Malaysia gagal ke Bolasepak Piala Asia 2011

Peluang Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2011 tertutup selepas tewas 1-3 kepada Uzbekistan pada perlawanan kelayakan kumpulan C, Piala Asia 2011 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Uzbekistan jelas berada dalam kelasnya tersendiri apabila menguasai sebahagian besar permainan dengan hantaran tepat dan kemas selain kelebihan daripada segi fizikal.

Namun skuad bimbingan jurulatih Mirdjalal Kasimov itu yang memperoleh deretan peluang menjaringkan gol terpaksa menunggu sehingga minit ke-32 untuk memecah kebuntuan melalui tandukan pemain pertahanan, Anvar Gafurov hasil sepakan sudut untuk menewaskan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias.

Skuad kebangsaan yang dibimbing K Rajagobal bagaimanapun turut memperoleh dua peluang keemasan menjaringkan gol pembukaan, namun disia-siakan.

Bersambung babak kedua, Uzbekistan terus menguasai permainan dengan mengatur beberapa serangan berbahaya namun gagal menembusi gawang Mohd Farizal.

Usaha pelawat akhirnya berjaya apabila menambah gol kedua mereka pada minit ke-58 melalui sepakan leret Bakhodir Nasimov yang menyudahkan hantaran lintang rakan sepasukan, Jasur Hasanov di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, anak buah Rajagobal bangkit untuk mengurangkan defisit gol apabila Baddrol Bakhtiar menjaringkan gol tunggal Malaysia hasil rembatan kencang di dalam kotak penalti untuk menceriakan kira-kira 200 peminat tempatan.

Namun gol itu hanya bertahan dua minit sebelum kapten Uzbekistan, Timur Kapadze menjaringkan gol ketiga dengan rembatan kencang untuk kedudukan akhir 3-1, keputusan sama ketika pusingan pertama perlawanan di Taskhent Sabtu lalu.

Mengulas perlawanan itu, Rajagobal berkata beliau sedar ia sesuatu yang sukar walaupun bermain di tempat sendiri kerana perbezaan daripada beberapa aspek terutama teknikal.

"Kita memang merasai kehilangan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak (penggantungan kad kuning) di barisan serangan kerana pemain itu boleh menggunakan kepantasan lariannya untuk menekan lawan.

"Namun secara keseluruhan pemain muda negara mempunyai keyakinan apabila bangkit dengan satu gol setelah ketinggalan dua gol kepada lawan," katanya.

Beliau berkata, pasukan kebangsaan memerlukan perlawanan kompetitif seperti ini bagi membentuk pasukan yang mantap di peringkat antarabangsa.

Malaysia yang tewas semua dua perlawanan terdahulu kini hanya mempunyai baki satu perlawanan menentang Emeriyah Arab Bersatu (UAE) pada Januari depan manakala Uzbekistan mengesahkan tempat mereka ke Piala Asia 2011 di Qatar dengan mengumpul sembilan mata.

UAE pula yang kini mengumpul tiga mata hanya memerlukan satu mata daripada baki dua perlawanan menentang Malaysia pada Januari depan dan Uzbekistan pada 3 Mac tahun depan untuk mengesahkan tiket ke Qatar selaku pasukan di tempat kedua kumpulan C.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url