Top Ad 728x90

,

Penumpang diwajib pakai penutup mulut

Penumpang bas dan kereta api yang menghidap selesema serta demam diwajibkan memakai penutup mulut dan hidung ketika pulang menyambut Aidilfitri untuk mengelakkan penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, syarikat bas dan kereta api diminta memastikan penumpang yang mempunyai simptom itu mematuhi arahan berkenaan supaya virus tersebut tidak disebarkan kepada penumpang lain.

Bagi menyekat penularan wabak tersebut, tegasnya, semua syarikat bas ekspres akan dibekalkan penutup mulut dan hidung yang bakal disumbangkan oleh beberapa badan korporat.

‘‘Dalam suasana gembira menyambut Aidilfitri, saya berharap kita semua terus berwaspada kerana wabak H1N1 kini menjadi pembunuh senyap.

‘‘Saya harap semua orang berhati-hati dan sentiasa menjaga kebersihan diri serta keluarga masing-masing kerana dengan langkah tersebut ia dapat menghalang virus H1N1 daripada terus merebak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri dan duit raya daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) kepada 120 warga emas pada majlis berbuka puasa bersama penduduk Kampung Lengkong dekat sini malam tadi.

Tiong Lai berkata, jika seseorang itu mengalami demam panas selama dua hari dengan suhu badan melepasi 38 darjah celsius, batuk dan sakit, mereka perlu terus berjumpa doktor di hospital dan klinik berhampiran.

Katanya, langkah segera itu dapat menyelamatkan nyawa kerana 98 peratus yang dijangkiti virus itu berjaya dipulihkan apabila mendapat rawatan dengan segera.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, cuti kakitangan hospital dan klinik kerajaan tidak akan dibekukan sepanjang musim perayaan ini.

‘‘Bagaimanapun, mereka perlu sentiasa bersiap sedia dipanggil bertugas pada bila-bila masa,’’ katanya.

Bagi menghadapi gelombang kedua serangan virus H1N1 yang dijangka pertengahan bulan depan, beliau berkata, pihaknya telah meningkatkan segala kemudahan di semua hospital dan klinik kerajaan.

‘‘Saya menasihati golongan berisiko tinggi seperti mereka yang obesiti, kanak-kanak berusia bawah lima tahun, pesakit jantung, ginjal, diabetis, wanita mengandung, imunisasi rendah dan pelbagai penyakit kronik lain supaya tidak berada di tempat awam.

‘‘Kita perlu tahu apa yang boleh dibuat apabila jika terkena H1N1 dan mengambil langkah awal serta cepat,” katanya.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Tiong Lai dalam kenyataan akhbarnya berkata, jumlah kematian akibat H1N1 kekal 74 kes apabila tiada kematian baru direkodkan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, sebanyak 193 pesakit telah disahkan positif H1N1 di mana dua pesakit merupakan kes baru dalam tempoh 24 jam lalu.

Menurut beliau, jumlah itu berkurangan sebanyak 62 kes berbanding tempoh sama semalam iaitu 255 kes positif H1N1 yang masih dirawat.

Beliau juga berkata, sehingga pukul 9 pagi ini, sebanyak 48 pesakit baru dengan gejala serupa influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pada masa yang sama sejumlah 126 pesakit dibenarkan pulang.

‘‘Perkembangan itu menjadikan baki sebanyak 190 kes ILI sedang dirawat di 102 hospital termasuk 13 hospital swasta termasuk 193 pesakit yang positif H1N1,’’ katanya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90