Bertambah lambat siasatan SPRM bila waktu dihadkan

Oleh NORAINI ABD. RAZAK

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyerahkan kepada Peguam Negara berhubung tindakan membuat rayuan keputusan mengehadkan waktu menyoal siasat saksi hanya pada waktu pejabat.

Ini bermakna keputusan Mahkamah Tinggi kelmarin berhubung tatacara siasatan SPRM yang telah termaktub di dalam akta suruhanjaya itu masih belum muktamad.

Masih ada ruang untuk SPRM membuat rayuan -- lantaran keputusan tersebut dilihat ada baik dan buruknya. Hakim yang berkenaan sememangnya memberi tumpuan kepada sudut positif terutama dalam menafsirkan penggunaan perkataan 'sehari ke sehari'.

Hasilnya, rumusan dibuat bahawa peruntukan tersebut tidak boleh 'dibaca' sebagai 24 jam, sebaliknya berasaskan harian serta tidak boleh mendatangkan kesan terhadap seseorang.

Kita tidak menolak hujah hakim Mohamad Ariff Md. Yusof, malah keputusan mahkamah itu membuka ruang untuk semua pihak berfikir perihal prosedur siasatan SPRM - apa yang boleh dan apa yang sepatutnya dielakkan.

Namun kenyataan peguam Karpal Singh yang menyusul selepas keputusan tersebut dibuat mengundang sedikit tanda tanya dan menuntut perbahasan mengenainya dibuat.

Semacam ada yang tidak kena apabila peguam veteran itu menyimpulkan bahawa keputusan mahkamah itu bukan sahaja mengikat mahkamah malah memberi kesan kepada penyiasatan polis.

Ini kerana jika penyiasatan polis juga mahu dihadkan kepada waktu pejabat, tentunya ia bukan sesuatu yang bijak.

Mengehadkan siasatan SPRM kepada lapan jam - ketika semua orang sibuk dengan tugas masing-masing juga dari satu sudut membataskan fungsi SPRM itu sendiri.

Paling dibimbangi adalah kreativiti rakyat Malaysia menggunakan keputusan mahkamah itu sebagai alasan utama untuk tidak memberi kerjasama kepada SPRM ketika menjalankan siasatan.

Alasan banyak kerja, bertugas di luar daerah, cuti kecemasan, cuti sakit akan mengurangkan lagi tempoh lapan jam yang ada pada SPRM - mengundang pelbagai kesan antaranya melewat-lewatkan siasatan sehingga menjejaskan semua pihak yang terlibat.

Dahulunya semasa Badan Pencegah Rasuah (BPR) diberi nafas baru menjadi SPRM, matlamatnya adalah untuk menjadikan proses membanteras amalan rasuah di negara ini pantas dan berkesan.

Agensi pencegahan rasuah di Hong Kong yang bekerja tanpa mengenal waktu menjadi antara modelnya. Tetapi kini akibat tafsiran peruntukan yang terkandung di dalam Akta SPRM yang dahulunya tidak diperincikan secara tepat, matlamat tersebut dilihat mula dipagari oleh hambatan waktu.

Manakan tidak, jika waktu soal siasat dibataskan sedemikian rupa atas alasan bercanggah dengan hak asasi manusia maka apa lagi daya SPRM untuk menggandakan usaha membebaskan negara daripada amalan rasuah. Atau sekurang-kurangnya memperbaiki bacaan indeks persepsi rasuah yang adakalanya menunjukkan negara ini semakin korup.

Paling jelas keputusan mahkamah yang berkuat kuasa Khamis itu menuntut SPRM menggandakan usaha membanteras rasuah dalam waktu yang terhad. Orang awam tanpa mengenal sempadan politik, kedudukan dan kaum mesti ada peranan melicinkan tugas SPRM. Jangan hanya kerana mahkamah telah memutuskan sedemikian maka ia menjadi satu 'rahmat' kepada pihak yang berkenaan untuk memperlekehkan SPRM.

Apabila dipanggil memberi siasatan pada waktu pejabat, mereka akan memberi alasan sibuk. Mereka juga akan mengetengahkan alasan tidak mendapat pelepasan majikan. Seharusnya keputusan mahkamah disusuli dengan satu klausa istimewa bagi mengimbangi keterbatasan lapan jam yang dihadkan kepada SPRM.

Klausa itu seharusnya mewajibkan kehadiran segera mereka yang dipanggil untuk membantu siasatan. Majikan juga mesti memberi kerjasama. Sesiapa yang melengah-lengahkan kehadiran mesti dikenakan tindakan.

Klausa itu juga mesti mengimbangi 'pertentangan hak asasi manusia' yang dibangkitkan oleh mahkamah. Jika siasatan yang dijalankan selepas waktu pejabat dirumuskan menyalahi undang-undang lantaran kaitannya dengan pelanggaran hak asasi manusia, maka keengganan mereka memberi keterangan dalam waktu yang ditetapkan semesti pula menyalahi keadilan.

Dan untuk memanjangkan keterbatasan waktu siasatan penguat kuasa undang-undang kepada penyiasatan polis sememangnya tidak boleh dibenarkan.

Ini kerana tuntutan keadilan sepatutnya tidak mengenal batasan waktu, seharusnya pelaksanaannya juga mesti tidak boleh dihadkan waktunya.

Kelewatan pihak penguat kuasa undang-undang menjalankan siasatan pada akhirnya memberi kesan kepada perjalanan kes di mahkamah sekali gus mengiyakan prinsip klasik undang-undang iaitu 'justice delayed is justice denied'.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url