RM10 satu malam

Katil, almari, bilik air, tempat membasuh pakaian dan ruang dapur, segalanya boleh dimanfaatkan secara percuma. Tetapi, semua kemudahan itu untuk mereka yang benar-benar tidak mampu.

Paling minimum, nilai segala kemudahan itu hanya RM10 untuk penginapan satu malam di rumah penginapan sementara itu.

Ia juga boleh dimanfaatkan ahli keluarga, saudara-mara mahupun kenalan yang mengiringi pesakit jantung yang mendapatkan rawatan di mana-mana pusat perubatan membabitkan rawatan penyakit itu di ibu kota.

Persekitaran senyap sekali gus menyediakan suasana tenang tentunya cukup dihargai penghuni di rumah penginapan terbabit.

Lantas, tidak hairan jika hampir semua bilik penginapan di bangunan Yayasan Jantung Malaysia itu sentiasa penuh di hujung minggu terutama sejak enam bulan lalu khususnya ditempah penghuni dari Sabah dan Sarawak serta pantai timur Semenanjung.

“Ini antara kelebihan utama bangunan yayasan yang baru ini kerana ia membolehkan kami mengendalikan rumah penginapan sementara sama ada untuk pesakit itu sendiri atau saudara-mara mereka.

“Ia tentunya cukup membantu golongan yang sangat memerlukan kemudahan terbabit terutama di saat kecemasan,” kata Naib Pengerusi Yayasan Jantung Malaysia, Datuk Dr JS Sambhi, ketika ditemui baru-baru ini.

Yayasan terbabit yang diasaskan Dr Sambhi sendiri pada 1982 kini menduduki bangunan baru bernilai hampir RM5 juta hasil sumbangan Yayasan al-Bukhari.

Daripada hanya sebuah pejabat dan berpindah randah sejak ia mula beroperasi di Kampung Attap, Kuala Lumpur, bangunan baru berkenaan nyata cukup selesa.

Tapak bangunan baru di Lorong Lai Tet Loke 2 off Jalan Gurney, Kuala Lumpur itu asalnya dipenuhi semak-samun, malah sering dilanda banjir lalu aras tanah dinaikkan terlebih dulu sebelum bangunan yayasan yang dilengkapi pelbagai kemudahan itu mula dibina.

Selain dua bilik asrama besar untuk lelaki dan wanita, rumah penginapan sementara itu menyediakan lapan bilik (dilengkapi dua katil dan almari serta bilik air) untuk pengunjung berkeluarga.

Bilik keluarga itu pula ada beberapa pilihan sama ada bilik biasa atau bilik dilengkapi penyaman udara dengan harga sewaan berbeza. Pengawal keselamatan turut ditempatkan di bangunan terbabit sepanjang masa.

Bagi penghuni yang tidak sempat mencari kedai untuk bersarapan, yayasan turut menyediakan sarapan ringkas manakala sekitar jam 8.30 pagi, ada pengangkutan untuk menghantar penghuni rumah penginapan itu ke pusat perubatan.

Van yang sama akan mengambil penghuni di pusat perubatan berkenaan sekitar jam 10.30 malam untuk kembali ke rumah penginapan terbabit.

Untuk memperluaskan khidmat rumah penginapan sementara berkenaan, yayasan bekerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) serta pusat perubatan lain dengan menyediakan maklumat kepada pesakit mengenai kemudahan terbabit.

Di samping rumah penginapan sementara berkenaan, program kesedaran turut menjadi agenda penting yayasan terbabit malah Dr Sambhi akui tahap kesedaran di kalangan masyarakat berhubung pencegahan penyakit berkaitan jantung kini berbeza berbanding di tahun 80-an.

“Dulu, masyarakat rata-rata tidak sedar pun mereka bermasalah, tetapi kini kesedaran semakin tinggi cuma mereka mungkin kurang bermotivasi untuk melakukan sesuatu bagi mencegah penyakit berkenaan,” katanya.

Apapun, katanya, usaha kesedaran bukan tugas mudah, malah membabitkan langkah berterusan puluhan tahun lamanya serta kerjasama menyeluruh daripada pelbagai pihak.

Memberi contoh Finland yang terkenal dengan negara yang memiliki kadar kematian akibat penyakit jantung yang sangat tinggi di dunia di tahun 60-an, ia kini mencatatkan kadar kematian akibat penyakit jantung paling rendah di dunia menerusi projek membabitkan perubahan gaya hidup yang dilaksanakan kerajaannya mulai 1972.

Beliau tidak menafikan perubahan gaya hidup sedemikian juga mampu dilaksanakan di Malaysia, namun ia sangat memerlukan komitmen menyeluruh.

Tidak hanya memberi tumpuan di kawasan kota, menurutnya, yayasan turut melaksanakan inisiatif membabitkan program kesedaran di kawasan pedalaman misalnya sekitar Kota Kinabalu dan Sandakan di Sabah serta Kuching, Miri dan Sibu di Sarawak.

“Program berkenaan antara lain memberi penjelasan mengenai kaedah untuk mencegah penyakit jantung, khidmat nasihat dari segi rawatan dan seumpamanya yang lazimnya mendapat maklum balas sangat baik daripada penduduk setempat.

“Cuma pihak kami pula sering kekurangan kakitangan untuk melaksanakan program kerana ia biasanya hanya dikendalikan antara empat hingga enam orang setiap kali ke kawasan terbabit.

“Apapun, kami turut mendapat kerjasama daripada hospital kerajaan dan swasta setempat selain penduduk, badan bukan kerajaan, pertubuhan wanita, sekolah dan pasar raya setiap kali turun padang,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai yayasan, layari www.yjm.org.my.

>Info

Antara aktiviti Yayasan Jantung Malaysia

Program kesedaran membabitkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk di kawasan pedalaman, sekolah dan kolej serta Minggu Jantung diadakan secara berterusan di seluruh negara.

Rumah penginapan sementara berserta pengangkutan ke pusat perubatan.

Kaunseling pemulihan kardiovaskular.

Program berjalan sejauh sebatu.

Demonstrasi senaman termasuk tarian, lompatan menggunakan tali, fitball, dan silatrobik.

Kumpulan sokongan.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url