Suaibah Harun - Menapak dari bawah


>Profil

NAMA: Suaibah Harun

JAWATAN: Pengurus Besar Hotel YT Midtown, Kuala Terengganu, Terengganu

PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor

STATUS: Kahwin

SUAMI: Ismail Mubarak Muhammad Salleh

ANAK: Shukri Ismail Mubarak, 17, Iffah Nabilah, 16, dan Ahmad Syawal, 12

TIADA istilah malu bagi orang yang bercita-cita besar biarpun bermula dari bawah di hotel lain sebelum meraih jawatan tinggi di tempatnya kini.

Suaibah Harun, 42, memulakan kerjaya sebagai pegawai pemasaran selama tujuh tahun sebelum dilantik ke jawatan kini sebagai Pengurus Besar Hotel YT Midtown, Kuala Terengganu.

Baginya, mengharap segulung ijazah untuk memegang jawatan tinggi harus disingkirkan dalam minda seseorang kerana persaingan mendapatkan pekerjaan hari ini amat ketara berbanding dulu.

"Melihat kepada senario persaingan sengit di kalangan mahasiswa dalam dan luar negara sebaik keluar dari menara gading, saya meletakkan sasaran tertentu pada diri bahawa bukan jawatan jadi matlamat utama.

"Apa yang terpenting ketika itu mencari kerja dan jangan terlalu memilih. Kebetulan, bidang perhotelan terutama pemasaran menarik perhatian membuatkan saya memohon kerjaya itu sebaik menimba pengalaman di hotel lain sebelum ini.

"Saya tidak kisah bermula dari bawah dan ia menjadi batu loncatan penting untuk mengukur tahap kemampuan saya dan selebihnya, saya mempertaruhkan kerja keras. Saya cepat ramah dengan sesiapa saja dan bagi saya, skil komunikasi yang tinggi amat penting jika memilih kerjaya ini sebagai sandaran masa depan," kata wanita yang berasal dari Kuala Terengganu ini.

Sejak di sekolah menengah lagi, dia mula menunjukkan minat mendalam di bidang pemasaran dan mengesan bakat sebaik mendapat tawaran belajar di Institut Teknologi Mara (kini UiTM) dalam bidang perniagaan dengan pengkhususan pemasaran.

Masyarakat ketika itu pula tidak memandang sinis golongan yang bekerja dalam industri perhotelan, sekali gus meyakinkan lagi langkahnya untuk membina tapak kukuh dalam kerjaya itu.

Minat dan kesungguhan yang ditunjukkannya amat mendalam menyebabkan Suaibah memberi tumpuan terhadap kerja melebihi segalanya. Ternyata hasil kerja keras dan sikap setianya selama itu dinilai sehingga akhirnya kini memperoleh jawatan tinggi.

Tidak ramai wanita di pantai timur terutama di Terengganu memegang jawatan itu, namun Suaibah tidak cepat mendabik dada.

Baginya, kerjaya sebagai pengurus besar hotel bukan untuk dibanggakan, sebaliknya mahu membuktikan kepada umum wanita juga mampu melaksanakan satu tanggungjawab besar yang perlukan kepercayaan dan komitmen tinggi.

"Melihat industri hotel semakin pesat berkembang terutama galakan terhadap pelancong domestik di samping pelbagai galakan diberi kerajaan, ia sesuatu yang harus dimanfaatkan.

"Persekitaran yang baik, suasana menyenangkan pengunjung dan tarikan di hotel hendaklah menjadi insentif terbaik. Selain itu, pekerja bahkan saya sendiri perlu kreatif dan inovatif untuk menjayakan sesuatu program bagi menarik perhatian pengunjung ke hotel.

"Nilai positif yang baik harus diterapkan kerana hotel bukan saja menjadi sebutan bahkan kepada pelancong, nilai murni akan menggalakkan mereka untuk terus datang kerana 'cerita dari mulut ke mulut' mungkin memberi impak lebih mendalam," katanya.

Jika dulu, masyarakat mungkin memandang serong kerjaya di bidang perhotelan, namun katanya, masyarakat kini semakin berubah pandangan.

"Nilai baik atau sesuatu yang positif dalam aliran pemikiran semasa selain ramai pekerja hotel yang berpakaian mengikut syariat Islam, seolah-olah menyemarakkan lagi bidang ini di mata umum.

"Pandangan ini seharusnya berkembang seiring nilai murni yang diterapkan di kalangan hotel sendiri dengan menjalankan aktiviti kemasyarakatan supaya sentiasa menyuburkan hubungan baik dengan orang ramai.

"Saya bangga sebagai anak jati Terengganu dan kembali ke tempat asal untuk sama-sama membangunkan bukan hanya negeri, sebaliknya menyemarakkan jati diri dan kebudayaan seperti barangan kraf, makanan tempatan dan nilai kehidupan setempat sebagai satu budaya yang menjadi kenangan terindah buat pelanggan mahupun pelancong asing," katanya.

Suaminya, Ismail Mubarak Muhammad Salleh yang bertugas sebagai kakitangan kerajaan, amat memahami rutin tugasnya yang sentiasa sibuk.

"Tidak dinafikan ketika pada awal perkahwinan dulu, suami mahupun keluarga kurang memahami kerjaya saya. Kini keadaan sudah berubah dan anak semakin membesar serta memahami kerjaya saya.

"Alhamdulillah, saya sering menjadikan waktu terbaik untuk memberi ruang bersama keluarga tercinta. Saya bertuah kerana dikelilingi mereka yang memahami diri dan tanggungjawab. Ia menuntut pengorbanan bukan sedikit daripada orang yang saya sayangi," katanya.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url