Buku - Memahami sejarah China Moden

Judul: Sejarah China Moden
Pengarang: Suffian Mansor
Penerbit: Penerbit Universiti Malaya
Tahun: 2009Harga: RM35.00
Pengulas: MOHD. YAHYA MOHAMED ARIFFIN


Peristiwa rusuhan antara etnik Islam Uighur dan etnik Han di Urumqi wilayah Xinjiang, China baru- baru ini tercetus akibat diskriminasi ekonomi dan politik. Ia diibaratkan sebagai ulangan kepada insiden pada abad ke-19 lalu.

Ketika itu, kebangkitan penduduk Islam menentang pemerintahan China meletus di Yunan sekitar 1855 hingga 1873. Orang Islam Yunan yang datang dari Sinkiang sewaktu Dinasti Yuan (1271- 1368) merupakan golongan minoriti. Namun mereka kuat daripada segi penguasaan ekonomi.

Bagaimanapun mereka sering dipulau dan berdepan diskriminasi kerana cara hidup dan pegangan agama yang berbeza dengan penduduk lain. Penindasan dan pencabulan hak sering berlaku.

Satu lagi kebangkitan orang Islam yang dikenali sebagai Kebangkitan Tungan meletus di wilayah Shensi dan Kansu akibat diskriminasi sosial dan politik.

Fakta di atas merupakan antara yang dibongkar dalam buku yang diusahakan oleh ahli akademik dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM), Dr. Suffian Mansor.

Beliau menganalisis perkembangan sejarah China Moden secara naratif dan kronologi mulai abad ke-19 bagi memberi pemahaman kepada mereka yang berminat dan ingin mengenali secara lebih dekat sejarah moden negara itu.

Berdasarkan fakta, kewujudan negara China moden boleh dikaitkan dengan tiga faktor iaitu tamadun, budaya dan sejarah.

Negara itu lahir daripada proses evolusi kesuburan Lembah Sungai Kuning (Hwang Ho) kira-kira 4,000 tahun lalu.

Kemunculan negara kota di lembah sungai itu dibuktikan dengan penemuan bandar purba Anyang. Jumpaan bandar itu membongkarkan rahsia kehidupan manusia awal dalam tamadun mereka.

Menurut penulis, masyarakat mereka ketika itu sudah bercucuk tanam, membela ternakan, berjual beli dan mengamalkan kepercayaan tersendiri.

Dari situlah muncul budaya masyarakat Cina yang unik. Hal ini dibuktikan dengan kemunculan tulisan serta ahli falsafah Konfucius dan Taoisme yang menjadi satu cabang penting budaya mereka.

Kegigihan Shih Huang-ti dalam era Dinasti Ch'in untuk menguatkan perpaduan masyarakat setempat melalui usaha penyatuan bukan setakat wilayah tetapi juga budaya.

Usaha yang kemudiannya disambung oleh beberapa dinasti agung seperti Han dan T'ang telah melengkapkan kegemilangan masyarakat China sehingga menganggap bahawa bangsa mereka sebagai bangsa bertamadun di dunia selain sebagai pusat dunia.

Buku setebal 232 halaman dan 10 bab ini sarat dengan fakta dan susun galur sejarah China Moden. Bab 1 dan 2 menceritakan hubungan China-Barat yang bermula sejak zaman Laluan Sutera.

Bagi memperkukuhkan karyanya, penulis membincangkan kehadiran Barat pada abad ke- 17 bertujuan melihat punca- punca yang membawa kepada konflik Barat-China.

Namun, hubungan itu lebih aktif dan kritikal pada abad ke-19 apabila Barat menuntut supaya negara itu dibuka bagi tujuan perdagangan.

Tindakan membuka pintu kepada Barat telah memakan diri apabila China terpaksa berperang dengan British dalam Perang Candu di Canton yang berpihak kepada British.

Perang itu menyebabkan China terpaksa menandatangani Perjanjian Nanking walaupun ia dianggap perjanjian berat sebelah kerana lebih memihak kepada British.

Kuasa asing khususnya British mendesak China menerima tuntutan untuk membuka negara itu bukan sahaja untuk pasaran bebas malah hubungan diplomatik dan kegiatan penyebaran Kristian. Selain itu, kelemahan pemerintahan memburukkan keadaan kerana tidak mampu menangani cabaran kuasa asing serta masalah dalaman seperti yang diceritakan dalam Bab 3.

Bagaimanapun, Kebangkitan Taiping merupakan ancaman terbesar bagi pemerintahan Dinasti Ch'ing. Gerakan itu dipimpin oleh Hung Hsiu-chuan, berketurunan Hakka dari selatan China.

Ia berpunca daripada masalah politik, pentadbiran, ekonomi, sosial serta ditambah dengan pencerobohan Barat.

Kelemahan-kelemahan ketika itu menyedarkan para pemimpin seperti Sun Yat-sen, Chen Tu-hsiu, Mao Tse-tung, Chiang Kai- shek, Chou En-lai dan Mao Tse-tung tentang perlunya memulihkan negara itu melalui pelbagai cara.

Pemimpin negara itu silih berganti sehingga membawa kepada kemunculan ideologi komunis yang bertapak kukuh sehingga ke hari ini.

Dalam perkaitan ini, penulis membincangkan peranan penting oleh anak watan terutama Mao Tse-tung bagi mencorakkan negara sehingga rakayt menerima komunisme sebagai ideologi.

Menurutnya, adalah sangat penting untuk mengetahui dan memahami sejarah China kerana ia boleh membantu memahami senario dunia masa kini. Ini disebabkan arus perubahan yang berlaku di negara itu akan turut memberi impak kepada dunia.

Contohnya, perkembangan ekonomi yang rancak di China membawa kepada kemunculan pelbagai barangan pengguna ke seluruh dunia termasuk Malaysia.

Topik "Berakhirnya era Mao Tse-tung", pemimpin terkenal Parti Komunis China (PKC) dijadikan penutup kepada kandungan buku ini.

Tse-tung, pemimpin PKC sejak 1949 meninggal dunia pada September 1976. Beliau diganti oleh Deng Xiaoping, pemimpin yang menekankan tentang pembangunan secara lebih pragmatik dan realistik dalam usaha memodenkan China.

Buku ini amat sesuai dibaca oleh masyarakat negara ini yang ingin mendalami dan memahami mengenai sejarah China Moden apatah lagi asal-usul kaum Cina yang berasal dari tanah besar itu.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url