Top Ad 728x90

,

Malaysia yang Merdeka!

Oleh NOOR AMIN AHMAD

Saya fikir kawan saya seorang yang bijaksana.

Dalam sibuk kempen Pilihan Raya 2008, dia disuruh selalu bersyukur kerana Malaysia kini aman, rakyat boleh bekerja dan sebagainya. Jawabnya “di zaman British dulu pun mereka bagi kita bekerja dan mereka boleh bagi kita keamanan, tetapi kenapa kita nak juga Merdeka?”.

Kemerdekaan Tanah Melayu ini bukanlah sebuah kemerdekaan yang mudah. Mengambil kira realiti persaingan empayar ideologi peringkat global,negara kita tidak dapat mengelak tempiasnya. Suka atau tidak, golongan kiri di Malaysia adalah kelompok awal yang menggunakan perkataan Merdeka sebagai slogan perjuangan mereka dan kerana kemaraan pengaruh komunis yang besar, British akhirnya mempercepatkan proses kemerdekaan Tanah Melayu.

Namun, jika kita membaca sejarah rasmi negara yang diajar di peringkat sekolah, amalan (dasar) komunisme telah (banyak) berlaku kerana catatan ini tidak ditemukan –maksud saya sikap pemerintah komunis memaksakan satu faham sejarah yang sama kepada semua. Benarlah sebahagian dakwaan bahawa “sejarah ditulis oleh orang-orang yang menang”.

Golongan kiri berhasrat mewujudkan kesatuan Indonesia Raya di mana ia secara jelas dilihat British sebagai agenda perluasan empayar komunis.Di sinilah titik tolak pertikaian sejarah berkaitan isu tindakan yang diambil kerajaan terhadap Parti Komunis Malaya (PKM) dan para pejuangnya.

Pembentukan Malaysia dengan kemasukan Singapura, Sabah dan Sarawak juga telah ditentang oleh Indonesia dan Filipina. Suruhanjaya Cobbold akhirnya diwujudkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk meredakan isu ini di mana rakyat Sabah dan Sarawak khususnya telah menunjukkan sokongan untuk menyertai Tanah Melayu sebagai negara Malaysia yang berdaulat.

Pengisytiharan ini ditangguh kepada 16 September 1963 berbanding tarikh asal 31 Ogos 1963 kerana isu ini.

Dalam Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu yang diulang semasa pengisytiharan negara Malaysia, kemerdekaan dinisbahkan dengan kata “mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia”.

Ia dikuatkan dengan perimbangan agar kedudukan Raja Melayu dan hak asasi serta kebebasan rakyat dipelihara sebagai syarat untuk maju dengan aman dan teratur. Dalam perlembagaan, ia disebut sebagai sebuah kerajaan dengan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Perdana Menteri pertama Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia, pada perenggan akhir Pemahsyuran Kemerdekaan ini telah mewakili sekelian Raja Melayu menyampaikan bahawa “dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta’ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa”.

Semasa dijemput untuk membicarakan persoalan kebebasan dalam slot U-Wartawan di Astro Awani dan menjadi panelis forum Di Luar Lingkungan: Masa Depan Dari Kaca Mata Generasi Pewaris bersama Pegawai Khas Perdana Menteri, Prof. Madya Dr. Khairil Annas Jusoh, saya telah menekankan bahawa untuk negara Malaysia ini keluar daripada titik bengik masalah yang ada, kita mesti merujuk semula kepada hasrat besar golongan pejuang kemerdekaan negara kita.

Perjuangan untuk kebebasan bukanlah perjuangan baru dan ia terevolusi berkadar dengan masa. Jika pada zaman lampau, kezaliman dirujuk kepada sifat zalim yang nyata – membunuh dan menyiksa, zaman ini ia lebih kompleks.

Sebelum ini kita lihat dan dengar daripada sumber bacaan, tontonan media massa atau daripada mereka yang berpeluang menjadi saksi mata kepada dasar perkauman di banyak tempat di dunia.

Tentu sekali yang paling popular pada zaman moden ini ialah dasar apartheid di Afrika Selatan yang menyaksikan Nelson Mandela terpenjara hingga 27 tahun. Catatan panjang Mandela kini boleh dibaca dalam buku Long Walk for Freedom.

Kompleksiti dunia kian terserlah apabila isu kebebasan telah meruntuhkan empayar dan menjelma sebagai negara bangsa. Negara-negara yang muncul di peta dunia bermula dengan keinginan untuk mentadbir sendiri dan tidak lagi bergantung kepada kuasa luar meskipun kuasa luar ini lebih maju serta berpengalaman – dan sebahagianMereka berkongsi kepakaran memajukan masyarakat tempatan melalui latihan pentadbiran serta perekonomian.

Ketika negara memilih untuk memerintah sendiri, timbul isu sekitar siapa yang layak menjadi ketua. Mungkin di peringkat awal rakyat lebih mudah diwakili oleh tokoh-tokoh yang dilihat berani mewakili proses perundingan. Tokoh-tokoh ini bersatu atas maksud membebaskan negara, namun mungkin tidak dari segi proses membina-majukan negara.

Di peringkat awal, kita mungkin boleh menemukan kejernihan akal-budi pemimpin untuk menerima dan mengambil (give and take), namun realiti kemudian tidak semestinya kekal begitu.

Maka muncullah kaedah apa yang dinamakan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai proses sesuai untuk Malaysia.Kaedah-kaedah memilih wakil rakyat dan kenyataan-kenyataan prinsip dalam pemerintahan – kebebasan dan keadilan – yang diambil daripada Pemahsyuran Kemerdekaan termaktub.

Ramai orang, ketika membicarakan isu kebebasan, gagal memahami pengertian sebenar mereka yang mengungkapkannya. Ia tidaklah aneh kerana memang hakikatnya realiti kebebasan punya cabaran tersendiri.

Timbul meluas pertanyaan dan kenyataan “setakat manakah kebebasan harus diberi? Kebebasan harus dibataskan! kebebasan mesti disertakan dengan tanggungjawab”.

Bunyinya klise, seakan kebenaran agung; namun mungkin kata-kata George Bernard Shaw sesuai untuk mengungkapkan realiti tersebut –“mereka yang takut dengan kebebasan ialah mereka yang takut dengan tanggungjawab”.

Haruslah difahami bahawa undang-undang yang muncul berkaitan kebebasan bukanlah untuk menidakkannya, sebaliknya adalah pengiktirafan kepada kebebasan itu sendiri. Kebebasan seseorang tamat sebaik saja iamenggugat kebebasan orang lain.

Maka, undang-undang adalah satu bentuk peruntukan hak kepada semua pihak. Apabila pertindihan hak berlaku, ia dibicara dan siapa yang dapat membuktikan kesnya lebih kuat, ia mungkin menang secara undang-undang.

Undang-undang adalah jalan keadilan yang terhad sebagai kerangka membantu permasalahan manusia. Undang-undang sebagai proses tertakluk kepada manusia yang menggerakkannya. Jika manusia mempunyai sense of justice yang kuat, maka kita berpeluang memiliki suasana demokratik yang luas.

Jika manusia rakus terhadap kuasa yang dipinjamkan, kita akan berdepan dengan banyak kekangan atas nama demokrasi – di mana majoriti undi 5 tahun sekali akan dinisbahkan sebagai alasan awam (public reason) di Dewan Rakyat pada setiap masa Ahli Dewan Rakyat meluluskan sesuatu usul sebagai undang-undang.

Di sinilah kelemahan demokrasi yang paling ketara, namun belum ada jawapan alternatif yang cukup meyakinkan masyarakat awam untuk menggantikan sistem ini.

Hakikatnya, dalam kajian popular bimbingan Profesor John Esposito, dan dibukukan dengan tajuk Who Speaks for Islam (pertanyaan penting dalam isu Islam dan hubungannya Dengan dunia), cukup menunjukkan bahawa rakyat mahu menyertai proses demokrasi – memilih wakil dan membuat keputusan. Penompokan kuasa kepada manusia lain bukanlah pilihan rakyat meskipun manusia lain bergelar pemimpin agama, suara dunia ketiga atau raja!

Kedaulatan sebuah negara dicerminkan melalui lebih kuasa kepada rakyat, bukan pemimpin yang asalnya dipilih oleh mereka sebagai wakil. Kedekatan suara pemimpin mewakili suara rakyat adalah cermin ketinggian kuasa rakyat dalam institusi negara.

Dari faham ini, saya merumuskan soalan yang ditanya kepada kawan saya itu menunjukkan kemerdekaan negara telah ‘dicuri’ maksudnya.

Sempena Ogos 2009, saya mahu mengingati semula Pemahsyuran Kemerdekaan yang pertama kali disebut pada hari kelahiran saya 20 Februari, meski tahunnya beza – 1957. Masanya telah tiba untuk kita bersatu memikirkan tentang maruah sebuah negara yang kita sayang bernama Malaysia.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90