Ke mana sokongan kaum India?
Pada 26 Mac lalu, UMNO menyaksikan peralihan pucuk pimpinan parti itu daripada Abdullah Ahmad Badawi kepada Najib Tun Razak. Pada hari yang sama, Muhyiddin Yassin diisytiharkan menang mengalahkan Muhammad Muhd Taib untuk mengisi kekosongan jawatan Timbalan Presiden UMNO yang ditinggalkan oleh Najib. Begitulah peralihan dalam UMNO di Dewan Merdeka yang penuh sejarah itu.
Kelmarin, Dewan Merdeka, salah satu komponen utama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dirasmikan oleh Dr. Mahathir Mohamad itu sekali lagi menjadi tumpuan. Kali ini menyaksikan pemilihan dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MIC.
Sudah beberapa kali MIC menjadikan Dewan Merdeka sebagai lokasi perhimpunan agung parti itu yang bangunan ibu pejabatnya terletak tidak jauh dari PWTC.
Walaupun pemilihan MIC tidak melibatkan peralihan jawatan Presiden parti yang sudah disandang oleh Samy Vellu selama 28 tahun, tetapi ia melibatkan pertandingan bagi jawatan timbalan presiden, naib-naib presiden dan ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC).
Tetapi tiada kejutan pada pemilihan MIC itu walaupun ramai yang menjangka sesuatu perubahan berlaku apabila Najib menyampaikan ucapannya pada perhimpunan tersebut. Ada yang berkata, ucapan Pengerusi BN itu ada yang tersurat dan tersirat. Najib cuba memberi sesuatu mesej kepada para perwakilan MIC mengenai pemimpin popular yang kemudiannya mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan.
Najib dalam ucapannya mengingatkan semua pemimpin parti komponen BN bahawa tidak guna menjadi popular di kalangan anggota parti sahaja tetapi tidak popular di kalangan rakyat sehingga menyebabkan kehilangan sokongan rakyat.
''Kalau kita popular di kalangan ahli parti, kita boleh menang jawatan dalam parti tapi sama ada parti kita relevan atau tidak ialah sama ada kita boleh menang di kalangan hati rakyat untuk menyokong parti BN,'' katanya.
Diminta mengulas kenyataan Najib itu, di luar perhimpunan, Samy Vellu berkata: "Saya bukan orang yang mahu menjadi popular di kalangan rakyat. Tetapi saya mahu disayangi oleh mereka (rakyat) atas perkhidmatan dan sumbangan saya''.
Malangnya dalam pilihan raya umum lalu, perkhidmatan dan sumbangan yang diberi oleh Samy seolah-olah tidak dihargai apabila beliau mengetuai senarai pemimpin yang 'tumbang'. Enam kerusi Parlimen gagal dipertahankan kecuali tiga. MIC juga kecundang di 12 daripada 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Selain Samy yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput, turut tewas ialah timbalannya, G. Palanivel (Hulu Selangor) dan Naib Presiden, S. Sothinathan (Teluk Kemang).
Malangnya, di sebalik kekalahan itu, ada pemimpin yang tidak mahu menerima hakikat kelemahan sendiri sebaliknya menuding jari kepada orang lain termasuk UMNO seterusnya parti komponen BN yang lain.
Kini episod Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 sudah berakhir. MIC perlu bersedia untuk menghadapi PRU 13. Dan berikutan pemilihan Sabtu lalu, MIC perlu mengambil langkah memulihkan semula parti itu.
Apakah pemulihan yang dimaksudkan?
Pemerhati politik sejak PRU lalu melihat perlunya perubahan dalam kepimpinan parti komponen BN. Dan perubahan itu sudah pun ditunjukkan oleh UMNO, MCA dan Gerakan. Kini MIC perlu mengikut jejak tersebut. Tidak keterlaluan jika dikatakan Samy boleh menyerahkan segera tampuk kepimpinan kepada timbalannya Palanivel sebelum tempoh jawatan presidennya berakhir pada 2012 - yang dianggap tahun pilihan raya tetapi kemungkinan PRU 13 diadakan lebih awal. Langkah ini bagi mempersiapkan 'orang baru' memimpin MIC dalam menghadapi PRU akan datang.
Dalam hal ini, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Prof Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, Palani perlu diberi masa yang cukup untuk menyusun strateginya dalam menghadapi PRU.
Katanya, jika tempoh yang diberi amat singkat, ia akan menyukarkan orang No.2 dalam parti itu. Bagaimanapun, sebagai langkah awal Palanivel akan diuji dalam tempoh terdekat ini dengan mengetuai jentera MIC pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang yang berada di dalam Parlimen Teluk Kemang. Di situ MIC tewas bagi kawasan Parlimen dan di DUN itu terdapat kira-kira 20 peratus pengundi India.
MIC perlu bertindak sebelum terlambat. Bukan sekadar menarik sokongan rakyat menyokong calon parti itu. Tetapi yang lebih penting ialah menarik sokongan masyarakat India - profesional dan orang muda - baik yang ada di dalam MIC atau di luar parti itu menyokong MIC-BN. MIC perlu mengkaji kenapa masyarakat India tidak memilih MIC. Adakah kerana MIC atau pemimpinnya?
Maka keputusan menetapkan bahawa seseorang pemimpin parti hanya boleh memegang jawatan presiden untuk had tempoh selama tiga penggal mulai tahun ini juga boleh dialu-alukan walaupun ia sudah dilihat sebagai terlewat.
Samy Vellu tidak perlu lagi risau untuk menyerahkan tampuk kepimpinannya. Semua yang dipilih adalah orang beliau kecuali dua nama anggota CWC yang sebelum ini tidak ada dalam senarai pilihan presiden.
Keputusan pemilihan kelmarin sebenarnya memberi dua pilihan kepada Samy Vellu.
Pertama, beliau boleh meneruskan kedudukannya sebagai Presiden MIC sehingga tempohnya berakhir pada 2012 tanpa rasa tergugat kerana di bawahnya adalah 'orang Presiden'. Pastinya tidak ada tekanan daripada pasukan pilihannya sendiri.
Kedua, beliau boleh menyerahkan jawatannya kepada Palanivel dalam tempoh terdekat kerana timbalannya adalah anggota pasukan pilihan. Samy Vellu tidak perlu risau lagi dengan barisan yang akan ditinggalkan kerana semuanya adalah pilihan beliau.
Tetapi berdasarkan keputusan pemilihan semalam khususnya melibatkan jawatan Timbalan Presiden, ternyata cengkaman Samy tidaklah sekuat yang ada padanya sebelum ini.
Samy sudah pun 'tewas' sekiranya melihat undi yang diperoleh Subramaniam dan Sothinathan (2S). Mereka yang memilih Palani sudah tentu mematuhi kehendak Presiden sementara yang memilih 2S bolehlah dianggap sebagai menolak hasrat pemimpin utama mereka itu.
Samy Vellu perlu menilai keputusan itu dan tidak mengetepikan suara 827 perwakilan.
Apa yang membimbangkan sekiranya Samy tidak mempedulikan 827 suara ini yang memungkinkan usaha untuk memulihkan parti itu akan menemui jalan buntu.
Samy Vellu mungkin boleh berundur dalam kadar segera dan menjadi Penasihat MIC. Palani dan pasukannya perlu diberi ruang secukupnya untuk memulihkan semula parti itu menjelang PRU akan datang.
Subramaniam sebelum ini yakin jika menang, beliau mampu membawa semula masyarakat India yang menjauhkan diri daripada MIC. Tetapi adakah kekalahannya akan menimbulkan keadaan sebaliknya? Adakah masyarakat India akan terus menjauhkan diri dari MIC dan memilih saluran lain?
Keadaan ini tidak mustahil berlaku apabila sudah ada tanda-tanda tindakan disiplin yang bakal dikenakan ke atas Subramaniam. Ramai yang sudah dapat menjangka apa yang akan dilakukan oleh Samy Vellu terhadap 'musuhnya' itu.
Tetapi pemimpin MIC perlu ingat bahawa parti itu akan terus disisihkan sekiranya mengambil pendekatan yang menang ambil semuanya dan yang kalah hilang segala-galanya. Bagi Dr. Sivamurugan, apa yang penting sekarang kepimpinan MIC perlu merapatkan barisan mereka.
''Mereka yang kalah tidak dipinggirkan sama sekali yang boleh mencetuskan perpecahan lebih besar,'' katanya.
Pada masa yang sama, MIC perlu mencari jalan bagaimana mahu menjalin kerjasama dengan parti-parti berkonsepkan etnik India bagi mengukuhkan masyarakat India di negara ini.
MIC sudah menyaksikan kelahiran parti serpihan yang ditubuhkan oleh bekas ahli parti itu. Paling berjaya tentunya Barisan Progresif India (IPF) pimpinan bekas Naib Presiden MIC, M.G Pandithan. Cuma hasrat mendiang Pandithan tidak tercapai untuk menyertai BN. Adakah jika IPF diterima menganggotai BN sebelum ini, keadaan sokongan masyarakat India akan berubah?
Kini bukan sekadar IPF tetapi banyak lagi parti lain yang diwujudkan oleh ahli MIC yang dipecat atau meninggalkan parti itu. Kebanyakan parti itu pula jelas menunjukkan bahawa mereka tidak lagi mempercayai MIC sebaliknya yakin kepada perjuangan BN.
Ini yang perlu diberi perhatian oleh Samy Vellu. Kenapa parti serpihan MIC menyokong BN? Inilah tugas berat Palanivel dan rakan-rakannya untuk memulihkan semula kepercayaan masyarakat India kepada MIC.
Jangan paparkan keangkuhan. Ingat kata-kata Najib di perhimpunan itu:
''Rakyat benci jika anda angkuh... rakyat benci kalau kita salah guna kuasa, rakyat benci kalau kita tunjuk-tunjuk kekayaan kita... rakyat akan sayang kepada kita kalau kita jadi pembela rakyat yang sebenarnya''.
- UTUSAN