Tinjauan Blog - Pasca Pilihan Raya Kecil Manek Urai
Mereka memberikan pendapat berhubung kekalahan tipis Barisan Nasional (BN) ke atas Pas pada pilihan raya itu.
Ariff Sabri Abdul Aziz dalam Sakmongkol AK-47 (sakmongkol.blogspot.com) menulis, keputusan di Manek Urai memberi petunjuk baik terhadap perubahan yang dilakukan oleh UMNO.
Katanya, UMNO memerlukan pemimpin yang berkualiti untuk masa depan dengan melahirkan bakat-bakat baru yang mempunyai etika kerja yang baik dan ini ditunjukkan di Manek Urai.
“Seekor layang-layang tidak memberi makna bahawa musim panas akan tiba. Ini adalah fakta - UMNO masih kalah.
“Keputusan hampir menang di Manek Urai tidak memberi kesan buruk kepada Pas dan mereka sudah pastinya akan melipatgandakan usaha untuk memperbaiki kelemahan mereka,” kata Ariff Sabri.
Katanya, apa yang perlu dilakukan, meneruskan usaha generalisasi dan ia perlu dilakukan secara menyeluruh.
“Apakah UMNO boleh mengulangi insentif dan aplikasi yang sama ke seluruh negara seperti mana dilakukan di Manek Urai?” tegasnya.
Aziz Hassan dalam Mana-mana (azizhassan.blogspot.com) pula berpendapat, Pas tidak boleh begitu seronok dengan kemenangan di Manek Urai walaupun mereka memenangi pilihan raya kecil itu.
Katanya, ini kerana membandingkan peratus penerimaan antara kedua-dua parti jelas menunjukkan Pas mengalami kemerosotan sebanyak 5.86 peratus manakala BN meningkat 6.63 peratus.
“Walaupun UMNO gagal merampas Manek Urai tetapi apa yang penting ia memberi petunjuk melalui peningkatan undi. Lebih ketara jika dibandingkan dengan Bukit Gantang,” tulisnya,
Kata beliau, walaupun Pas menang besar pada Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang namun Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin banyak menerima sokongan daripada pengundi bukan Melayu manakala pengundi Melayu sebaliknya memberi sokongan kepada BN.
Al-Azharri Siddiq Kamunri dalam Jentayuabaka (www.jentayuabaka.com) berkata, berdasarkan situasi di Manek Urai dan Bukit Gantang, BN mempunyai sebab kukuh untuk mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh terdekat untuk memperkuatkan kerajaan pusat.
Ini kerana katanya, keputusan di keduadua kawasan itu menunjukkan sokongan Melayu terhadap BN semakin baik manakala di Manek Urai, jelas sokongan golongan muda (saluran dua, tiga dan empat) juga meningkat.
“Semua ini adalah petanda bahawa kerajaan mempunyai sebab untuk mengadakan pilihan raya (umum) dalam masa terdekat.
“Penulis optimis, jika pilihan raya diadakan, Kelantan bakal kembali kepada BN,” tulisnya.
Salah satu faktor ialah perubahan yang berlaku dalam UMNO termasuk komitmen kerja ahli-ahlinya, perpaduan di kalangan ahli dan pemimpin serta perpecahan yang berlaku dalam Pas sendiri.
Sementara bagi penulis propembangkang seperti Sofi Wahab dalam Mutaligat (mutaligat.blogspot.com) pula menulis, tidak kedengaran dakwaan pengundi hantu pada pilihan raya di Manek Urai kali ini.
Sebaliknya, tulis beliau, pemimpin Pas hanya menuding jari kepada politik wang dan ugutan serta penyalahgunaan jentera kerajaan secara tidak bermaruah.
“Biasanya pada hari pengundian kita akan mendengar rungutan seperti nama hilang daripada daftar pemilih, ada orang mengundi bagi pihak orang lain, pemilih didakwa sudah mengundi, penahanan pengundi-pengundi yang mencurigakan, penahanan bas-bas dan kereta-kereta yang disangsikan dan sebagainya.
“Namun kali ini semua perkara di atas tidak kedengaran. Mungkinkah ia tidak berlaku langsung atau kita tidak berjaya mengesannya?” tulis beliau.
Beliau mendakwa, jangka masa yang lama sebelum diadakan pilihan raya kecil sejak kematian penyandangnya, Ismail Yaacob dengan tarikh penamaan calon dan pengundian membolehkan BN banyak melakukan perkara-perkara tertentu dengan sewenang-wenangnya.
“Saya harap post mortem yang dijalankan oleh jabatan pilihan raya Pas Pusat dan Kelantan dapat mengenal pasti segala kelemahan dalaman, penipuan dan penyelewengan ini,” tulisnya.
Zolkharnain Abidin dalam Bila Sauh Dibongkar (bongkarsauh.blogspot.com) pula menulis, walaupun Pas menang di atas kertas tetapi pada sudut-sudut tertentu parti itu mengalami kekalahan.
“Apabila Pas menang di Manek Urai saya suka, tetapi pada masa yang sama banyak perkara yang menyesak dan mengasak benak saya, sehingga saya berani menyimpul, Pas kalah dalam banyak sudut.
“Saya tidak suka menyebut secara khusus sudut-sudut itu bimbang ia akan disalahtafsirkan.
“Namun, sesiapa yang berada di Manek Urai dan terlibat secara aktif, mereka akan terhidu beberapa sudut yang boleh dikatakan sebagai ‘Pas kalah’ daripada sudut berkenaan,” tulisnya.
Kata beliau, Pas mengalami kekalahan kepada kepentingan, desakan dan asakan dari dalam diri pendukung sendiri.
“Apa desakan, asakan dan kepentingan itu? Saya ada jawapannya tetapi saya tidak sampai hati untuk menyebutnya di sini,” tulisnya.