Sasaran sejuta transaksi pembayar cukai melalui Maybank2e.net

Malayan Banking Bhd. (Maybank) menyasarkan sejuta transaksi pembayaran cukai melalui perkhidmatan terbaharu Maybank2e.net (M2e.net) pada tahun pertama.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, jumlah sasaran itu adalah berdasarkan sejumlah 1,000 pelanggan sedia ada yang bakal menggunakan perkhidmatan berkenaan.

''Perkhidmatan pembayaran cukai dalam talian yang terbaru ini merupakan komitmen berterusan Maybank dalam menyediakan perkhidmatan tambah nilai kepada pelanggan kami.

''Ia dapat memberi manfaat kepada syarikat terutama bagi penjimatan masa, meningkatkan kecekapan dan produktiviti,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Bagi Pembayaran Cukai Pendapatan Melalui M2e.net antara Maybank dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini hari ini.

Perjanjian itu dimeterai oleh Abdul Wahid dan Naib Presiden Eksekutif Kanan, Ketua Perbankan Perniagaan, Rozidin Masari mewakili Maybank, manakala LHDN diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarahnya, Datuk Hasmah Abdullah serta Pengarah Kutipan Cukainya, Puteh Mariah Harun.

Tambah Abdul Wahid, perkhidmatan ini ditawarkan secara percuma kepada lebih 12,000 pelanggan M2e.net yang terdiri daripada syarikat perniagaan.

''Maybank sentiasa menggalakkan penggunaan perkhidmatan pembayaran dalam talian dan menjadi tanggungjawab kami untuk menyediakan perkhidmatan yang dapat manfaat kepada orang ramai,'' katanya.

Pada masa ini, M2e.net menawarkan enam modul seperti pengurusan maklumat, pengurusan akaun belum di bayar, pengurusan akaun diterima, pengurusan kecairan, saluran penawaran kewangan dan perkhidmatan korporat.

Abdul Wahid berkata, menjelang 2010 Maybank akan memperkenalkan dua lagi modul M2e.net yang akan memberikan organisasi lebih kawalan kepada aktiviti pengurusan tunai mereka.

Sementara itu, Hasmah berkata, pelancaran perkhidmatan terbaharu ini adalah kesinambungan kepada kerjasama yang termeterai antara LHDN dan Maybank sejak Jun 2008.

''Maybank merupakan bank pertama yang menawarkan perkhidmatan pembayaran cukai melalui empat saluran iaitu mesin juruwang automatik (ATM), perbankan Internet Maybank2u.com, Perbankan Telefon Kawanku dan melalui kaunter.

''Perkongsian lestari ini dapat memudahkan pelanggan Maybank bagi urusan perbankan serta pencukaian mereka,'' tambah beliau.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url