Awal tak bayar PTPTN sebab lalai


Baru-baru ini, di ruangan gosip sebuah akhbar mengatakan pengacara dan pelakon Awal Ashaari merupakan antara artis yang disenarai hitamkan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana tidak menjelaskan hutang pinjamannya.

Ketika disoal berhubung isu tersebut, graduan Diploma Komunikasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini tanpa berselindung mengakuinya dengan alasan lalai.

Kini, hal itu sedang diuruskan oleh peguam dari PTPTN sebelum dia membayar jumlah keseluruhan pinjamannya itu termasuk faedah yang dikenakan.

“Saya bukan tiada duit dan tak nak bayar tetapi saya terlepas pandang tentang proses pembayaran pinjaman itu.

“Sebelum ini saya tak tahu bagaimana cara untuk membayarnya tambahan pula saya berpindah rumah dan langsung tidak mendapat apa-apa maklumat tentang PTPTN.

“Selepas sibuk bekerja, saya tidak sempat untuk membayarnya sehingga terlupa,” ujarnya sambil tersenyum.

Selepas cerita itu tersebar, Awal berkata dia disindir ketika di bilik solek sebelum mengacarakan ‘Debaran Sehati Berdansa’. “Tetapi saya kena berhadapan dengan situasi ini.”

“Ikutkan bukan saya seorang sahaja artis yang tidak membayar PTPTN tetapi ada ramai lagi tetapi cuma nama saya dan Fahrin yang disebut.

“Saya nasihatkan kepada peminjam PTPTN yang disenarai hitamkan supaya berjumpa dengan peguam dari PTPTN,” katanya.

Awal juga meminta maaf kepada pihak PTPTN atas kelewatannya menjelaskan pinjaman itu.

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url