Suria FM susun strategi baru
Bakal mengadakan pertemuan bersemuka bersama khalayak pendengar terpilih, ia merupakan salah satu strategi awal Suria FM bagi mendapatkan respons mengenai prestasi stesen itu sepanjang 2009.
Apa yang pasti, hasil daripada pertemuan itu nanti, ia akan membuahkan idea untuk Suria FM melakukan perubahan pada masa mendatang.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, pertemuan bersemuka itu akan dijalankan tidak lama lagi meliputi khalayak pendengar seluruh negara terpilih.
Jelasnya, khalayak pendengar selaku responden itu akan dipecah-pecahkan mengikut beberapa kategori antaranya umur dan gender.
''Setakat ini, saya masih belum berpuas hati dengan pencapaian Suria FM. Masih ramai pendengar yang belum menjadikan Suria FM sebagai stesen pilihan.
''Makna kata, mereka ini belum lagi fanatik terhadap Suria FM.
''Justeru, kami akan laksanakan program bersemuka dengan pendengar dan bertanyakan sendiri mengenai apa yang mereka minati dan tidak terhadap stesen ini,'' katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Suria FM di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Selain warga kerja dan barisan penyampai radio Suria FM, turut sama memeriahkan rumah terbuka itu ialah kalangan pengiklan, pelanggan, pendengar serta barisan artis antaranya Noryn Aziz, Aizat, Farawahida, Alyah dan Liyana Jasmay.
Hadir sama, isteri Engku Emran, Erra Fazira bersama puteri comel mereka, Engku Aleesya.
Menurut Engku Emran, pertemuan bersemuka bersama pendengar terpilih akan membabitkan seramai 200 orang.
Jelasnya, pandangan dan respons mereka amat bernilai untuk Suria FM melakukan sesuatu yang menepati selera pendengar di masa akan datang.
''Selain mendapatkan respons, kami di Suria FM juga sedang dalam proses merangka dan mengeluarkan idea-idea baru,'' ujarnya.
Kata Engku Emran, berdasarkan kepada respons dan penilaian, berkemungkinan akan ada rombakan dilakukan terhadap jadual tugasan penyampai radionya.
''Mungkin ada tetapi masih terlalu awal untuk saya perkatakan mengenai hal sedemikian.
''Di Suria FM, ada beberapa segmen yang mendapat rating tertinggi terutamanya pagi, petang dan malam. Banyak lagi yang perlu diperbaiki terutama daripada segi isi kandungan program. Penyampai radio kami pun bukannya popular seperti stesen lain.
''Stesen radio lain punyai sokongan daripada stesen televisyen. Saya tidak nafikan populariti penyampai itu penting. Justeru, kami juga ada perancangan untuk mempopularkan penyampai radio Suria FM,'' katanya yang mensasarkan kedudukan terbaik untuk Suria FM pada tahun depan.
Untuk hal itu, jelas Engku Emran, pihaknya telah berbincang bersama beberapa produser bagi memberi peluang kepada penyampai radio Suria FM untuk didedahkan kepada populariti.
Kenapa tidak ambil Erra atau artis?
Sementara itu, Engku Emran ketika diajukan soalan tentang kenapa Suria FM tidak mengambil artis atau Erra selaku penyampai radio berkata, banyak faktor perlu diselidik sebelum menyerap artis menjadi penyampai radio.
''Dahulu, memang saya tidak percaya dengan populariti yang bakal diraih radio apabila membawa masuk artis sebagai penyampai radio.
''Bukan apa, hendak menjaga jadual mereka bukannya mudah kerana mereka juga ada komitmen lain.
''Namun, satu hari nanti, mungkin saya terpaksa akur jika itu kehendak pendengar. Berkenaan Erra pula, semua sudut dan perkara perlu difikirkan. Kalau tidak menjadi, ia akan memberi satu tekanan yang berat buat Suria FM,'' tegasnya.
Apa kata Zizi dan Tuah?
Dalam pada itu, Ahmad Zuwairi Mohd. Nor (Zizi) dan Tuah Zoqarnain Idris (Tuah) yang bersama mengendalikan Breakfast@Suria di waktu pagi punyai perancangan sendiri untuk meningkatkan lagi populariti Suria FM di tahun depan andai masih dikekalkan berdua.
Bagi Zizi, mengendalikan Breakfast@Suria yang menjadi antara segmen tertinggi mencatat jumlah pendengar di Suria FM, ia bukanlah satu perkara yang boleh dibuat 'main-main'.
Katanya, tanggungjawab yang dipikulnya dan Tuah cukup besar terutama untuk dipertahankan dan terus mencapai peningkatan.
''Sebagai stesen yang boleh dikatakan masih baru, kami perlu kerja lebih untuk bersaing dengan stesen senior lain.
''Untuk tahun depan, kami tidak kisah ditempatkan di segmen mana. Apa yang penting adalah bekerja secara kumpulan demi Suria FM,'' katanya.
Pendapat Zizi turut disokong oleh Tuah yang tidak menyesal memilih Suria FM biarpun stesen radio terbabit masih belum mencatat jumlah pendengar tertinggi.
Ujar Tuah, di sebalik perancangan untuk menguatkan isi kandungan penyiaran program, Suria FM menurut pemerhatiannya perlu meningkatkan kerja-kerja publisiti atau promosi.
Ditanya mengenai gandingannya bersama Zizi, Tuah berkata : ''Walaupun kami sering berselisih pendapat dan bermasam muka sewaktu di konti, semuanya diselesaikan secara profesional.
''Saya dan Zizi saling lengkap-melengkapi. Zizi punyai kekuatan dalam melontarkan pendapat. Bagaimanapun, bergantung kepada pihak pengurusan sama ada mahu mengekalkan atau sebaliknya gandingan kami berdua.''
- UTUSAN