atau Pulau Cantik dalam bahasa Portugis.

Tanggapan itu mungkin hanya sesuai suatu ketika dulu kerana Taiwan kini sudah berubah, banyak kemudahan disediakan buat pelancong Muslim seperti restoran halal dan masjid.

Untuk memudahkan perjalanan, senarai restoran halal boleh didapati dari Biro Pelancongan Taiwan atau di Masjid Jamek Taipei (Taipei Grand Mosque) yang turut menyediakan jadual waktu solat.

Menyedari pentingnya menarik kunjungan pelancong Muslim, kerajaan Taiwan giat mempromosikan makanan halal serta produk pelancongannya ke seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Ia bagi menyokong usaha Biro Pelancongan Taiwan yang menetapkan sasaran menarik sehingga 2,000 pelancong Muslim ke negara itu setiap tahun dan bersedia meningkatkan kemudahan, termasuk makanan halalnya.

Bagi pelancong dari Malaysia, syarikat penerbangan tambang murah negara, AirAsia Bhd menyediakan penerbangan terus lima kali seminggu bagi laluan Kuala Lumpur-Taipei.

Penulis bertuah kerana diberikan kesempatan menyertai penerbangan sulung syarikat penerbangan berkenaan ke Taipei baru-baru ini dengan kerjasama Biro Pelancongan Taiwan.

Menjejakkan kaki di Taiwan yang pernah dijajah Jepun selama 51 tahun sehingga negara itu tewas dalam Perang Dunia Kedua, memang memberikan pengalaman menarik terutama apabila melihat pembangunan pesat di negara pulau itu.

Bangunan pencakar langit memenuhi muka bumi sekitar bandar raya, kesinambungan daripada pertumbuhan pesat ekonominya yang bermula selepas Perang Dunia Kedua.

Kemajuan ekonominya menjadikan Taiwan satu daripada 'Empat Harimau Asia' dengan aktiviti utama ialah industri teknologi yang memainkan peranan utama dalam ekonomi global.

Jika Malaysia gah dengan Menara Berkembar Petronas, rakyat Taiwan juga ada struktur kebanggaan mereka sendiri, iaitu Menara Taipei 101 yang diiktiraf satu daripada tujuh keajaiban dunia.

Pada masa ini, Taipei 101 yang dinamakan sempena jumlah tingkatnya masih menjadi menara tertinggi dunia, namun label itu bakal terhapus apabila Burj Dubai di Dubai yang setinggi 141 tingkat siap sepenuhnya, dijangka September ini.

Kesempatan mengunjungi Taiwan membawa penulis dan rombongan ke kolam air panas di Wilayah Yilan yang terhasil daripada letusan gunung berapi, 30,000 tahun lalu.

Malah, kolam sedemikian disediakan di kebanyakan hotel di wilayah berkenaan kerana ia menjadi kegemaran rakyatnya bermandi manda di situ dan menggelarnya 'mandian kecantikan'.

Air panas di kolam terbabit mengandungi campuran komposisi mineral, kalsium, besi, natrium, magnesium dan natrium hidrogen karbonat yang dikatakan boleh menjadikan kulit lebih lembut.

Bagi pelancong berkeluarga, beberapa hotel di Taiwan turut menyediakan konsep 'leisure farming' yang nyata menjadi daya tarikan serta mendapat sambutan pada musim panas.

Kami sempat menikmati percutian ala keluarga ini di Shangrila Leisure Farming di Dong Shan yang meninggalkan kenangan manis apabila berpeluang mempelajari cara membuat pelbagai kraftangan serta menikmati keindahan alam dari puncak bukit.

Walaupun bangunan hotel didirikan di celah bukit, alam sekitarnya tetap dipulihara dan diperindahkan lagi dengan pelbagai jenis pokok buah-buahan di sekeliling bangunan untuk dinikmati pengunjung.

Jika kena pada musimnya, pelanggan hotel berpeluang memetik sendiri buah-buahan berkenaan.

Pada sebelah malam, pelbagai aktiviti diadakan seperti perlawanan gasing, persembahan boneka, pelepasan tanglung dan menghasilkan bebola beras untuk dibuat bubur sebelum dimakan beramai-ramai.

Untuk menyingkap latar belakang dan sejarah Taiwan, Muzium Istana Kebangsaan mempamerkan lebih 650,000 bahan koleksi berharga membabitkan lukisan dan kaligrafi, dokumen, batu jed, ukiran berusia ratusan tahun serta bahan bacaan lama.

Tidak lengkap rasanya ke luar negara tanpa membawa pulang cenderahati, lalu kami dibawa ke beberapa syurga beli-belah terbesar di Taipei seperti pasar malam Luodong dan pasar malam Shilin.

Ada barangan murah, tidak kurang juga yang mahal dan anda tersilap jika menganggap peniaga di sini mudah 'termakan' pujukan kerana kebanyakannya sukar menurunkan harga barangan walaupun sudah berbuih mulut tawar menawar.

Pelbagai barangan dijual di pasar malam terbabit, termasuk beg tangan tiruan berjenama, tetapi pengamatan penulis mendapati ia sebenarnya dijual pada lebih rendah di negara sendiri, terutama pada musim jualan murah.

Kami pulang ke tanah air membawa kenangan manis dan satu yang kuat terpahat di ingatan ialah melihat kawasan terbiar di Taipei yang dimanfaatkan sebagai pasar sehari pada hujung minggu dan tempat letak kenderaan pada hari bekerja.

Terfikir juga bagaimana agaknya jika kolong atau ruang bawah jambatan dan jejambat di Kuala Lumpur dijadikan lokasi pasar tani dan pasar malam hujung minggu, manakala hari biasa pula dimanfaatkan sebagai tempat letak kenderaan.

- BERITA MINGGU
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url