Graduan digesa jangan salah guna ilmu dipelajari

Graduan universiti mesti sentiasa memberi sumbangan terbaik sama ada dari segi etika kerja, buah fikiran dan pengurusan untuk membawa kejayaan kepada organisasi tempat mereka bertugas.
Bekas Perdana Menteri yang juga Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pendidikan universiti memberi graduan kehidupan yang selesa dan mereka patut membalas budi itu dengan menjaga nama baik institusi yang mendidik mereka.
Beliau berkata, graduan tidak patut menggunakan ilmu dan kecekapan mereka untuk mencari kelemahan pihak lain dan mengaut keuntungan peribadi serta mengakibatkan orang lain menjadi mangsa.
"Jika anda dituduh menipu, orang lain akan bercakap, 'Oh! Dia dari UTP. Ini tidak sepatutnya berlaku," katanya dalam ucapan khas selepas menyampaikan ijazah kepada kira-kira 500 graduan dalam Konvokesyen Kesembilan UTP di sini, semalam.
Hadir sama Pro-Canselor UTP, Tan Sri Mohd Hassan Marican; Rektor UTP, Datuk Dr Zainal Abidin Kasim dan isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Dr Mahathir berkata, salah satu punca krisis ekonomi global sekarang disebabkan golongan terpelajar yang menggunakan kecekapan mereka untuk mencari kelemahan sistem kewangan dan perbankan bagi mengaut keuntungan peribadi.
Beliau mengambil contoh Bernard Madoff yang menawarkan pelaburan skim Ponzi di Amerika Syarikat dan mengaut keuntungan berbilion dolar tetapi pada masa sama menyebabkan orang lain kehilangan semua wang milik mereka..
"Hari ini, ekonomi dunia runtuh kerana golongan terpelajar, iaitu graduan dari universiti terbaik dunia mencipta formula matematik atau sistem lain untuk mengaut keuntungan peribadi.
"Mereka cemerlang dalam aspek menyalahgunakan sistem. Contohnya, dalam sistem perbankan, mereka melihat peluang untuk mendapat dana untuk pelaburan, walaupun dana ini tidak disokong oleh apa-apa instrumen kewangan," katanya.
- BERITA HARIAN
