Tune Talk bakal lancar mudahalih prabayar

Tune Talk Sdn. Bhd. (Tune Talk) akhirnya mencapai hasrat untuk melancarkan perkhidmatan mudah alih prabayar pada 19 Ogos ini, setelah hampir dua tahun bertapak di Malaysia.
Sebelum ini, perkhidmatan itu dijadual pelancaran komersialnya pada akhir 2007 tetapi tertangguh akibat perundingan yang belum selesai dengan Celcom (M) Bhd., berikutan cadangan nyah gabung Telekom Malaysia Bhd. (TM), kata Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo.
Celcom, kini berada di bawah Axiata Group Bhd., sebuah entiti yang sebelumnya milik TM tetapi kini beroperasi berasingan selepas berlaku nyah gabung.
Menurut Lo, perkhidmatan prabayar yang ditawarkan bersandarkan rangkaian 2.5G dan pihaknya tidak akan bersaing dengan pengendali telekomunikasi yang menyediakan produk berasaskan platform 3G.
‘‘Tumpuan kami menjadi peneraju yang menawarkan satu kadar tetap terendah dalam pasaran segmen prabayar.
“Pengguna hanya perlu membeli kad SIM yang dijual pada harga bermula RM5 yang memberikan masa ke udara bernilai RM5 secara percuma dan mereka juga boleh memilih nombor pilihan di 10,000 rangkaian pengedar di seluruh negara,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.
- UTUSAN
