Pesawat terhempas, juruterbang maut di Taiping


Seorang pesara tentera tergamam apabila dia ternampak sebuah pesawat diuji pandu tiba-tiba terhempas, meletup dan terbakar kira-kira 50 meter dari tempat beliau berdiri berhampiran Lapangan Terbang Tekah dekat Taiping, Perak semalam.

Halim Hamid, 50, berkata, semasa kejadian pada pukul 12.30 tengah hari, beliau sedang mencari anak udang untuk ikan peliharaannya di sebuah lombong yang terletak tidak jauh dari lapangan terbang itu.

"Kami penduduk di sini sudah tahu ada sebuah pesawat yang dipasang sejak seminggu lalu di sebuah bengkel dekat Lapangan Terbang Tekah akan diuji pandu hari ini (semalam)," kata beliau semasa ditemui di sini semalam.

Akibat kemalangan itu, juruterbang pesawat itu, Michael Robert Dacre, 53, warga Britain, terkorban kerana cedera parah dan melecur.

Halim memberitahu, sebelum tragedi, beliau nampak sudah tiga kali juruterbang itu cuba menerbangkan pesawat tersebut tetapi gagal.

"Dalam cubaan keempat, pesawat itu melonjak naik namun ketika berada kira-kira 200 meter di udara, pesawat itu tiba-tiba mencodak ke langit tetapi beberapa saat kemudian ia membelok ke kiri dan terus menjunam ke bawah," kata bapa kepada tiga orang anak itu.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Solly Salihah
    Solly Salihah Isnin, 17 Ogos 2009 pada 2:16:00 PTG SGT

    Kesian nya. semoga Kejadian seperti ini tidak akan berulang kembali.

Add Comment
comment url