Malaysia negara ke-21 tertinggi hantar pelajar ke Amerika Syarikat

Malaysia kini menduduki tempat ke-21 di kalangan negara yang menghantar pelajar untuk melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat (AS), dengan jumlah pelajar bagi tahun akademik 2008/09 sebanyak 5,942.

Menurut laporan tahunan Open Doors 2009 mengenai pergerakan pelajar antarabangsa yang dikeluarkan Kedutaan AS, jumlah pelajar Malaysia berdaftar di AS, meningkat kepada 5,942 daripada 5,428 pada tahun akademik 2007/08, peningkatan sebanyak 9.5 peratus.

Sementara itu, Duta AS ke Malaysia, James Keith, berkata AS kekal menjadi destinasi utama bagi pelajar dari Malaysia yang mahu melanjutkan pelajaran di luar negara berikutan kualiti dan prestij yang dikaitkan dengan ijazah Amerika.

"Selepas mengalami penurunan bagi tempoh 2002-2003, visa pelajar bagi pelajar Malaysia telah meningkat dengan ketara, dengan jumlah terbesar direkodkan tahun ini,” katanya.

Laporan Open Doors di seluruh dunia tahun ini, menunjukkan jumlah pelajar antarabangsa di kolej dan universiti di AS meningkat sebanyak 8 peratus iaitu 671,616 pelajar bagi tahun akademik 2008/09.

Pengeluaran data itu adalah bersempena Minggu Pendidikan Antarabangsa anjuran Malaysian-American Commission on Educational Exchange (MACEE) dengan kerjasama Kedutaan AS.

Bagi pelajar, ibu bapa, profesor dan pentadbir yang berminat untuk menyertai acara berjadual Minggu Pendidikan Antarabangsa, maklumat lanjut boleh didapati di laman web www.EducationUSA.org.my

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url