Personaliti Selamat Pagi Malaysia (SPM) RTM1


Rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di TV RTM1 pada setiap pagi banyak memberi pengetahuan secara tidak langsung kepada Iesya selaku pengacara bersama rancangan tersebut.

Menurut Iesya, SPM yang turut diacarakan bersama pengacara yang berbilang bangsa merupakan antara identiti rancangan bual bicara itu.

"Selain penonton, pengacara seperti saya juga mendapat pelbagai ilmu pengetahuan seperti isu-isu berkaitan politik, ekonomi, agama dan antarabangsa melalui ahli-ahli panel yang membincangkan topik-topik tersebut.

"Sebagai pengacara baru, pengacara lama seperti Peggy Ng dan Ahmad Tamimi Serigar banyak mengajar saya. Apatah lagi, semasa mula-mula menyertai SPM pada 2004 umur saya baru 20 tahun.

"Pengacara-pengacara lama SPM tidak kira bangsa banyak menolong saya sewaktu kami sama-sama ke udara dalam rancangan itu," katanya.

Iesya yang baru tampil dengan album singlenya berjudul Semanis Janji berkata, dia menceburi bidang pengacaraan TV selepas mula terbabit sebagai penyanyi kira-kira lima tahun yang lalu.

Namun, disebabkan pasaran album yang tidak menentu pada ketika itu menyebabkan Iesya mencuba bidang-bidang seni lain termasuklah dalam bidang pengacaraan TV.

"Bidang pengacaraan TV paling mencabar kerana ia memerlukan saya bijak bercakap dan berkomunikasi. Paling penting saya mesti ada latarbelakang sesuatu isu yang diperkatakan.

"Semua itu perlukan ilmu. Menjadi pengacara lebih sukar kerana banyak perkara yang kita perlu tahu," ujarnya.

Justeru, kata Iesya jika diberi pilihan antara bidang pengacaraan, nyanyian dan lakonan dia lebih cenderung memilih menjadi pengacara TV.

Pada masa sama, gadis ini juga bijak dalam membahagi-bahagikan masanya sebagai penyanyi bersama syarikat rakaman dari Singapura, Putri Vision yang kini menaungi aktiviti seninya itu.

"Sebagai penyanyi, aktiviti saya banyak tertumpu di Singapura termasuklah mengadakan persembahan di sana. Ini kerana tidak ramai artis kita yang merakamkan album di Singapura.

"Malah, saya juga semakin dikenali ramai, mungkin kerana saya selalu keluar TV melalui SPM. Jadi, ramai yang mengenali saya kerana mengacarakan SPM. Apatah lagi, siaran RTM juga dapat diikuti di Singapura," jelasnya.

Berdepan penonton berbilang bangsa

RTM2 yang lebih berkonsepkan hiburan dan santai banyak memaparkan rancangan pelbagai bahasa termasuklah dalam bahasa Inggeris.

Sebab itu tidak hairanlah rancangan Hello On 2 yang dikendalikan oleh Angie di TV RTM2 turut disaksikan oleh para penonton pelbagai bangsa.

"Walaupun adakalanya isu yang saya ketengahkan agak berat seperti politik tetapi setakat ini ia mampu berjalan dengan lancar kerana saya sentiasa menjaga sensitiviti kaum dan agama.

"Sebagai badan penyiaran milik kerajaan, saya sedar antara tanggungjawab kami di RTM ialah bagi mewujudkan suasana yang muhibah untuk semua lapisan penonton, di negara ini," katanya penuh akur.

Hello On 2 yang berkonsepkan santai banyak berinteraksi dengan para penonton berbilang bangsa yang kebanyakkannya terdiri daripada golongan dewasa serta lebih tertumpu kepada isu-isu semasa.

Biarpun rancangan itu menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium perantaraannya tetapi itu tidak menghalangnya menarik para penonton daripada pelbagai bangsa menyertainya.

"Walaupun saya berbangsa Cina, tetapi saya juga menerima banyak panggilan telefon daripada penonton Melayu, India dan sebagainya. Bahasa dan bangsa tidak menjadi halangan buat saya untuk menarik perhatian para penonton berbilang bangsa serta agama.

"Cabaran saya di sini ialah saya mesti selalu bersedia, bijak dan sentiasa sihat serta ceria sewaktu mengendalikan rancangan tersebut," ujarnya.

Angie yang sebelum ini bekerja dalam bidang pemasaran selama enam tahun tidak menyangka bidang penyiaran lebih memberi kepuasan kepadanya.

Jelasnya, menerusi bidang yang diceburinya kini, Angie berasa lebih puas kerana ia banyak memberi manfaat kepada para penonton selain menyahut seruan kerajaan yang mahu menyatu-padukan rakyat negara ini.

"Saya mungkin mewakili orang Cina dalam rancangan-rancangan yang dikendalikan di RTM. Saya bangga kerana diberi peluang dan tanggungjawab ini. Ini kerana, sebelum ini iaitu ketika enam bulan terbabit sebagai pengacara TV saya belum dapat merasai pengalaman itu.

"Setelah enam bulan bertugas sebagai pengacara TV di RTM barulah saya rasakan keseronokan dan cabaran bekerja dalam bidang ini. Selepas dua tahun bersama Hello On 2 pula saya kini semakin seronok dengan rancangan ini," komennya.

Disangka orang Melayu

PEMILIHAN Raj selaku salah seorang pembaca berita di TV RTM1 memang tepat kerana kefasihannya bertutur dalam bahasa Melayu selain raut wajahnya yang juga seperti jejaka Melayu.

Disebabkan faktor itu, ramai penonton pada mulanya yang tidak menyangka bahawa beliau sebenarnya berketurunan Punjabi dan penggemar makanan Melayu termasuklah ulam-ulaman.

Menurut Raj, ekoran kelebihan yang dimilikinya itu beliau pernah melalui pengalaman ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Sarawak kerana makan di khalayak ramai ketika bulan puasa.

"Pada tahun 1995 saya pernah ditahan di Miri, Sarawak kerana makan di khalayak ramai ketika bulan Ramadan. Orang daripada jabatan agama Islam ingat saya orang Melayu, tetapi selepas mengemukakan bukti pengenalan saya akhirnya dilepaskan," ceritanya.

Raj tidak menafikan kecenderungannya bertutur dalam bahasa Melayu dan bergaul dengan rakan-rakan yang berbangsa Melayu sejak dari kecil merupakan suatu kelebihan buatnya.

Kelebihan itulah yang memudahkannya muncul di kaca TV dalam slot berita di RTM1 yang memerlukan kefasihan dan keyakinan yang tinggi dalam menguasai bahasa kebangsaan tersebut.

"Pada peringkat awal menjadi peramugara penerbangan lagi saya sudah selalu membuat pengumuman di dalam kapal terbang dalam bahasa Melayu.

"Jadi, apabila saya memohon jawatan sebagai pembaca berita di RTM, saya tiada masalah untuk membaca berita dengan penuh lancar," katanya.

Raj yang kini bertugas sebagai Ketua Pramugara di sebuah syarikat penerbangan tidak menafikan tugas sebagai pembaca berita amat mencabar kerana ia disiarkan secara langsung.

Bagi mengelakkan kesilapan seperti tersasul atau tidak fokus sewaktu bersiaran, beliau mengambil rehat yang secukupnya sebelum muncul di kaca TV.

"Biasanya saya tidak akan terburu-buru muncul atau membaca berita di RTM1 selepas baru pulang dari luar negara. Saya akan mengambil rehat yang secukupnya.

"Saya meminati dua bidang itu kerana daripada situ saya mendapat peluang untuk berdampingan dengan orang ramai. Bezanya kalau bersiaran di TV lebih ramai orang yang dapat melihat kemunculan saya," katanya yang menggagumi pembaca berita Harjit Singh.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url