Top Ad 728x90

,

Internet: Maxis perlu labur banyak lagi

Maxis Bhd., pengendali mudah alih yang bakal disenaraikan semula, perlu melabur lebih banyak lagi dalam teknologi Internet bagi memenuhi permintaan pasaran akan datang dengan akses yang lebih baik, aplikasi baharu dan kelajuan serta kapasiti jalur lebar yang bertambah baik.

"Maxis boleh membantu mengembangkan industri telekomunikasi tempatan ketika para pelabur melihat semula kepada strategi pengendali mudah alih lain dalam memanfaatkan potensi jalur lebar mudah alih," kata James Lau, Pengarah Kanan Ekuiti di Kenanga Investment Bank Bhd.

"Internet merupakan satu medium yang besar dan peserta telekomunikasi perlu membawa masuk aplikasi baharu menggunakan Web. Permintaan bagi kapasiti dan kelajuan semakin bertambah dan terdapat keperluan untuk melabur dalam ruang ini," katanya dalam satu temu bual hari ini.

Lau berkata, perbelanjaan modal dalam Internet merupakan sesuatu yang sentiasa meningkat tetapi Maxis masih belum melabur sepenuhnya dalam ruang teknologi itu.

"Potensi itu ada. Ia bergantung kepada strategi pelaburan dan bagaimana syarikat menguruskan kos modal dan pulangan dalam ekuiti," katanya.

Memandangkan Maxis merupakan peneraju dan perintis pasaran dalam banyak bahagian, pengendali mudah alih itu boleh membantu kerajaan mencapai sasaran kadar penembusan jalur lebar 50 peratus tahun depan daripada 20 peratus ketika ini.

Maxis juga boleh membantu merapatkan jurang digital dan tidak membiarkan rakyat Malaysia ketinggalan dalam pembangunan baharu dari segi teknologi.

Lau berkata, Maxis juga boleh membantu pereka kandungan dan pengeluar peranti tempatan, membawa pelbagai kesan bagi industri telekomunikasi, menerusi pelaburan dalam prasarana.

Difahamkan bahawa lesen Maxis telah dilanjutkan untuk tempoh 10 tahun lagi, yang bermakna ia mempunyai kitaran hayat baharu dan boleh merancang projek baharu serta membuat lebih banyak pelaburan dalam pasaran Malaysia.

Lau berkata, penyenaraian Maxis dijangka menarik minat pelabur asing dalam pasaran saham tempatan memandangkan saiz saham serta rekod prestasinya yang kukuh.

"Penyenaraian itu dijangka meningkatkan permodalan pasaran Bursa Malaysia dan pelabur asing sukakan pertambahan mudah tunai. Kini peserta pasaran mempunyai pilihan yang luas untuk pelaburan dalam syarikat telekomunikasi," katanya.

Maxis bernilai RM39 bilion berdasarkan kepada harga saham petunjuk RM5.20 dan ia boleh merangsang nilai pasaran Bursa Malaysia sebanyak 4.2 peratus apabila syarikat itu disenaraikan pada 19 November nanti.

Sebagai penyenaraian terbesar dalam sejarah Malaysia, tawaran awam permulaan (IPO) itu menyaksikan pembabitan sulung pelabur-pelabur asas penting di Malaysia dan mereka komited untuk membeli 28 peratus daripada saham Maxis.

Empat institusi terlibat ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan, Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dan Fidelity Investment.

"Ini sepatutnya memberikan keyakinan kepada peserta runcit kerana penyokong-penyokong itu merupakan institusi utama Malaysia," kata Lau.

Menurutnya, bukan sesuatu yang luar biasa bagi pelabur-pelabur asas penting untuk menyertai peringkat IPO kerana mereka mencari potensi jangka panjang dan Maxis adalah sebuah syarikat yang kukuh.

Beliau berkata, pelabur juga tertarik dengan dividen yang baik sekurang-kurangnya 75 peratus daripada keuntungan bersih dan kedudukan syarikat sebagai peneraju dalam pasaran telekomunikasi.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90