Top Ad 728x90

,

Menjernihkan hubungan Malaysia-Indonesia

Oleh Datuk Dr. Firdaus Abdullah
Felo Penyelidik Kanan (Pelawat), Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Pohon bergoncang angin berhembus

Pokok dedalu jatuh ke rumput

Air dicencang tidak akan putus

Biduk lalu kiambang bertaut

SIAPAKAH yang hendak disalahkan jika kes Nirmala Bonat masih terkatung-katung tanpa keputusan muktamad walau telah berbulan-bulan masa berlalu semenjak bekas majikannya didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara kerana mendera dan menyiksanya? Dan siapakah yang hendak disalahkan jika sekumpulan kecil orang muda Indonesia di Jakarta membakar Jalur Gemilang dan melakukan demonstrasi anti-Malaysia kerana kononnya Malaysia "mencuri" tarian pendet dari Bali?

Mengenai kes Nirmala Bonat yang dipersoalkan sekarang ialah sistem mahkamah atau proses perbicaraan di Malaysia. Mengenai demonstrasi bersabit isu tarian pendet itu, selain daripada mereka yang terbabit secara langsung dengan demonstrasi, yang dipersalahkan ialah media massa (akhbar-akhbar dan stesen-stesen TV tertentu) di Indonesia.

Apa pun, kes Nirmala dan peristiwa pembakaran Jalur Gemilang adalah antara isu-isu yang menimbulkan kekeruhan hubungan Malaysia-Indonesia. Siapa pun yang hendak disalahkan, hakikatnya ialah tiap-tiap satu daripada dua perkara tersebut berkait dengan persepsi dan emosi manusia serta birokrasi dan pentadbiran negara. Kerana itu, penyelesaiannya tidaklah semudah yang diharapkan.

Kes Nirmala itu ditimbulkan kembali oleh mantan Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin (ZAM) sewaktu memberi ucaptama dan merasmikan persidangan antarabangsa hubungan Malaysia-Indonesia di Universiti Malaya 22 Oktober yang lalu. Sedangkan peristiwa pembakaran Jalur Gemilang dan demonstrasi di Jakarta itu secara langsung dan secara tidak langsung sekali-sekala dirujuk dalam perbincangan sepanjang persidangan itu.

Persidangan itu dianjurkan oleh Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya dengan harapan "akan dapat mencari jalan terbaik untuk membina kembali kesedaran masyarakat terhadap perlunya memahami sejarah, budaya melalui laporan media yang positif."

Penganjur persidangan menyedari bahawa ada yang tidak betul dalam hubungan Malaysia-Indonesia dan secara tersirat media massa dipersalahkan sebagai penyebab utama keadaan yang tidak betul itu.

Walau pun persidangan itu bukan bertujuan untuk mencari "siapa salah", entah kenapa pihak media massa telah menjadi sasaran pelbagai andaian dan tuduhan. Media massa Indonesia dikatakan terlalu bebas dan amat cenderung mensesasikan satu-satu peristiwa. Secara retorika ada peserta yang mengungkapnya "sekali bebas, bebas sekali."

Media massa Malaysia pula dikatakan masih kurang bebas sama ada kerana sekatan kerajaan atau kerana self-censorship. Kerana dilingkungi oleh suasana media yang kurang bebas itu, masyarakat Malaysia dikatakan sukar untuk memahami "kebebasan akhbar" dan kecenderungan sensasional akhbar Indonesia itu.

Selain itu yang sering dilupakan di Malaysia bahawa masyarakat Indonesia itu sangat majmuk sifatnya. Kata pepatah Melayu: banyak udang banyak garamnya, banyak orang banyak ragamnya.

ZAM sendiri menyedari "kemajmukan" Indonesia seperti tergambar bukan sahaja melalui bilangan akhbar dan majalah yang sangat banyak, tetapi juga melalui kepelbagaian watak dan gaya mantan-mantan presiden yang pernah memimpin negara itu. Namun begitu beliau tetap kesal dan prihatin terhadap kecenderungan "berat sebelah" atau biased akhbar-akhbar Indonesia itu dalam memilih dan mengolah berita.

Beliau tidak menafikan bahawa sekali sekala memang berlaku penganiayaan terhadap segelintir pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Malaysia. Dan biasanya berita mengenai kejadian seperti itu dibesar-besarkan oleh akhbar-akhbar atau stesen-stesen TV tertentu di Indonesia. Tetapi, beliau bertanya, kenapa tidak dilaporkan bila hampir setiap minggu rumah orang Malaysia dicerobohi, dirompak, orang-orangnya dibunuh dan perempuannya dirogol?

Antara iktibar yang patut dikaut daripada ucapan ZAM itu adalah untuk menjernihkan hubungan Malaysia-Indonesia, kedua-dua belah pihak patut menyedari tentang kedudukan kedua-dua negara yang saling bergantung dan saling perlu memerlukan dalam banyak bidang, bukan sahaja di bidang politik dan keselamatan, sosial dan ekonomi, begitu juga di bidang budaya dan seni.

Dan pengajaran penting daripada keseluruhan persidangan itu adalah untuk menjernihkan hubungan Malaysia-Indonesia agar lebih produktif, setiap pihak hendaklah menghentikan pandangan stereotaip dan menyedari kemajmukan Indonesia.

Demi kestabilan Asia Tenggara dan untuk kemajuan dan keperkasaan umat Nusantara, Malaysia dan Indonesia wajib meningkatkan rasa kebersamaan yang diwarisi dari zaman bahari.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90