PUNB sasar latih 2,000 siswazah

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) merancang untuk melatih seramai 2,000 pelatih Program Siswazah Perantis menjelang 2010.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Abu Bakar Mohd. Noor berkata, setakat ini, program yang bertujuan mengurangkan pengangguran di kalangan graduan itu, menerima 670 permohonan dan 533 orang siswazah diterima masuk manakala 378 pelatih telahpun memulakan latihan.

''Program ini terbuka kepada siswazah Bumiputera yang memiliki sijil kemahiran Tahap 2 dan berumur tidak kurang 30 tahun serta berminat menjadi usahawan.

''Pelatih yang terpilih akan menjalani latihan dengan syarikat naungan dan sokongan PUNB selama enam bulan dan setahun,'' katanya ketika berucap di majlis perasmian Program Jaringan Usahawan PUNB Peringkat Nasional 2009 di sini hari ini.

Program Siswazah Perantis PUNB, merupakan sebahagian daripada pakej rangsangan kedua yang dibentangkan pada 10 Mac lalu di bawah program siswazah sangkut.

Kerajaan telah memperuntukkan RM50 juta kepada PUNB untuk menyediakan latihan kepada siswazah menganggur yang ditawarkan sebanyak 2,000 tempat dalam usaha mengurangkan jumlah pengangguran negara.

Beliau juga menambah, sehingga 30 Jun lalu, PUNB telah membangunkan sebanyak 1,592 perniagaan yang melibatkan 3,100 usahawan dalam Skim Prosper Runcit dengan jumlah pembiayaan disalurkan berjumlah RM265 juta.

Di bawah Prosper pemborong pula sebanyak 73 perniagaan telah dibangunkan yang melibatkan 219 usahawan dengan nilai pembiayaan RM133 juta manakala Skim Siswazah Prosper pula melahirkan 348 perniagaan dengan jumlah dana yang diagihkan RM133.3 juta.

Bagi Skim Perusahaan Kecil Sederhana pula, sebnayak RM405.6 juta telah disalurkan kepada 144 syarikat yang terlibat dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan.

Mohd. Abu Bakar berkata, dalam persekitaran berniaga dalam dunia tanpa sempadan, usahawan Bumiputera perlu meningkatkan daya saing untuk terus meneruskan kelangsungan hidup dalam perniagaan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url