CSL sasar jual lebih suku juta i-200
Syarikat telefon bimbit murah, CSL Group of Companies (CSL Group) yakin dapat menjual 300,000 buah model terbarunya, i-200 dalam tempoh enam bulan akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Eric Chuah berkata, keyakinan itu berdasarkan harga yang ditawarkan kepada pelanggan hanya RM98.75 sebuah dengan mempunyai pelbagai fungsi termasuk dwi kad sim.
Beliau berkata, pihaknya tidak menjangka akan berlaku persaingan sengit di pasaran kerana model itu tidak mampu ditandingi mana-mana jenama lain ketika ini.
"Pengenalan model baru ini akan membolehkan kami menambah penguasaan pasaran yang sedia ada dalam usaha menjadi peneraju syarikat telefon bimbit murah di negara ini.
"Malah sambutan hebat ke atas model i-100 yang dijual pada harga RM78 sejak Julai lalu menunjukkan produk kami semakin diterima ramai," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan model CSL, i-200 itu sempena majis makan malam bersama para pengedar Wilayah Selatan di sini semalam.
Turut hadir, Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran CSL, Edwin Gan dan Pengurus Pengedar CSL Wilayah Selatan, Teo Beng Wee.
Pada Julai lalu, CSL Group melancarkan telefon bimbit termurah di dunia, CSL i-100 yang ditujukan sempena 100 hari kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijual pada harga RM78.
Mengulas lanjut, Eric berkata, golongan sasar utama model terbaru itu adalah mereka yang berpendapatan sederhana dan para pelajar.
Beliau berkata, antara ciri-ciri lain yang terdapat pada i-200 itu ialah pemain muzik MP3, radio, lampu suluh, kad T-Flash, CSL Fun Club selain ciri Islamik seperti azan, arah kiblat dan surah al-Quran.
Menurutnya, walaupun telefon bimbit dijual pada harga amat murah, syarikat tidak berkompromi dengan kualiti produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Jelasnya, bagi model i-100 itu, CSL Group langsung tidak menerima apa-apa komen mengenai kualitinya malah ia dapat dijual melebihi 60,000 buah sehingga sekarang.
"Daripada segi perkhidmatan, kami mempunyai lebih 2,000 pengedar di seluruh negara dalam usaha menawarkan perkhidmatan terbaik untuk memenuhi keperluan pelanggan.
"Pada masa sama, kami turut mempunyai 130 kedai konsep CSL yang berperanan sebagai kiosk dalam menampilkan produk-produk terkini syarikat," katanya.
- UTUSAN