Berbual dan terbang dengan Tune Talk

Pengendali talian komunikasi mudah alih terbaru, Tune Talk Sdn. Bhd. (Tune Talk) baru-baru ini melancarkan perkhidmatannya ke seluruh negara dengan kadar caj panggilan terendah untuk semua pengguna talian baru itu.

Dengan nombor permulaan (prefix) 010, Tune Talk menawarkan pakej suara dan khidmat pesanan ringkas (SMS) asas sesuai untuk pengguna yang mahu berjimat tetapi pada masa yang sama mempunyai rangkaian pengedaran meluas.

Tune Talk merupakan pengendali rangkaian maya mudah alih (MVNO) menggunakan rangkaian 2.5G Celcom (Malaysia) Berhad selepas memeterai perjanjian pada akhir tahun lalu.

Pengerusi Tune Talk, Datuk Seri Tony Fernandes berkata, kerjasama antara pihaknya dan Celcom dianggap sebagai 'perkongsian ulung' yang menyaksikan merevolusikan industri perkhidmatan mudah alih.

"Kelahiran Tune Talk adalah hasil usaha keras selama bertahun-tahun. Rancangan kami seterusnya ialah untuk menembusi pasaran Asean bagi merealisasikan aspirasi kami menjadi MVNO untuk negara-negara Asean," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Tune Talk di Sepang, Selangor.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly; Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo dan Pengasas Bersama Kumpulan Tune, Datuk Kamarudin Meranun.

Sementara itu, Tony yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia menambah, dengan lebih 600 juta penduduk dan kadar penembusan mudah alih yang rendah, ia merupakan peluang pasaran besar bagi Tune Talk.

"Kami sudah mula membuat perjanjian MVNO dengan pengendali-pengendali rangkaian di Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Kemboja dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Dengan perjanjian itu, kami berupaya menawarkan kadar perantauan yang lebih menarik dan pelanggan-pelanggan Tune Talk yang pergi ke negara-negara tersebut juga boleh menikmati kadar panggilan tempatan," ujarnya.

Pengguna Tune Talk turut berpeluang menikmati perlindungan insurans kemalangan peribadi berjumlah RM100,000 daripada Etiqa Insurance, rakan insurans Tune Talk.

Pada masa yang sama, baucer E-Gift AirAsia berjumlah lebih RM1 juta (setiap satu bernilai RM200) juga akan diberikan kepada 10 pemanggil terbanyak setiap hari untuk 12 bulan akan datang.

Penerima bertuah boleh menukarkan baucer mereka untuk tempat duduk penerbangan ke destinasi domestik dan antarabangsa dengan Air Asia.

"Baucar E-Gift AirAsia diberikan secara automatik jika anda merupakan pengguna harian tertinggi Tune Talk.

"Satu notifikasi akan dihantar ke nombor mudah alih Tune Talk anda berserta nombor baucer dan pengguna bertuah boleh terus ke laman web AirAsia.com untuk memilih penerbangan ke destinasi impian mereka," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk Sdn. Bhd., Jason Lo.

Tambahnya, promosi bukan sahaja terbuka kepada rakyat tempatan malah warga negara asing yang datang melancong, belajar atau bekerja di Malaysia juga layak memenangi baucer tersebut.

"Memang mudah untuk memenangi baucer E-Gift AirAsia. Anda hanya perlu melanggan perkhidmatan prabayar Tune Talk dan mula berbual.

"Senarai 10 pengguna tertinggi harian akan disenaraikan sistem kami untuk memilih para pelanggan yang bertuah. Dan mereka akan diberitahu pada keesokan harinya," tambah Lo.

Bagaimanapun, hanya panggilan ke mana-mana pengendali dalam Malaysia akan diambil kira, tidak termasuk panggilan antarabangsa (IDD).

Tune Talk mengenakan kadar rata 22 sen seminit untuk panggilan ke mana-mana pengendali di Malaysia, manakala setiap SMS dikenakan 5 sen. Kadar panggilan IDD pula adalah kira-kira 10 peratus lebih rendah berbanding pengendali lain.

Dapatkan pek SIM Tune Talk berharga RM5 dengan masa berbual berjumlah RM5.

Untuk tambah nilai, pelanggan boleh menggunakan kaedah e-Pay atau baucer tambah nilai di lebih 10,000 pengedar di seluruh negara atau menerusi laman web www.tunetalk.com

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url